Selamat Datang Ramadhan

 

APIS mengucapkan Ramadhan Karim kepada semua umat Islam dan pembaca laman ini. Mudah-mudahan kita beroleh curahan rahmat dan keampunan Allah sepanjang bulan yang mulia ini.

 

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah subhanahu wa ta’ala. Dengan kemurahan-Nya, kita kini bertemu lagi dengan tetamu agung yang bertandang secara tahunan. Bagi hati-hati yang ikhlas, mereka sentiasa tidak berasa gelisah menunggu ketibaan bulan mulia ini. Bahkan, Ramadhan Al-Mubarak ini adalah sangat dinanti-nantikan. Sepanjang bulan istimewa ini, pelbagai bentuk ibadah disusun dengan padat demi menggapai keredhaan Allah.

 

Kita sangat bersyukur kerana dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan Al-Karim. Ayuh, kita betul-betul memperkasa keazaman dan tindakan dalam meraih sebanyak-banyak kebajikan sepanjangnya. Kita belum pasti lagi, adakah pada tahun akan datang kita masih lagi akan dikurniakan rezeki bersua dengan Ramadhan. Cuba hadirkan persoalan di dalam kotak hati: andainya Ramadhan ini adalah yang terakhir bagiku, apakah yang akan aku laksanakan?

 

Begitu jelas dan pasti, kita akan merebut sebanyak-banyak peluang kebaikan walaupun dalam saiz yang kecil; seperti bersedekah sebelah biji tamar ataupun sekadar senyuman ikhlas. Hadir dorongan yang begitu kuat, kerana dengan andaian tersebut, seolah-olah kita begitu pasti peluang bertemu Ramadhan sudah tidak ada lagi.

 

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

Rasulullah s.a.w. menyebut dalam sabdaan Baginda yang bermaksud:

Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya daripada simbahan api neraka.

 

Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta Ramadhan itu setahun penuh.

 

Rebutlah peluang lima perkara sebelum tiba lima perkara; sebelum tiba masa tuamu. Masa sihat sebelum tiba masa sakitmu. Masa lapang sebelum tiba masa sibukmu. Masa kaya sebelum tiba papamu dan masa hidup sebelum tiba masa matimu.

 

Bagi membolehkan kita lebih mengetahui dan memahami ibadah sepanjang Ramadhan ini, amat bagus kiranya jika kita dapat meluangkan juga sedikit masa menghadiri, mendengar majlis-majlis ilmu, tazkirah di masjid, surau atau pada siaran TV dan radio yang menerangkan perkara berkaitan Ramadhan.

 

Kita berdoa memohon agar Allah mengurniakan kita semuanya umat Nabi Muhammad s.a.w. ini beroleh ikhlas dan kekuatan untuk beribadah pada bulan ini. Amiin!