Ditulis Oleh : Siti Munirah binti Abdul Rashid
(wwwqamarmuneera.blogspot.com)
Diedit Oleh : Hafizi Radzi
Hebat Bukan Penulis?
Kelahiran generasi Salahuddin al-Ayyubi merupakan kelangsungan tarbiyyah (pendidikan) awal daripada kitab Ihya’ Ulumuddin yang dikarang oleh Imam Ghazali. Antara ulama yang lahir setelah Imam Ghazali ialah Abdul Qadir Jailani yang secara langsung telah mengasakan generasi baru, iaitu generasi Salahuddin. Tidak keterlaluan untuk saya katakana Baitul Maqdis Berjaya dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi natijah daripada tulisan Imam Ghazali. Hari ini Baitul Maqdis kembali ditawan. Saya percaya akan bangkit satu lagi generasi Salahuddin al-Ayyubi kerana kitab Ihya’ Ulumuddin masih kekal hingga ke hari ini. Hebat bukan penulis?
Pernah dengar Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam Busiri? Puisi sebanyak 160 bait ini merupakan puisi menceritakan tentang perutusan Baginda SAW, kelahiran Baginda, ghazwah yang disertai Baginda hinggalah kepada keunggulan akhlak Baginda SAW serta kehebatan mukjizat yang dikurniakan kepada Baginda Rasulullah SAW. Jiwa-jiwa yang mati kembali hidup tatkala mendengar puisi Imam Busiri. Anak-anak orang Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Bahkan ada di antara ‘ulama seperti Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari puisi ini bagi penuntut-penuntutnya dalam usaha memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Bayangkan, insan seperti Imam Busiri telah mati lebih 800 tahun lampau, namun bait-bait puisinya masih meniti bibir umat manusia hari ini. SubhanaLLah!! Hebat bukan penulis?
Takutnya!
Saya sedang asyik mengulit novel Imam, karya SN Abdullah Hussain. Saya tersentak tatkala membaca satu dialog dalam novel berkenaan. Dialog itu tidak lain tidak bukan adalah ayat ketiga dari Surah As-Saff. Besar kemurkaan Allah ke atas mereka yang BERKATA tetapi tidak melaksanakannya. Pada mulanya, saya fikir perkataan ‘taqulu’ ataupun berkata dalam ayat ini hanya merujuk kepada orang yang berkata-katanya. Namun, hakikatnya, menulis juga adalah berkata-kata cuma mediumnya berbeza. Menulis adalah kata-kata yang kita luahkan di atas kertas. Jadi, menulis juga adalah berkata-kata.
Tiba-tiba saya jadi gerun. Bukankah setiap amal perbuatan kita di dunia akan disoal oleh Allah di akhirat nanti. Maksudnya, setiap patah bahkan setiap huruf yang kita tulis dan taip akan disoal?
Bukan itu sahaja. Apabila kita menulis sesuatu yang baik dan diteladani pula oleh masyarakat, ganjarannya turut mengalir buat kita. Sebaliknya, jika kita menulis sesuatu yang buruk dan dicontohi pula oleh khalayak, tempias dosanya turut kita rasa kelak.
Takutnya!
Kembali Kepada Niat
Setiap perbuatan mesti dimulakan dengan niat.
“Setiap amal itu disertai niat, setiap orang apa yang diniatkan olehnya, barangsiapa yang berhijrah ke arah Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, untuk mendapatkan habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan kepadanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Saya sependapat dengan Saudara Hilal Asyraf dalam soal niat ini. Menurutnya, perjalanan seorang penulis yang baik, dan mampu memberikan kesan kepada manusia adalah dengan niat. Jika benar kita adalah seorang penulis yang mempunyai keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan memerhatikan niat kita sebelum memulakan perjalanan dalam alam penulisan.
Niat inilah yang akan menentukan sama ada kesan daripada tulisan kita bisa menjadi sehebat tulisan Imam Ghazali dan puisi Imam Busiri. Niat inilah yang akan membantu kita menjawab soalan Allah di padang Mahsyar nanti.
Tanggungjawab
Teringat kata-kata Faisal Tehrani dalam WEHDAH 09 di USIM beberapa bulan lepas(saya tidak pergi namun khabar ini disampaikan oleh seorang sahabat). Perlunya penglibatan pendakwah dalam bidang seni.
Jika kita lihat, Geert Wilders, ahli parlimen jalur kanan Belanda yang telah membuat filem pendek bertajuk ‘Fitna’sendiri menggunakan medium seni untuk mengetengahkan ideanya. Pada tahun 2005, dunia Islam dikejutkan dengan karikatur menghina nabi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari Denmark. Mereka ini juga menggunakan ruang seni untuk mengekspresi ketidakpuasan hati mereka terhadap Islam.
Justeru, marilah kita yang telah dicampakkan oleh Allah minat dalam bidang penulisan ini memainkan peranan kita untuk menjawab balik segala salahfaham yang berlaku hari ini. Kita mesti lakukan sesuatu. Itulah tanggungjawab kita jika kita mahu memikulnya sebagai satu tanggungjawab.
Sekali Menulis Terus Menulis
Saya kongsikan di sini wasiat Syed Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. “Apabila kita hidup hanya untuk, maka kehidupan kita ini amatlah singkat. Bermula dengan lahirnya kita dan berakhir apabila tamat riwayat kita di dunia ini. Namun, apabila kita hidup atas dasar perjuangan yang murni, maka kehidupan kita lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan hanya akan berakhir apabila tiada lagi manusia di atas muka bumi ini.”
Sahabat pejuang di Pattani tidak akan behenti berjuang selagi mana apa yang diperjuangkannya tidak diperolehi.
Begitu juga seorang penulis. Jika dia memperjuangkan sesuatu melalui penulisannya , dia tidak akan pernah berhenti menulis sehingga maksud perjuangannya tercapai. Andai malaikat maut datang menjemputnya sebelum perjuangannya selesai, akan lahir mata rantai-mata rantai selepasnya yang akan meneruskan perjuangannya tadi. Walaupun Hasan al-banna telah seratus tahun meninggalkan dunia, perjuangannya masih hidup bahkan bukunya dirujuk oleh ahli mahupun bukan ahli Ikhwanul Muslimin dari serata jihat dunia.
Inilah rahsia untuk kekal menulis. Namun, jika dasar kalian menulis adalah sebagai satu strategi dakwah dan suatu hari kalian temui jalan yang lebih baik daripada menulis untuk berdakwah, pada saya bukan satu dosa untuk meninggalkan bidang ini.
Jadi apa yang kita perjuangkan dalam bidang ini?
Kesimpulan
Entri ini bukanlah apa-apa melainkan teguran dan peringatan buat diri saya sendiri Lalu, tergerak hati ini untuk berkongsi pula dengan sahabat handai di samping menyambut seruan Nabi tercinta, “Sampaikahlah dariku walau satu ayat”. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Tidak pernah rugi orang yang saling memperingati antara satu sama lain kerana memberi peringatan itu bermanfaat buat orang mukmin( Az-zariaat,55). Saling kita menguatkan. Insya-Allah.
Wallahu’alam.
Tinggalkan Balasan