Sebenarnya artikel ini sudah lama terbangun dalam batin saya, cuma sedikit masa sengaja diambil supaya “feel” itu benar-benar meresap dalam diri. Apabila ustaz bermadah dan artis berdakwah sebenarnya tajuk yang sering bermain dalam benak. Cuma kasusnya dilihat terlalu jelas. Teman sering melabel saya idiosinkrasi (tetapi saya kurang jelas dari segi apa?).Mungkin tulisan saya sudah semacam idiogram pemikiran mungkin?
Membesar dalam negeri yang penduduknya ‘memberatkan’ agama (satu sumber menyatakan 70 peratus rakyat Kelantan fanatik tetapi yang benar-benar mengamalkan Islam hanya 30 peratus, lebihnya Islam hanya gincu di bibir) maka awal pemikiran saya yang terasuh melabel orang seni suara itu hapista,sesat,harus ditentang (meski ibu saya peminat setia Datuk Siti!).
Namun pengalaman yang mengheret saya merentas bahrul hayat memberi satu dimensi baru dalam pemikiran logika (bukan Agnes Monica) saya. Saya cuba menilai segala sesuatu dari semua segi yang mungkin (saya gemar memerhati).Maka jawabnya,saya seringkali punya fikiran yang seringkali bercanggah terhadap sesuatu subjek yang satunya saya zahirkan dan satunya saya diamkan(kadang diam saya tidak bererti patuh).
Bercerita mengenai madah, berapa ramai antara kita yang benar-benar sedar akan gerakan dakwah yang dilancarkan secara sulit oleh para artis(???!!!!).Disini saya sertakan beberapa bukti dari siri peristiwa:-
1.Demam bawang putih dan bawang merah(drama) menyaksikan peningkatan mendadak penonton di saluran media prima(namun masih tidak mampu membantu para pekebun dan penjual sayuran di pasar).Perhatikan bait lagu temanya “warnailah hidupmu,yang akan menjadi lukisan,yang dilihat orang…”.Seorang teman pernah menyebut yang kita hidup atas persepsi orang lain(saya kurang setuju).Maka relevannya hidup yang seperti kain kanvas terletak atas kewajaran kita dalam menentukan corak dan palitan warna. Sebagaimana Tuhan tetap menciptakan babi yang haram atas kewajaran kita yang dibekali nafsu yang dipandui akal untuk menimbang. Begitulah Dia memberati kebebasan memilih kepada kita.
Pilihlah dari palet warna hidup itu akidah yang benar,peribadi mulia,dan segala macam lagi warna gemilang nilai Islami. Maka bentuklah akhlak dan peribadi yang unggul sebagaimana akhlak Rasul dan bentuklah iman yang teguh tertancap sepertimana iman para ahli sihir yang beriman dengan nabi Musa. Dari itu akan terhasillah sebuah lukisan indah seorang muslim sejati yang dapat menjadi idiogram kepada agama suci. Setiap mata yang terpandang justeru terpaku akan keindahan lukisan itu. Hati yang terpikat dek keindahannya akan menuntun rindu di jiwa. Apabila rindu tidak tertanggung maka rasa cinta dizahir dengan ucapan syahadah.
Lihat betapa dari bait lagu sinetron betapa mampu memberi peringatan kepada kita dalam menilai dan memilih cara hidup!
2.Perhatikan pula, ‘alangkah indah jika dicinta,kerana hidup kita..lebih bahagia!!!!’.Lagu tema sitcom Puteri nyanyian Amy Mastura.Perasankah anda?Irama dalam lagu ini seolahnya menegaskan perkataan ‘bahagia’ itu.Sebelum saya menafsirkan lagu ini,satu soalan, ‘Pernahkah anda dilamun cinta?’.Penyanyi dalam kita sedar atau tidak mengajak kita berfikir sejenak,supaya menyelami perasaan orang yang dicintai. Ah,betapa bahagianya mereka.Saya punya beberapa pengalaman bersama teman yang bercinta.Kadang-kadang rasa cemburu bersarang di hati.Kata teman,bercinta memang bahagia.Setiap hari seolah lembaran dalam novel cinta Aisya Sofea (bukan Habiburrahman El-Shirazy).Bahagianya hidup.Namun seringkali juga akibat tersalah pilih antara cinta sang Khaliq dan abdi ramai yang akhirnya tersungkur di Hospital Bahagia lantaran terlalu mengejar kebahagiaan cinta.
