Wahai diri

Kenallah dikau akan hakikat dirimu

daripada titisan air yang hina asal kejadianmu

daripada lembaga yang tidak berupa berdiam kaku

dilengkapi-Nya segala anggota dan deria ketika di rahim ibu

ditiupkan-Nya ruh ke dalam jasadmu menyempurnakan kalbu

Wahai diri

dimartabatkan-Nya dikau sebaik-baik kejadian

diangkat-Nya dikau sebagai khalifatul ardh mengatasi sekalian

diberi-Nya dikau tuntunan dan pedoman dengan al-Furqan

diberi-Nya dikau akal untuk membuat pilihan

agar kelak ditempatkan dikau dalam golongan yang kanan

Wahai diri

diutuskan kepada dikau sekaliannya suri teladan

penyampai khabar tentang yang hak dan yang batil sepanjang zaman

penyampai petunjuk jalan yang lurus dalam kehidupan

untuk kini di sini dan kehidupan hari kemudian

Itulah Rasulullah sumber syafaat insan nan ihsan

Wahai diri

Jikalau ada yang memberimu rasa bahagia

Usahlah terleka dikau oleh kehebatan diri yang nasia

ingatlah bahawa nikmat itu daripada-Nya jua

Jikalau ada yang memberimu rasa duka

Usahlah teperdaya dikau oleh sebal kecewa

Ingatlah bahawa ujian itu daripada-Nya jua

Wahai diri

sarwa alam dan sekalian kandungannya

adalah dalam pentadbiran-Nya jua

hatta denyut nadi dan pernafasanmu yang bersela

Usah dikau ingkari takdir perencanaan-Nya

Wahai diri

akan kembali dikau ke haribaan-Nya

membawa amal untuk timbangan di neraca

di mahkamah tanpa saksi palsu, peguam negara dan peguam bela

sekalian dikau pasti mendapat keadilan yang tara

Wahai diri

merafak tunduklah dikau kepada Yang Empunya

justeru dirimu tiadalah bernilai sesuatu pun jua

melainkan abdi pengurus dunia yang fana

yang dijanjikan syurga dan neraka menurut perhitungan-Nya

Wahai diri

rebutlah peluang yang lima

sementara nafasmu masih bersisa

kerana dikau akan dijemput kembali entah bila-bila

~Prof. Awang Sariyan~

12 Rabi`ul Awwal 1432/15 Februari 2011

(Maulidur Rasul)