Terima Kasih Allah

Penulis bersyukur sangat-sangat kepada Allah SWT kerana penulis dikurniakan banyak sahabat yang memahami Islam dan berjuang untuk Islam. Baik yang muda mahupun yang telah berusia. Mereka inilah yang sentiasa menjadi qudwah (contoh) terbaik kepada penulis dalam perjuangan penulis untuk agama Islam yang tercinta ini. Bukan semua orang dapat merasai nikmat kurniaan Allah ini, maka penulis ingin mengingatkan diri kita semua supaya bersyukur dan menghargai nikmat berkawan dengan orang-orang yang berilmu daln beramal mengikut ajaran agama. Sesungguhnya itulah sebaik-baik kurniaan daripada Allah kepada kita.

Pesan penulis kepada semua, pilihlah sahabat yang baik kerana setiap orang yang menjadi kawan kepada kita pasti akan meninggalkan kesan kepada kita dalam apa-apa segi. Kalau dia baik, maka kebaikanlah yang kita dapat. Kalau dia jahat, kejahatanlah yang kita dapat.

Hadis al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud:

Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.

Bagi mereka yang punya sahabat yang baik, maka hargailah si dia sebaik-baiknya. Sesungguhnya sahabat yang baik ialah kurniaan daripada Allah yang sangat bernilai dan berharga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh. Jika sekiranya dia terlupa (lalai), dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya.

Marilah kita sama-sama mencari dan menjadi sahabat yang soleh.

Pesan Buat Sahabat Seperjuangan

Kepada rakan-rakan seperjuangan, marilah kita sama-sama rapatkan saf antara kita. Jauhilah segala macam perasaan dan perkara tidak baik yang boleh mengotorkan ikatan persaudaraan antara kita semua. Jika ada sekelumit rasa tidak baik dalam diri kita terhadap sahabat kita, maka kembalilah kita kepada Allah dengan cara bersolat, berzikir dan berdoa. Moga-moga kita semua akan kembali bersatu dan berjuang nama satu akidah dengan hati yang bersih.

Ambillah perhatian terhadap pesan Uwaisal-Qarni yang berbunyi,

Oleh kerana aku terlalu mengerjakan amar ma’ruf nahi mungkar aku kehilangan kawan. Biar hilang kawan kerana perjuangan, tetapi jangan hilang teman seperjuangan.

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur, baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Muka: 1 2