3.Dekad 90-an menyaksikan kebangkitan kumpulan Rock di Malaysia.Maka dari itu muncullah kumpulan Search,Wings,Black Dog Bone,Arrows,Spoon,D’Riyadh(Ustaz Akil Hayy haji Rawa dulu vokalis band ini)dan bermacam lagi nama kumpulan yang kadang-kadang maksud literasinya entah apa-apa.Kali ini perhatikan pula petikan lirik yang saya kurang pasti penyanyinya. ‘Jika benar cinta itu buta,butakah mataku,berkali terluka masih jua ku menunggu,apa yang ku inginkan,cuma kejujuran dalam perhubungan,jika itu tiada,apalah ertinya penantian itu hanya sia-sia’.
Cuba hayati kesyahduan liriknya.Jika Amy Mastura mengungkap soal kebahagiaan,penyanyi ini pula melahirkan kekecewaan cintanya (mungkin ilham datang ketika rawatan pemulihan mental).Pada awal lirik jelas telihat kesetiaan penyanyi pada cintanya.Abu Darda pernah meriwayatkan ‘cintamu terhadap sesuatu membuatmu buta dan tuli’.Tidak perlu dihurai lagi;sememangnya cinta membuat kita buta terhadap hukum dan tuli terhadap tarbiyah.
Tetapi saya lebih suka melihat dari sudut yang lain sebagaimana Dr.Taha Jabir al-Alwani pernah menjelaskan dalam makalahnya, ‘Adab al-ikhtilaf fil islam’.Ta’wil hadis itu ada tiga,matan itu maksud,maksud itu dalam matan,dan matan itu maksud yang jauh.Jadi mengapa tidak hadirkan mahabbah itu kepada-Nya? Maka mata kita akan buta terhadap terhadap ancaman munafiqin,dan telinga akan tuli terhadap segala cercaan mereka.
Lirik lagu tersebut turut menyatakan keinginan terhadap kejujuran dalam sebuah perhubungan.Seandainya cinta sesama makhluk begitu membutuhkan jujur.Apalagi cinta terhadap Dia.Jujurlah dalam bercinta.Betapa sakit hatinya bila mengetahui orang dicinta bermain kayu tiga (konda-kondi??).Maka begitulah murkanya Allah bila kita tidak jujur dalam mencintai-Nya,diletakkan munafiqin di tingkat paling bawah dalam neraka. Maka seperti liriknya juga;‘jika itu tiada,apalah ertinya penantian itu hanya sia-sia’ kehidupan di dunia akan menjadi sia-sia kerana tidak membuahkan hasil di akhirat.
Nah! Lihat sahaja bukti-bukti di atas,bukankah benar para artis sebetulnya juga para dai’e dari balik tabir.Banyak lagi bukti yang ingin saya kemukakan tetapi jari sudah mula menari lemah.Tetapi saya yakin anda yang punya akal bisa merungkai sendiri maksud dalam setiap bait lagu.Konklusinya setiap kali mendengar lagu berkumandang hayatilah setiap baitnya jangan terus menghukum.Saya tinggalkan anda dengan petikan dari kumpulan Dewa 19 dalam lagu Laskar Cinta:
‘wahai jiwa-jiwa yang tenang jangan sekali-kali kamu,mencoba jadi Tuhan dengan mengadili dan menghakimi,bahawasanya kamu memang tak punya daya dan upaya,serta kekuatan untuk menentukan kebenaran yang sejati…..’
“andai agama dikias seperti pohon tebu,dan zaman-zaman masyarakat Islam itu dikelas mengikut ruas,pasti kita berada di pucuk,ruas paling tawar kerana kurangnya manis Islam”
*Artikel ini disumbangkan oleh Saudara Faisal Mat Zawi, bekas pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, menduduki SPM pada tahun 2009.
Tinggalkan Balasan