Cukuplah bagi seorang pendakwah ketika mana terniat di hatinyaa untuk melakukan sesuatu kerja, megiktikadkan di dalam lubuk perasaannya bahawa Allah adalah bersamanya mendengar dan melihatnya, mengetahui rahsia-rahsianya, juga mengetahui kejahatan penglihatan dan apa yang disembuyikan di dalam dada sebagaimana sabda junjungan (selawat dan salam ke atasnya) ketika mana ditanya mengenai ‘ihsan’ iaitu:

“Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.”

(Riwayat Muslim)

Dengan inilah sesungguhnya para pendakwah telah menghampiri dan bermuqarabah kepada Allah setiap masa lalu lantaran itulah juga yang mengelokkan akhlaknya, memperbaikkan amalannya, meneguhkan rohaninya dan adalah beliau meningkat ke tingkat kesempurnaan.

Dan kepadamu saudaraku, beberapa contoh hasil dan sentiasa bermuqarabah kepada Allah dalam jalan kehidupan, muamalah dan akhlak:

I. Al-Imam Al-Ghazali meriwayatkan di dalam Ihya’ bahawa Yunus bin Ubaid mempuyai beberapa pakaian yang berbeza harganya. Antaranya yang bernilai setiap satu 400 dirham dan yang bernilai 200 dirham. Beliau pergi menunaikan sembahyang dan meninggalkan anak saudaranya menjaga kedainya. Lalu datang seorang Badwi dan meminta pakaian yang bernilai 400 dirham. Lantas diberikan pakaian yang bernilai 200 dirham. Badwi tersebut mendapatinya elok dan dia menyukainya lalu dibelinya dengan harga tersebut (400 dirham). Badwi tersebut beredar dan membimbit pakaian tersebut di tangannya.

Kemudian beliau terserempak dengan Yunus dan Yunus mengetahui yang pakaian tersebut adalah dari kedainya. Beliau bertanyakan Badwi tersebut, “Dengan harga berapakan engkau membeli pakaian ini?” Lalu dijawab oleh Badwi tersebut dengan harga 400 dirham. Yunus berkata, “Harga baju ini tidak lebih dari 200 dirham, maka pulangkan supaya dikembalikan duitnya.” Badwi tersebut berkata, “Di negeri kami pakaian ini bernilai 500 dirham dan dalam pada itu aku meredhai harga ini.” Lantas Yunus berkata kepada Badwi tersebut, “Ayuh bersamaku, sesungguhnya nasihat di dalam agama lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”

Kemudian diajaknya Badwi tersebut kembali ke kedainya dan dipulangkan kepadanya 200 dirham. Anak saudaranya membantahinya dan mengutuknya. Yunus berkata, “Tidakkah engkau malu? Tidakkah engkau bertaqwa kepada Allah mengambil untung dengan harga yang sedemikian dan meninggalkan nasihat untuk orang-orang Islam.” Anak saudaranya berkata, “Demi Allah aku tidak mengambilnya melainkan dia meredhainya.” Yunus menempelak anak saudaranya, “Tidakkah engkau meredhai untuknya dengan apa yang redhai untuk dirimu sendiri?”

II. Kata Abdullah bin Dinar: Saya berangkat dengan Umar bin al-Khattab menuju Makkah, lalu kami berhenti di suatu tempat di pertengahan jalan dan kami bertemu dengan seorang pengembala yang turun dari bukit. Umar berkata kepadanya, “Hai pengembala, juallah seekor kambing.” Pengembala itu menjawab, “Saya ini hamba.” Umar berkata untuk mengujinya, “Katakanlah kepada tuanmu bahawa kambing itu dimakan serigala.” Pengembala itu menjawab, “Tetapi dengan Allah bagaimana?” Umar menangis mendengarkan perkataan pengembala tadi. Kemudian Umar pergi bersama pengembala itu, lalu hamba itu dibelinya dari tuannya dan dimerdekakan. Umar berkata kepadanya, “Kalimat inilah yang telah menyebabkan engkau merdeka di dunia dan aku mengharapkan kalimat itu juga yang memerdekakan engkau di hari akhirat kelak.”

III. Kebanyakan daripada kita mungkin telah mengetahui kisah seorang ibu dengan anaknya:

Kisah si ibu yang mahu mencampurkan susu dengan air kerana mengharapkan keuntungan sedangkan anak perempuannya memperingatkan kepadanya larangan Amirul Mukminin. Ibu berkata, “Bukankah Amirul Mukminin itu jauh daripada kita? Sudah tentu dia tidak melihat kita.” Anak perempuannya itu menjawab dengan tegas, “Kalau sekiranya Amirul Mukminin tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin tetap melihat kita.”

Lihatlah betapa awasnya para sahabat dalam menjaga setiap tingkah laku mereka. Ketaqwaan mereka kepada Allah sangat wajar dicontohi. Seisi dunia ini tidak berharga sama sekali bagi mereka jika hendak dibandingkan dengan keredhaan Allah pada setiap tindakan yang mereka lakukan.

Sumber: Abdullah Nasih Ulwan – Menuju Ketaqwaan.