Gambar Sekadar Hiasan

 

Berkata Imam Syafi’ie rohimahullah ta’ala:

“Aku amat menyukai kiranya seluruh makhluk mempelajari ilmu ini (maksudnya ilmu dan kitab-kitab beliau) kemudian mereka tidak menyandarkannya kepadaku sedikitpun.”

 

 Diriwayatkan secara sahih daripada Imam Syafi’ie oleh Imam Nawawi rohimahullah ta’ala dalam kitab beliau Adab-adab Bersama Al-Quran.

 

Hal ini pernah disebut oleh guru kita yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizhohullah tentang hajat Imam Syafi’ie tersebut yang telah diperkenankan oleh Allah Ta’ala.

 

Jika diperhatikan, banyak ilmu yang sebenarnya berpunca daripada Imam Syafi’ie adalah disandarkan kepada ‘ulama selepasnya (yang belajar daripada Imam Syafi’ie). Ilmu tersebut tidak disandarkan terus kepada Imam Syafi’ie.

 

Perkara ini wajar menjadi titik muhasabah yang amat berguna bagi kita. Kita periksa ketelitian kita menjaga kesucian rohani. Tidak mustahil jika pada akhir zaman ini kita dapat memerhatikan kewujudan banyak jenis manusia yang sangat menginginkan nama mereka disanjung, keilmuan mereka diakui. Mereka mahu mengaku-ngaku: demikianlah imu aku, begitulah ilmu aku, beginilah ilmu aku.

 

Dalam membicarakan hal ini juga, kita dapat melihat dan menginsafi bagaimana berkatnya ilmu para ulama silam yang amat-amat menitikberatkan kesucian rohani mereka sehingga hari ini, ilmu mereka terus-menerus dijadikan rujukan, dibacakan di pelbagai tempat dan sentiasa memberi manfaat kepada manusia.

 

Ya Rahman, Ya Rahim, kami pohonkan agar dikurniakan hati yang sentiasa tawadhu’ dan ikhlas dalam meniti jalan kehambaan ini.