Soalan
Assalamualaikum. Saya bakal bertunang tidak lama lagi. Semasa mengerjakan umrah saya berdoa semoga ditunjukkan jodoh yang sesuai. Di mekah juga saya bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang saya tidak kenali. Apabila pulang ke Malaysia saya membuat solat istikharah. Beberapa bulan selepas itu saya bermimpi mimpi yang sama ketika di Mekah. Macam mana dengan tunangan saya ini,perlu diteruskan? Atau saya menunggu masa sehingga bertemu lelaki dalam mimpi itu?
Jawapan
1. Dalam soal menentukan jodoh atau pasangan yang sesuai, perhatikan dulu ciri-ciri agama iaitu seorang yang soleh, menjaga agama, memelihara solat, menutup aurat dan sebagainya, kemudian barulah beristikharah. Jika calon yang datang dari jenis yang tidak menjaga agama, sebaiknya ibu bapa atau individu terbabit menolak calon tersebut walaupun tanpa beristikharah terlebih dahulu kerana kita sudah jelas apa pandangan agama. Jika yang datang adalah soleh -sekalipun pada zahir sahaja- ketika itu eloklah menerimanya dan disusuli pula dengan istikharah untuk memohon petunjuk Allah dan ketetapan hati dari-Nya.
Sabda Nabi s.a.w.; “Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu redha (restui) akhlak dan agamanya (ingin meminang anak kamu), maka kahwinilah ia (dengan anakmu). Jika tidak nescaya akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kefasadan yang besar”
(Riwayat Imam at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (no. 347) adalah soheh).
2. Apabila telah melakukan istikharah, lihat apa yang hati berasa tenang dengannya. Ikuti suara hati itu, insya Allah itu adalah petunjuk dari Allah. Jika masih ragu-ragu, lakukan lagi istikharah sehingga hati benar-benar tetap dan tenang dengan pilihannya. Untuk membaca panduan istikharah dengan lebih lengkap, baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/cara-melakukan-istikharah.html).
Wallahu a’lam.
Ditulis oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, http://ilmudanulamak.blogspot.com
Kredit gambar: http://paksi.net/
Tinggalkan Balasan