Oleh: Prof. Dr. Mahmood Zuhdi, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM.

Soalan:

Saya adalah seorang pemuda dalam lingkungan umur 20-an. Saya ada beberapa soalan yang berkaitan dengan hidup saya.

1. Apakah hukumnya jika seseorang itu terus menerus melakukan perbuatan melancap? Adakah ia termasuk dosa besar?

2. Untuk pengetahuan ustaz, perbuatan saya telah berlarutan selama dua tahun lebih. Ada sesetengah orang mengatakan saya patut mencari pasangan hidup, tetapi saya belum mampu menempuhinya. Baru-baru ini saya putus cinta. Ia membuatkan saya serik untuk bercinta lagi. Saya tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah ini.

3. Bagaimanakah caranya untuk saya beristiqamah dengan betul? Dan bilakah masa yang sesuai untuk saya bertaubat?


Jawapan:

Para fuqaha bersependapat melancap satu perbuatan atau amalan yang tidak baik. Bagaimanapun, mereka berbeza pendapat sama ada ia hanya satu perbuatan tidak bermoral, perbuatan yang berdosa atau perbuatan dosa besar.

Ketiga-tiga pendapat berkenaan ada alasan yang tersendiri. Namun, keadaan orang yang terlibat serta persekitaran hidupnya boleh juga dijadikan satu faktor yang menentukan kategori kesalahan dan dosa akibat perbuatan yang tidak baik itu.

Nyatanya, melancap adalah satu aktiviti yang liar. Ia lahir daripada nafsu yang liar. Maka bagi mengatasi masalah atau amalan berkenaan, nafsu seseorang itu perlu dijinakkan.

Kalau penjinakkan itu berjaya, ia akan dapat diatasi, tetapi kalau sebaliknya, ia tidak dapat diatasi.

Dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda menasihatkan para pemuda supaya berkahwin kalau mampu. Kerana kata Baginda dengan perkahwinan nafsu boleh jadi jinak. Namun kalau tidak mampu Rasulullah s.a.w. mencadangkan supaya pemuda berkenaan berpuasa.

Ini bererti kewajaran berkahwin tidak boleh diasaskan atas kematangan seks semata-mata. Sebaliknya ia perlu berasas juga atas kematangan psikologi, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Maka kalau kemampuan lain masih belum cukup, kemampuan atau tuntutan seks semata-mata tidak boleh menjadi asas yang baik untuk berkahwin.

Bagi orang seperti ini, dia perlu mencari alternatif lain. Dalam hadits di atas, Rasulullah s.a.w. menasihatkan mereka supaya berpuasa. Dalam satu pentafsiran yang luas, orang yang mengalami situasi demikian perlu melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengurangkan tuntutan nafsu dan menjauhi aktiviti-aktiviti yang boleh membakar nafsu.

Hanya satu nasihat yang boleh saya berikan kepada saudara bagi mengatasi amalan berkenaan, iaitu perkukuhkan perasaan atau semangat tidak mahu melakukannya. Saudara akan berjaya insya Allah dalam mengatasinya.

Mengenai soal cinta pula eloklah saudara berpegang kepada satu falsafah iaitu cinta pada peringkat umur 20-an sebenarnya cinta yang tidak rasional. Putus cinta perkara biasa.

Untuk mengatasi rasa dukacita saudara terhadap cinta yang putus itu saudara perlu realistik, iaitu menerima hakikat seperti dalam falsafah di atas; bahawa cinta pada peringkat 20-an itu adalah cinta rapuh yang kurang patut dimahkotakan dengan perkahwinan.

Biarkan ia putus, kerana itulah yang biasa. Yang tidak biasa ialah yang tidak putus.

Mengenai istiqamah pula ia bukan suatu amalan atau sikap hidup yang sukar dihayati. Ia bererti bersikap wajar, konsisten, lurus, tegas dan sebagainya.

Dalam alam fizikal, istiqamah boleh dilihat dalam kemampuan mengimbangi keadaan dari segala daya tarikan yang negatif. Contohnya, mampu berjalan, mengayuh basikal dan sebagainya. Semuanya boleh dicapai dengan adanya kehendak yang mendalam dalam latihan yang berkesan dan berterusan.

Tegasnya, untuk beristiqamah, saudara perlu mempunyai kehendak yang mendalam serta latihan dan juga bimbingan yang berkesan.

Tentang taubat pula tiada masa khusus yang ditentukan. Saudara boleh bertaubat bila-bila masa sahaja dan Allah telah menjanjikan pengampunan-Nya ke atas siapa sahaja hamba-Nya yang bertaubat.

*Dipetik daripada Majalah Al-Islam Februari 1996.