Belum terlambat rasanya bagi penulis mengucapkan “Ramadhan Kareem” kepada semua tetamu-tetamu maya yang sudi menjengah ke ruang teratak pena hamba ini. Bagaimana agaknya kualiti ibadah puasa kita pada minggu awal puasa? Hm..sendiri tahu jawapannya.
Ikhwah akhawat sekalian,
Mungkin ramai yang sudah bosan, lali, tepu dengan tazkirah-tazkirah Ramadhan. Mana tidaknya, ayat yang sama sahaja diulang-ulang, siap terhafal lagi.
Tapi, bukankah kita ini makhluk ALLAH yang sering lupa? Bahkan Rasul-rasul Allah juga tujuan mereka diutuskan adalah untuk memberi peringatan dan khabar gembira. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Setelah kewafatan mereka, maka tugas memperingatkan orang lain secara tidak langsung jatuh ke atas kita pula. Dengan berbekal dua sumber kebenaran, yakni Al-Quran dan Sunnah, dan tauladan dakwah Nabi, para sahabat, para soleh, insyaAllah penulis ingin sekali berkongsi sedikit kata bersama kalian. Mudah-mudahan, ia dikira sebagai amal kebajikan buat bekalan di ‘sana’ kelak.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dirantai syaitan-syaitan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, inilah satu-satunya bulan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya sebanyak-banyak bonus, sebanyak-banyak pahala. Tinggal kita sahaja sama ada nak rebut bonus itu atau nak biarkan sahaja. Ditambah pula, syaitan pada ketika itu dirantai, di mana kalau ikut logik akal kita, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang tak baik di bulan mulia ini. Tapi ‘bijaknya’ syaitan ini, dia dah train awal-awal nafsu kita supaya apabila tiba bulan Ramadhan, nafsu pula yang take over tugas syaitan. Syaitan bercuti sebulan katanya.
Cuba nilai kembali ibadah kita, dibandingkan pula dengan kelalaian kita. Timbang tara antara keduanya. Mana yang lebih berat, lebih banyak? Andai kelalaian yang mendahului ibadah, malulah kalian kepada diri sendiri, kerana anda kalah pada diri anda sendiri, anda tunduk pada nafsu anda sendiri, sedangkan Allah telah membuka seluas-luasnya pintu kebaikan, ditutup pula pintu kejahatan, diawasi pula dengan terbelenggunya syaitan..Tapi malang seribu kali malang, anda tewas! Anda tewas pada nafsu yang menipu!
Bukankah Allah telah menjanjikan rahmat-Nya pada awal Ramadhan, keampunan pada pertengahannya, dan pelepasan daripada api neraka pada akhirnya. Jadi, inilah masanya untuk kita mentarbiyah diri, menyucikan hati, membaiki peribadi supaya apabila tiba di penghujung Ramadhan, kita ibarat seperti dilahirkan semula. Kita kembali semula kepada fitrah seperti seorang bayi yang baru dilahirkan, suci dari dosa noda. Bersih untuk kembali menghadapi dunia yang penuh tipu daya. Mudah-mudahan, dengan bekalan sepanjang berada di medan tarbiyah Ramdahan, kita mampu menjadi hamba Tuhan yang sebenar-benarnya, bukan sekadar hamba Ramadhan semata.
Hiasilah Ramadhan kita dengan memperbanyakkan tilawah Al-Quran, qiamullail, zikrullah dan amalan-amalan sunat yang lain.
InsyaAllah, semoga Ramadhan kita pada kali ini lebih dirasai kemanisannya, lebih terhasil kesannya, lebih terserlah jiwa kehambaan kita pada yang Esa. Janganlah kita berpuasa hanya sekadar ingin memenuhi rukun Islam tanpa ada penghayatan yang memberi kesan mendalam pada diri..ingatlah, bahawa kita adalah HAMBA TUHAN..BUKAN HAMBA RAMADHAN..
Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna..
Agar dapat ku lalui dengan sempurna..
Tinggalkan Balasan