JIGSAW-1 (1)

Assalaamu ‘alaikum w.b.t.

Segala puji milik ALLAH s.w.t. Tuhan Pemilik segala benda di langit dan di bumi.

Selawat dan salam diucapkan buat junjungan tercinta Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda. Baginda insan agung yang terlalu berjasa buat kita, dengan jasanya dinikmati iman dan Islam.

Ayuh kita mengukuhkan rasa kesyukur yang sememangnya menjadi kewajipan kita sebagai hamba-hamba ALLAH s.w.t. kepada-Nya. Syukur dilaksanakan melalui hati, lisan dan amal atas kurnia-Nya yang sekali lagi mengizinkan kita bersama dengan tetamu agung tahunan ini.

Ramadhan Karim diucapkan oleh seluruh warga jawatankuasa APIS kepada anda semua. Marilah sama-sama kita mengusahakan ikhtiar yang terbaik untuk memenuhi setiap detik dalam madrasah ataupun akademi ruhaniyah tahunan ini dengan segala macam bentuk ‘ibadah, sebagai tanda gembira atas peluang pahala kebajikan berganda-ganda kepada kita. Hadiah yang berupa Ramadhan Al-Mubarak ini ialah satu hadiah terlalu istimewa buat ummat Nabi Muhammad s.a.w.

Bersama-sama kita berdoa agar ALLAH s.w.t. senantiasa mengurniakan keampunan, rahmat, kasih sayang, pemeliharaan dan hidayah-Nya kepada kita agar selamat di dunia dan akhirat kelak. Lazimkan doa sepanjang bulan mulia ini, mendoakan kesejahteraan kita dan saudara kita di seluruh dunia, secara khususnya Muslimin dan Muslimat di negara-negara seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Chezh, Selatan Thailand, Kashmir, Selatan Filipina dan lain-lain lagi.

Dengan keterlibatan dalam akademi  Ramadhan ini juga, diharapkan kita dapat meningkatkan kefahaman dan kebersamaan kita dengan al-Quran al-Karim. Al-Quran ialah kalamullah yang terpelihara dan menjadi panduan umat Islam yang tiada ternilai. Sama-sama kita jadikan al-Quran manual utama kehidupan, Hal ini sejajar dengan firman-Nya dalam Suratul Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah).”

Semoga penghayatan Ramadhan sepenuh hati dapat memantapkan rasa kehambaan dan kebersamaan dengan ALLAH s.w.t., lantas meningkatkan kualiti kehidupan dalam segenap aspek. Apa sahaja yang dilaksanakan, selagi mana tidak keluar daripada garisan syar’iat, maka itulah ‘ibadah penghambaan kita kepada ALLAH s.w.t.

Pada peringkat APIS, dari semasa ke semasa kita akan cuba meningkatkan kualiti penganjuran ihya’ Ramadhan dengan kerjasama yang utuh daripada semua ahli.

Ayuh, majulah ke hadapan. Semoga Ramadhan berjaya mengukuhkan persediaan kita di alam persinggahan yang sementara ini.

Peringatan untuk kita bersama,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki