Saya anti-rasuah

Apakah itu RASUAH? Jika dilihat pada asal usul perkataan tersebut, dalam bahasa Arab, ia dikenali sebagai ‘al-risywah‘.

Rasuah ialah satu tindakan pemerasan yang dilakukan seseorang dengan tujuan mendapatkan faedah untuk dirinya sendiri. Ia juga merupakan suatu salah guna kuasa yang ada bagi keuntungan dirinya. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai jalan untuk mendapat kekayaan dalam masa yang singkat, tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya.

Sebagai umat Islam, keredaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t. harus dititikberatkan dalam segala urusan. Islam sangat melarang umatnya mengamalkan budaya rasuah ini. Lihat sabda Rasulullah s.a.w. di bawah:

Daripada Abu Hurairah r.a., ia telah berkata: Rasulullah s.a.w. telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum-menghukum.

Rasuah adalah satu perbuatan yang sangat keji dan berdosa besar. Mereka yang terjebak dalam perihal rasuah akan memperolehi balasan setimpal akibat daripada mengamalkan rasuah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran:

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 188)

Budaya rasuah telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi budaya ini telah pun disediakan. Langkah yang tegas telah diutarakan oleh Islam, iaitu mengharamkan rasuah secara berkesan tanpa bertolak ansur. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.” (Riwayat At-Tirmizi)

Perbuatan ini juga dikutuk sekeras-kerasnya oleh Allah s.w.t. sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad:

Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya.

Dalil-dalil di atas dengan jelas membuktikan bahawa Islam melarang perbuatan keji rasuah ini. Kutukan ini tidak terhad kepada pemberi dan penerima rasuah sahaja, tetapi juga terhadap mereka yang bersubahat dalam melicinkan transaksi rasuah ini.

Insya-Allah, pada masa akan datang, saya akan menyambung diskusi rasuah ini dengan melihat kepada punca berlakunya rasuah, kesan/akibat dari rasuah, dan akhirnya langkah-langkah yang boleh diambil untuk membanteras gejala rasuah ini. Salam.

Sumber:

  1. http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=2088
  2. http://www.sixthseal.com/2009/06/saya-anti-rasuah.html (bagi gambar di atas, sebagai illustrasi)