Tragedi sosial, yang menjadi buah bicara, baik di dada-dada akhbar, buletin elektronik mahupun topik-topik hangat perbualan masyarakat, semakin lama semakin menjadi-jadi. Dewasa kini, harga kehidupan dan kemanusiaan seolah-olah begitu murah, sehingga anak-anak kecil yang tidak bersalah, menjadi korban pasangan yang tidak bertanggungjawab. Pada masa yang sama, isu keruntuhan moral golongan remaja sudah menjadi perbincangan klise, meskipun hal yang kritikal ini sepatutnya semakin banyak diselesaikan dari hari ke hari. Bahkan, bukan sahaja bayi-bayi yang baru dilahirkan menjadi mangsa, ibu bapa yang telah uzur juga mengalami nasib yang sama kerana mereka terkial-kial ditinggalkan seorang diri oleh anak-anak yang kononnya sibuk dengan urusan kerjaya.


Kebalikan modernisme dikatakan sebagai punca keretakan struktur sosial masyarakat, sehingga menyebabkan seribu satu masalah yang berlaku seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Jika dibandingkan dekad ini dengan dekad-dekad yang lampau, masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat yang beragama Islam, dilihat semakin kehilangan nilai-nilai yang seharusnya menjadi identiti dan jati diri mereka. Nilai-nilai ini, sekian lama, sejak dari zaman kedatangan Islam, telah memelihara organisasi ketamadunan yang berperkerti mulia, bermula dari pemeliharaan akhlak individu, keluarga dan masyarakat. Namun, atas nama kemajuan, yang dipromosikan oleh modernisme kapitalis, nilai-nilai yang diwarisi turun-temurun ini secara sedar ataupun tidak, diabaikan satu persatu, sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia, semakin pudar tatakehidupan dan akhirnya, terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang sangat serius.

Salah satu warisan yang berharga, yang pada hari ini, semakin kurang dipraktikkan, adalah sesi ta’alim di rumah. Ta’alim didefinisikan sebagai sesi perkongsian ilmu dan ia dilakukan di mana-mana, baik di masjid, surau ataupun di rumah. Umumnya ta’alim yang dilakukan di masjid, diistilahkan oleh masyarakat Melayu sebagai kuliyah. Sekiranya diadakan di rumah, para cendekiawan agama telah mengistilahkannya sebagai ta’alim rumah. Akan tetapi, mengikut catatan antropologi dan sejarah, istilah ta’alim tidak begitu popular bagi umat Islam di Nusantara. Sungguhpun begitu, konsep ta’alim ini telah beratus-ratus tahun dipraktikkan oleh sesebuah keluarga Islam, sungguhpun ia tidak dinamakan secara khusus.

Dalam kebudayaan Melayu, ta’alim rumah biasanya diadakan selepas solat maghrib atau selepas solat Isyak. Seluruh ahli keluarga akan berkumpul dan si ayah atau si ibu akan mengajar dan menyemak bacaan Al-Quran yang dibaca oleh anak-anak. Biasanya, anak-anak yang baharu tahu membaca Al-Quran akan diajar aksara dan perkataan Arab yang ringkas, menerusi kitab Muqaddam, atau pada masa kini, Kitab Iqra’. Selanjutnya, apabila anak-anak menguasai Al-Quran, seluruh ahli keluarga akan bersama-sama berlatih untuk menghafaz ayat-ayat lazim daripada juzuk 30. Sang ayah, biasanya akan mengajar anak-anak yang lelaki, manakala sang ibu biasanya akan mengajar anak-anak perempuan atau anak-anak yang lebih kecil.

Selain daripada menyemak bacaan Al-Quran, biasanya, ayah atau abang yang tua, akan membaca kitab-kitab umum untuk diperdengarkan buat seisi rumah. Biasanya, kitab-kitab yang dibaca adalah kitab berkenaan dengan fadhilat-fadhilat melakukan sesuatu amal. Mengikut pandangan ulama’, konsep membaca fadhilat sesuatu amal merupakan salah satu cara tarbiyah Nabi Muhammad SAW buat para Sahabat RAH. Dari segi psikologi, membaca kitab fadhilat amal boleh mencetuskan keghairahan untuk melakukan sesuatu ibadat kerana ianya sesuai dengan fitrah manusia yang mahu diganjari apabila melakukan sesuatu. Tambahan, fadhilat yang disebutkan di dalam hadith-hadith terpilih dan sahih sudah semestinya berlipat-lipat kali ganda balasannya di akhirat, di mana nikmat yang dikurniakan oleh Allah terhadap sesuatu amal akan dirasai selama-lamanya. Kitab yang biasa dibaca oleh masyarakat Islam di Nusantara adalah kitab karangan Imam Al-Ghazali, Ihya Ullumuddin atau Minhajul Abideen, kitab karangan Imam An-Nawawi, Riyadhus Soliheen, di samping kitab-kitab karangan ulama’ hadith tempatan yang lain (sekadar menyebut beberapa kitab yang sering dibaca). Di samping itu, dewasa kini, kitab yang bertajuk Fadhilat Amal yang dikarang oleh Maulana Muhammad Zakariyya Khandlavi dan Munthakab Ah-Hadith karangan Maulana Muhammad Yusuf Khandlavi juga sangat sesuai dibaca buat seisi keluarga.

