Ukhuwah Fillah

Kerap kali bukan kita (terutama golongan yang menyertai jemaah islamiah) melaungkan slogan ini? Akan tetapi mengapa masih ada cebisan rasa tidak puas hati terhadap mereka yang kononnya kalian akui sebagai sahabat fillah? Islam meraikan perbezaan pendapat (masalah khilaf), bukan menggalakkan pertengkaran yang membawa kepada permusuhan (walaupun sekadar perang dingin). Hanya kerana sifat mazmumah yang masih menghuni segenap ruang hati, tidak mustahil perkara sebegini mampu terjadi. Habis tu macam mana nak rasa halawatul iman (kemanisan iman) yang Allah janjikan buat mereka yang saling kasih mengasihi kerana Allah?

Sabda Rasulullah SAW.:

“Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka”.

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

Hablun minaLLAH dan hablun minannas; kedua-duanya perlu dititikberatkan sama rata bukan?

Mahmudah vs Mazmumah

Yang ini saya petik dari Majalah Solusi (Isu No. 28). Terpandangkan nota ilmiah di sudut kanan muka surat 13 dalam majalah tersebut membuatkan saya tertarik.

Mementingkan Orang Lain daripada Diri (Ithar الإيثار)

Ithar dalam bahasa digambarkan sebagai mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain. Demikianlah indahnya Islam, tanpa mengira warna kulit, bangsa, kabilah dan sebagainya, kaum Muhajirin dan Ansar bersatu rasa.

Mereka adalah model ideal masyarakat satu aqidah, yang diikat dengan slogan “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.”

Jiwa yang mengutamakan saudara se-Islam yang lain tidak lain dan tidak bukan sekadar mengharapkan keredhaan Allah s.w.t., tiada agenda tersembunyi di sebalik tindakannya itu.

Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.”

(Surah al-Hasyr 59; 9)

Sebenarnya bukannya mudah untuk ithar dalam sesuatu perkara. Namun tiada yang mustahil apabila iman meraja di hati. Malah ithar inilah juga antara lambang ukhuwah yang sejati.

Harus diingat, tiada istilah ithar dalam ibadah. Jadi, jika berdepan dengan sebarang situasi, solat misalnya, utamakan diri sendiri terlebih dahulu.

Mementingkan Diri (Ananiyyah الأنانية)

Ananiyyah ialah sifat dan sikap keakuan atau mementingkan diri serta berasa megah akan diri sendiri.

Manusia makhluk yang saling memerlukan antara satu sama lain. Tiada siapa yang mampu hidup sendirian. Apa sahaja milik kita hanya pinjaman dan diberikan oleh Allah untuk berkongsi.

Golongan kafir dikritik hebat kerana sikap mereka yang terlalu mementingkan diri sendiri. Matlamat di sisi mereka boleh menghalalkan cara asalkan apa yang digemari nafsu dapat dipenuhi. Itulah punca fasad di muka bumi, apabila perubahan dilakukan demi memenuhi selera sendiri.

Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.”

(Surah al-Hasyr 59; 14)

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang terlalu mencintai diri sehingga membawa kepada mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Antara Keluarga dan Rakan

Saya manusia yang sangat menghargai sesebuah hubungan baik hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan. Baik dengan yang sejantina mahupun tidak. Tetapi dengan cara yang tersendiri.

Abah pernah menegur sikap saya yang kadang kala melebihkan kawan-kawan daripada keluarga. Dari sudut material, memang ya. Tapi dari sudut perhatian dan penghargaan, saya jarang sekali ketepikan keluarga. Saya punya cara yang tersendiri. Dengan keluarga yang tak pernah sekali pun mengecewakan saya (menurut akal yang waras), kesetiaan saya untuk pulang ke rumah setiap minggu selagi mampu dan meluangkan masa bersama mereka saya anggap lebih bernilai daripada sesuatu yang berbentuk material. Namun bukanlah bermakna saya langsung tidak memberikan apa-apa hadiah atau pemberian sebagai tanda penghargaan. Tidak sama sekali. Cuma ada masanya.

