Jika 10 hari terakhir Ramadan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga bersama melaksanakan ibadah sunat, bagaimanakah pula kita?

Sesungguhnya pedoman yang ditunjukkan Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadan. Alangkah malangnya jika kita semakin lalai dalam melaksanakan ibadah pada saat-saat Ramadan yang kian melabuhkan tirainya.

Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada 10 terakhir Ramadan.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar.

Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna satu malam ini saja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang.

Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan Allah SWT sebagai ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh itu, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah mencari keredaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadan.

Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir” (hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam satu riwayat lain, dinyatakan juga Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu” (hadis riwayat Abu Dawud).

Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam-malam itu dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah SWT.

Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunah dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid.

Di samping itu, kita juga turut dianjurkan memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku” (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak” (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

Begitulah teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan?

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung pengisian yang kita laksanakan sepanjang tempoh yang telah berlalu.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,

Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)