Perkongsian cara bagaimana untuk melakukan ibadah juga amat dititikberatkan dalam proses ta’alim rumah ini. Di sini, peranan ayah, selaku ketua keluarga, dalam mengajar anak-anak untuk bersolat, berpuasa dan melakukan ibadah lain dilihat sebagai sangat signifikan. Sang ayah, yang memperoleh ilmu dan informasi dari kuliah atau ta’alim yang dilakukan di masjid, akan bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang diperolehinya buat seisi keluarga di rumah. Dengan ini, bukan sahaja anak-anak akan mendapat manfaat, bahkan sang isteri juga boleh mendapat pelajaran daripada perkongsian sang suami. Dengan perkongsian dan pengaplikasian ilmu bersama semua ahli keluarga, penghayatan terhadap sesuatu ilmu yang diperoleh daripada alim ‘ulama yang mengajar di masjid akan menjadi lebih kukuh. Di samping membina pemahaman keluarga terhadap agama, secara tidak langsung, perhubungan antara rumah dan masjid akan menjadi satu elemen yang penting dalam kehidupan sesebuah keluarga.

Selain itu, di dalam ta’alim rumah, anak-anak kecil juga diajar mengenai doa. Doa adalah munajat seorang hamba kepada Tuhannya, sama ada untuk memohon perlindungan, meminta keredhaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya, dalam sesi ta’alim rumah, doa-doa ini akan diperdengarkan pada anak-anak, berulang-ulang kali, sehinggalah anak-anak menghafaz dan mengamalkannya. Seringkali di luar sesi ta’alim, doa-doa ini dipraktikkan secara terus, mengikut perkara yang akan dilakukan. Misalnya, ketika seisi keluarga bersedia untuk menjamu makanan, anak yang kecil akan diminta oleh ayah atau ibu untuk membacakan doa makan. Contoh yang lain adalah sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa akan duduk di sisi katil dan bersama-sama membaca doa tidur sebelum lampu dipadamkan.

Selain daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas, ta’alim rumah juga diisi dengan kisah-kisah para Nabi, kisah Rasulullah SAW dan kisah para Sahabat RAH. Di sini, sang ibu memainkan peranan yang cukup besar untuk menceritakan kisah-kisah ini buat anak-anak, supaya ia bukan sahaja diceritakan dengan menarik, bahkan dikisahkan dengan penuh makna dan pengajaran. Ini bertujuaan, moral dan nilai-nilai murni di dalam kisah-kisah tersebut dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Mengikut catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab-kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab-kitab tersebut adalah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Nabi Yusuf dan banyak lagi. Kitab-kitab ini merupakan terjemahan dan saduran kitab-kitab sirah dari bahasa Arab. Sesi ta’alim ini biasanya akan dibacakan oleh ibu sebelum anak-anaknya tidur. Kajian menunjukkan bahawa kisah-kisah yang mempunyai nilai dan pengajaran yang tinggi ini, mampu untuk membentuk karekter yang baik anak-anak. Melalui cerita yang disampaikan ibu, nilai dan pengajaran ini akan tersemat di dalam minda bawah sedar anak-anak dan secara tidak langsung, tindakan dan perlakuan mereka akan berdasarkan apa yang terkandung di dalam minda bawah sedar mereka itu. Pada masa kini, terdapat sejumlah besar karya-karya sirah yang baharu dan serasi dengan kanak-kanak zaman kini dan boleh didapati di mana-mana kedai penerbitan Islam.

Kesimpulannya, ta’alim di rumah mampu memberi kesan yang sangat besar buat keluarga Islam dalam dekad modernisme ini. Pengisian yang diterapkan dalam ta’alim rumah, seperti pembacaan Al-Quran, perkongsian fadhilat amal, ilmu ibadah dan doa, serta kisah-kisah Nabi merupakan satu usaha yang jitu dalam mengakrabkan perhubungan dalam sesebuah institusi keluarga. Ta’alim rumah, bukan sahaja sebuah sunnah Baginda SAW, bahkan majlis sebegini akan dirahmati oleh Allah SWT. Dengan memartabatkan kembali usaha ta’alim rumah ini, cahaya keimanan dan keislaman akan terpancar di dalam struktur penting dalam sesebuah ketamadunan, iaitu institusi kekeluargaan. Dengan ta’alim rumah sebegini juga, dan bantuan dan izin Allah SWT, ilmu akan diberi kedudukan yang mulia dan dengan rahmat-Nya, umat Islam khususnya dan manusia amnya, akan kembali disinari oleh cahaya keimanan dan kerahmatan.

Wallahualam.

Muhammad Syukri bin Rosli

Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, ’05

http://www.janjilaxamana.blogspot.com/