Sebaliknya dengan kawan-kawan dan orang lain selain keluarga, saya menghargai mereka dengan cara yang berbeza. Andai ada lebihan wang belanja, pasti ada sahaja sesuatu yang saya belikan untuk mereka. Kalau pun tak ada duit, saya akan cuba meluangkan masa untuk bergembira dengan mereka. Sebab saya fikir, masa saya bersama mereka tak sebanyak masa saya bersama keluarga. Setiap orang yang pernah hadir dalam hidup saya sedikit sebanyak telah menyumbangkan sesuatu (walaupun kecil) buat saya. Oleh itu, saya cuba sedaya upaya untuk menghargai mereka dengan cara yang tersendiri mengikut kemampuan saya apa adanya. InsyaAllah.

Kaitan Antara Kedua-duanya

Kalau nak dibahaskan persoalan ukhuwah dalam entri kali ini, alamat tak studylah saya. Tapi apa yang ingin cuba saya sampaikan di sini adalah sebuah persoalan. Sejauh manakah kita telah berusaha untuk menjaga silaturahim sesama ahli keluarga dan ukhuwah sesama saudara seislam kita yang lain?

Benar, hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu ada batas-batas yang perlu dijaga. Tetapi seringkali kita terlupa, hubungan sesama jantina pun ada adabnya bukan? Berlapang dadalah. Jangan terlalu syadid dan jangan terlalu meremehkan. Janganlah disebabkan niat kita ingin menegur seorang rakan yang melampaui batas dalam hubungan dengan yang bukan mahram ataupun diri sendiri yang ingin menjaga ikhtilat sesama bukan mahram, soal ukhuwah terabai. Hilang hormat, hilang thiqah (kepercayaan). Tambah pula rasa meluat dan menyampah. Na’uzubillah. Maka pada saat itu di mana letaknya slogan ‘ukhuwah fillah’ yang kita laungkan tadi? Seolah-olah kita bersikap mementingkan diri sendiri (ananiyyah) dan tidak ada lagi sifat ithar pada ketika itu.

Peringatan Buat Kita

Tolong, tolong dan tolong. Terutama buat mereka yang mengakui diri sebagai orang agama dan juga hamlatul Quran lebih-lebih lagi, tolong jangan jadikan diri kalian sebagai fitnah kepada golongan tersebut dek sifat mazmumah yang menghuni segenap ruang hati dalam diam. Peringatan buat diri sendiri juga.

Jangan sampai satu hari nanti kita menyesal tak sudah. Jangan sampai masih ada cebisan hati yang keras dalam kelembutan tanpa kita sedar dek sikap mementingkan diri sendiri. Jangan sampai kita mengalami kesukaran dan kepayahan dalam usaha pencarian sakinah sebab ada sesuatu yang menghijab. Buat para huffaz, jangan sampai al-Quran yang ada dalam dada kalian menempelak diri kalian di akhirat nanti sudahlah. Na’uzubillah.

Penutup

Saudara saudari yang saya sayang kerana Allah, peringatan ini bukanlah bertujuan ingin menunjukkan siapa yang hebat dan siapa yang lemah ataupun ingin menyalahkan sesiapa dan mengatakan saya di pihak yang benar. Hanya sekadar peringatan buat diri yang sering alpa. Andai ada yang tersilap, saya mohon ditegur dan maaf dipinta. Marilah kita sama-sama bermuhasabah, merenung kembali tujuan hidup di muka bumi ini. Tak lain dan tak bukan puncak tertinggi matlamat hidup hanyalah ingin meraih redha Allah semata-mata.

Ya Allah, jadikanlah kitab al-Quran itu hujah (shafaat) buat diri kami, bukanlah hujah (azab) ke atas diri kami.

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami sama ada yang kami sedar mahupun tidak.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang benar. Jalan yang Kau redhai bukanlah jalan yang Kau murkai.

Ya Allah, janganlah Engkau palingkan hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.

Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami dalam agama-Mu dan amalan taat kepada-Mu.

Ya Allah, perkenankan doa kami.

*Penulis ialah Saudari Izzati, bekas pelajar SBPI Sabak Bernam, SPM 2009. Blog beliau: http://wardah-imtiyaz.blogspot.com/