Hadith ini adalah hadith yang berkaitan tentang amalan manusia.Dalam hadith ini juga baginda saw,juga telah memberikan panduan yang berguna kepada ummatnya supaya sejahtera di dunia dan di akhirat.Hadith ini saya ambil dari kitab BIDAYATUL HIDAYAH yang telah dikarang oleh Syeikhuna,Imam Al-Ghazali Rahimahullahi alaih dengan harapan kita bersama-sama dapat bermuhasabah diri melalui hadith ini.Insyaallah.

Imam Abdullah bin Mubarak telah meriwayatkan di dalam kitab Al-Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki iaitu Khalid bin Maadan yang pernah berkata kepada Muaz:

“Wahai Muaz,Ceritakanlah kepadaku sebuah hadith yang pernah Engkau dengar daripada Rasulullah saw..”

Berkata rawi hadith tersebut iaitu Khalid bin Maadan ,lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaza bersabda:Aku mendengar Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku:

“Wahai Muaz! Sebenarya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadith jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau disisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan TUHAN pada hari kiamat nanti.

Lalu naiklah malaikat Hafazdah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang.Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari,sehingga apabila malaikata hafadzah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama.Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak,lalu berkata malaikat penjaga langit  itu bagi malaikat Hafadzhah:

“Pukullah dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya.Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat).Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”

Kemudian datang pula malaikat Hafadzah membawa amalan seseorang hamba.Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa ghibah) sehingga mereka sampai ke langit kedua lalu berkata malaikat penjaga langit kedua itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia.Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas.Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan.Akulah malaikat penjaga kebesaran”

Kemudian naik pula malaikat Hafadzah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah,sembahyang,puasa.Para malaikat Hafadzah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya.Akulah malaikat takbur.Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku.Orang ramai itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai”

Kemudian naik pula malaikat Hafadzah membawa amal seseorang hamba.Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip.Baginya suara tasbih,sembahyang,puasa,haji dan umrah.Para Malaikat hafadzah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat.Maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya,belakang dan juga perutnya.Akulah malaikat ujub.Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku.Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya”

Kemudian naik pula malaikat Hafadzah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

“Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya.Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya.Ia hasud akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan dalam ibadat ia juga mencela mereka.Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku”

Kemudian naik pula malaikat Hafadzah membawa amaln seseorang hamba.Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang,zakat.umrah,jihad dan puasa.Malaikat Hafadzah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

“Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian,Akulah malaikat rahmat.Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafadzah membawa amalan seseorang hamba.Amalan itu ialah sembahyang,puasa,nafkah,jihad dan warak.Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu orang malaikat.Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:

“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula seluruh anggota badannya dan tutuokan ke atas hatinya.Akulah malaikat zikir (zikir disini bermakna:mencari sebutan,iaitu seseorang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut orang lain).Aku akan menghalang amalan orang yang riya’ dari sampai kepada Tuhanku.Ia beramal bkan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya  mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut dikalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat.Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riya’ itu melintasi aku,kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riya’ dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riya'”

Kemudian naik pula malaikat Hafadzah dengan amalan seseorang hamba.Amalan itu berupa sembahyang,zakat,puasa,haji,umrah,akhlak mulia,banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir.Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petaja langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah.Para malaikat itu berhenti dihadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatNYA:

“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKU ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya.Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya tersebut.Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKU oleh kerana itu maka AKU turunkan ke atasnya akan laknatKU.”

Lalu para malaikat tadi berkata:

“Ke atasnya laknatMU dan juga laknat kami”.Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.

Mendengar sabda Rasulullah saw ini lalu Muaz menangis seraya berkata:

“Engkau adalah Rasulullah saw sedangkan aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan rasul).Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera?.Lalu Rasulullah saw menjawab:

“Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan.Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca Al-Quran (golongan ulama) dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau pertanggungkan dosamu ke atas mereka dan janganlah engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat.Dan jangan engkau menyombongkan diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada disisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat.Dan jangan engkau carikkan (pecah-belah) akan manusia maka mencarik akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti.Allah telah berfirman:

“Demi yang mencari akan carikkan” (surah An-Nazia’t:2)

Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang mencarik itu? Muaz bertanya: “Ya Rasulullah,sebenarnya siapa mereka?”

Lalu Nabi saw menjawab:

“Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang”

Muaz berkata:

“Ya Rasulullah,siapakah  orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”

Nabi saw menjawab:

“Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”

Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca Al-Quranul Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadith yang besar ini”

-Hadith ini riwayat Ibnul Mubarakdi dalam kitab Ai-Zuhd dan riwayat Ibnul Jauzi di dalam kitab Al-Maudhu’at (lihat Takhrij Al Iraqi,Ihya Ulumuddin 3/295)-

Moga dengan hadith ini kita dapat menghisab akan amalan yang kita lakukan selama ini,dan mudah-mudahan hadith ini dapat memotivasikan diri kita untuk bersungguh-sungguh mengejar,mencari dan menanam sifat ikhlas dalam diri,insyaallah..wallahu a’lam

Sumber:http://hauramaqsuroh71.blogspot.com/2010/07/muhasabah-diri-dari-hadith-rasulullah.html

-al-faqirah wal haqirah  illallah-