poster-by-mob1900

” Melahirkan Muslim Profesional Berasaskan Kefahaman Islam yang Syumul”

Bismillahirahmanirrahim

Alhamdulillah, negara Malaysia akan menyambut kemerdekaannya yang ke-5. Tinta admin pada kali ini ingin mengupas akan isu berkaitan peranan kita dalam mengekalkan status kemerdekaan ini. Di sini, kami dari pihak APIS ingin mengajak para pembaca untuk mensyukuri akan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan terus berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah melalui medium yang diredhai Allah sebagaimana firmannya yang bermaksud:

Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.

– Surah Ibrahim, ayat 7

Amat Bermakna

Sepertimana yang kita sedia maklum, merdeka adalah suatu perkara yang amat bermakna bagi semua pihak, terutamanya kepada para perajurit yang terlibat secara langsung dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan tanah ini dari pihak penjajah. Sedarkah kita bahawa, dengan kehendak Allah serta sifat kepahlawanan yang ditonjolkan oleh perajurit kita telah memberi ruang dan peluang kepada kita untuk mencorakkan bumi Malaysia ini mengikut acuan kita sendiri. Maka, tiba masanya bagi kita, pemuda pemudi Islam untuk menyambung perjuangan mereka bagi mengekalkan kemerdekaan ini, memperbaiki kekurangan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita, serta turut menyumbang usaha dan buah fikiran dalam memakmurkan negara ini.

Peranan Kita

Kedaulatan negara ini perlu kita pertahankan dengan sebaik-baiknya supaya generasi akan datang dapat menikmati apa yang kita nikmati dan miliki sekarang ini.  Jangan pula kita, gologan muda Islam menjadi penyebab kehilangan anugerah ini. Sekiranya kita ingin mengekalkan kedaulatan ini, jawapannya ialah dengan mengisinya dengan program-program yang diredhai oleh Allah selaras dengan konsep syukur yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali:

– mengiktiraf nikmat itu datang daripada Allah

– tidak mensia-siakan nikmat itu

– mengisinya dengan perkara yang diredhai-Nya

Kita adalah gologan yang dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan kemerdekaan negara ini.  kita seharusnya berbangga kerana telah dilahirkan, dibesarkan dan menetap di negara bertuah yang dipanggil Malaysia ini. Untuk mencerminkan perasaan cinta kepada negara sendiri, kita perlulah menjaga dan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara ini melalui kaca mata Islam.

Jika kita tidak mengambil bahagian ini, keharmonian negra kita akan terganggu, nyawa kita akan terancam, minda kita akan dipermainkan, maruah dan kehormatan kita akan dicemar dengan sewenang-wenangnya seperti apa yang berlaku pada saudara kita di Iraq, Palestin, Afghanistan, Somalia dan banyak lagi.

Persediaan

Para belia Islam perlu memiliki semangat setia, cinta dan kasih kepada negara supaya kemerdekaan ini dapat dikekalkan. Musuh-musuh Islam sentiasa merancang dan melakukan seranga dalam pelbagai bentuk dalam usaha untuk menggugat kemerdekaan kita. Namun, adakah kita mempunyai pertahanan bagi menghadapi cabaran ini? Islam menggariskan 5 perkara yang perlu kita jaga:

– Tahap keimanan kita terhadap Allah SWT

– Menghargai nyawa yang telah dikurniakan

– Menjaga kewarasan minda dan akal

– Memelihara maruah dan keturunan

– Menjaga serta memelihara harta yang dimiliki

Selain itu, kita perlu bersatu padu atas satu kalimah, hidup dalam keadaan harmoni dan progresif. Sejarah menjadi saksi akan keberkesanannnya dalam mengekalkan keseimbangan sesebuah negara. Namun, jika semangat itu tiada, maka negara, bahkan tamadun yang hebat juga akan musnah seperti yang terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki dan Dinasti Ming di China pada suatu masa dahulu. Jadi kesepakatan sesama kita perlulah dipupuk sejak dari awal agar sejarah tidak berulang kembali.

Disamping itu, perkara yang perlu diambil perhatian iaitu perlaksanaan Amar Makruf Nahi Mungkar dalam negara. Para belia Islam perlu bekerjasama dalam mempromosikan usaha ini. Di sini, APIS cuba menyediakan platfom bagi mencapai matlamat ini. Melalui program-program dan aktiviti-aktiviti yang telah serta bakal dilaksanakan APIS, diharap dapat melahirkan generasi belia Islam yang tahu akan tanggungjawab serta peranan mereka dalam negara ini.

Penutup

Sebelum saya akhiri penulisan kali ini, ingin saya berkongsi firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami) lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

– Surah Al-Araf, ayat 96

Semoga kita semua dapat menjadi insan yang mampu memberi impak yang positf kepada agama, bangsa dan negara kita, insyaAllah…