بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Lelaki itu sungguh hebat! Seawal umur 13 tahun sudah berkobar-kobar semangatnya untuk menyertai jihad fi sabilillah bersama para sahabat di medan Badar, sedang pedangnya sendiri lebih panjang dari ketinggiannya. Walau keinginannya ditolak oleh Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم, semangatnya tetap utuh – mesti berjihad demi menegakkan Islam!
Lalu dikoreksi kemampuan diri. Maka, keistimewaannya ditemui. Berjihadlah beliau dengan menuntut ilmu. Bersungguh-sungguh. Hingga 17 surah dihafaz dengan sempurna. Apabila Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم diberitakan tentang usaha beliau itu, Baginda صلّى الله عليه وآله وسلّم sangat gembira.
Penterjemah Rasul صلّى الله عليه وآله وسلّم
Tentunya Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم tidak senang apabila berada di kalangan orang-orang Yahudi yang bersembang sesama sendiri dalam bahasa Ibrani supaya isi-isi perbincangan tidak dapat Baginda صلّى الله عليه وآله وسلّم fahami. Oleh itu, Zaid dipilih untuk mempelajari Bahasa Ibrani. 15 hari berlalu, bahasa itu berjaya beliau kuasai. Bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Ibrani seperti bahasa sendiri. Beliau mula menulis surat dari Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم kepada kaum Yahudi serta membaca surat yang ditulis oleh mereka untuk Baginda صلّى الله عليه وآله وسلّم.
Kemudian Zaid ditugaskan pula untuk mempelajari bahasa Suryani untuk memudahkan proses penyebaran Islam ke negara-negara bukan Arab. Maka, sekali lagi beliau menulis surat daripada Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم untuk raja-raja negara luar, menyeru mereka mentauhidkan Allah. Alangkah besarnya sumbangan mujahid ini kepada agamanya.
Penulis Wahyu
Lelaki paling muda yang diberi kepercayaan oleh Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم untuk menulis wahyu ialah Zaid bin Thabit. Sedangkan waktu itu, pemuda-pemuda sebaya dengannya bersuka-suka di jalanan. Namun beliau memilih untuk dekat dengan Allah dan utusan-Nya.
Pengumpul Al-Quran
Pada zaman Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم, Al-Quran tidak ditulis dan dikumpul sebagai satu mushaf yang lengkap. Yang ada hanya tulisan-tulisan di atas pelepah-pelepah tamar, kulit-kulit haiwan dan tulang-tulang. Untuk memelihara Al-Quran dari hilang akibat syahidnya ramai huffaz dan qurra’ dalam peperangan, Khalifah Abu Bakar mengarahkan proses pengumpulan Al-Quran dimulakan seperti yang dicadangkan oleh Saidina Umar Al-Khattab. Sekali lagi, Zaid bin Thabit telah diberi tugas penting yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Bukan mudah untuk mensabitkan sesuatu ayat Al-Quran. Betapa banyaknya pahala yang ditambah kepada timbangan amal soleh Zaid setiap kali umat Muhammad صلّى الله عليه وآله وسلّم membaca mashaf Al-Quran.
Inilah kisah salah seorang pemuda dari generasi yang dididik oleh Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم. Mereka memilih untuk menjadi mulia, maka kemuliaanlah yang mereka terima. Namun, pasti didahului dengan keazaman, pengorbanan dan kerja keras yang sudah tentu bukan mudah. Bangkitlah pemuda-pemudi! Pilihlah untuk menjadi mulia. Bukan sahaja di dunia, malah di akhirat sana.
Tiada ulasan sehingga kini
1 pingback
Al-Fath:
Februari 18, 2011 pada 10:05 am (GMT +0800)
Zaid bin Tsabit rodhiyallahu ‘anhu dan para sahabat lain mendapat didikan daripada Baginda صلّى الله عليه وآله وسلّم secara langsung. Kualiti iman dan amal mereka adalah begitu tinggi.
Tahniah kepada penulis kerana berkongsi kisah ini. Harapan: menjadi iktibar dan dorongan untuk kita mengikuti jejak langkah para sahabat yang mentaati Allah dan Rasul.