Sumber: Utusan Malaysia Online

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Gambar RASHID MAHFOF & Ihsan JAKIM

Para peserta, Rais, Murabbi dan krew penerbitan program bergambar bersama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz (duduk tujuh dari kanan).

KEBELAKANGAN ini kita dibanjiri dengan pelbagai program realiti televisyen. Belum reda satu rancangan, sudah ada program realiti yang lain menunggu. Sayangnya, kebanyakan daripadanya lebih berkonsep hiburan dan lebih sesuai untuk golongan dewasa.

Bagi mengisi kekosongan program-program untuk kanak-kanak, Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran (MEP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memperkenalkan rancangan realiti televisyen Adik-Adikku yang mula bersiaran 15 Februari lalu.

Program ini berbeza kerana ia mengetengahkan bakat 20 pendaie (pendakwah) kecil yang menunjukkan persembahan melalui pidato disusuli dengan tarannum, nasyid, bacaan surah dan sebagainya.

Adik-Adikku yang berkonsepkan hiburan dan pendidikan juga dilihat sebagai satu pendekatan dakwah Jakim yang bermula dari peringkat bawahan. Ini kerana sebelum ini, rancangan-rancangan terbitannya lebih mensasarkan golongan dewasa.

Penerbitnya, Saniah Ahmad berkata, mutakhir ini rancangan televisyen berbentuk realiti sangat diminati segenap lapisan masyarakat tanpa batasan usia.

Malah menjadi pilihan utama stesen-stesen televisyen di negara ini keluar dengan pelbagai program realiti yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Memandangkan keupayaan program seperti ini menarik penonton maka ramai yang menjadikannya sebagai sumber komersial.

Maka, kata Saniah, sudah sampai masanya MEP mengorak langkah merangka satu program realiti kanak-kanak dalam skop agama yang setanding dengan rancangan realiti sedia ada.

Atas alasan itulah, Jakim dengan kerjasama RTM terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk menerbitkan program realiti tersebut.

“Selain memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat untuk melihat sebuah program realiti kanak-kanak yang tidak terbatas hanya kepada kebolehan bernyanyi atau berlakon semata-mata, ia juga bakal membuktikan bahawa program realiti ini mampu memaparkan karisma kepimpinan, mencungkil bakat semula jadi serta mendorong terbentuknya jati diri di peringkat awal lagi,” katanya dalam pertemuan yang diatur Unit Perhubungan Awam Jakim selepas ke udara di Radio IKIM.fm, di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Menurut Saniah, program realiti yang bertemakan ‘Insan Gemilang, Karisma Terbilang’ itu menerima hampir 500 penyertaan pada peringkat permulaan.

Para peserta antara usia sembilan hingga 14 tahun telah menghadiri sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara, bermula 2007. Antara kriteria yang dicari adalah kepetahan berpidato, bertarannum dan mengaji.

Uji bakat dilakukan sama ada di jabatan agama negeri, stesen-stesen RTM negeri atau dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri.

Hasilnya, 20 kanak-kanak berbakat, berkarisma kepimpinan terpilih di kalangan yang terbaik.

“Peserta-peserta dikumpulkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor selama tiga minggu bermula 29 Novermber hingga 23 Disember 2009 dengan mendapat bimbingan daripada Rais (Pengetua) Farihin Abdul Fattah.

“Para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang dipimpin oleh lima orang murabbi (pembimbing/mentor) yang merupakan tokoh-tokoh agama yang terkenal di Malaysia iaitu; Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Mohd. Farid Ravi Abdullah, Zamri Zainuldin, Zawawi Yusoh dan Asni Mansor.

“Mereka wajib mengikuti pembelajaran dalam kelas serta aktiviti riadah seperti memanah dan berkuda sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

“Selain itu, peserta dibawa melawat sambil belajar ke beberapa tempat seperti Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Muzium Kesenian Islam, Planetarium Negara, Aquaria KLCC, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Memorial Tun Abdul Razak, Petrosains KLCC dan Denai Alam,” kata beliau.

Rancangan 25 episod itu akan bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat selama 30 minit pada pukul 6.30 petang di TV1, manakala siaran ulangannya pada jam 9.30 pagi hari berikutnya.

Mengulas format pertandingan kata Saniah, ia diadakan secara berperingkat iaitu pusingan pertama, suku akhir, separuh akhir pertama, separuh akhir kedua serta pertandingan akhir dan persembahan mereka dinilai oleh juri-juri profesional.

Setiap persembahan akan dinilai oleh panel juri berpengalaman. Pemenang akan menerima hadiah yang lumayan berupa wang tunai, piala iringan, set buku Siri Teladan Sepanjang Zaman dan langganan majalah ASUH selama setahun serta sijil penyertaan. Pemilihan akan ditentukan dengan penilaian para juri 100 peratus.

Peserta yang memberikan persembahan kurang memuaskan akan dilepaskan daripada menyertai pertandingan berikutnya.

Tambah Saniah yang berpengalaman 32 tahun dalam bidang penyiaran, untuk ke peringkat akhir seramai 20 orang peserta Adik-Adikku akan berkampung semula untuk sesi latihan di ILIM pada 13 Mac hingga 16 Mac ini, sebelum berpindah ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga 19 Mac 2010.

Ahad ini bersamaan 14 Mac akan diumumkan tujuh peserta yang berjaya meneruskan cabaran ke peringkat akhir.

Siaran langsung pertandingan akhir akan diadakan pada 18 Mac 2010 pukul 9 malam di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan disiarkan menerusi TV1.

Berbekalkan keyakinan dengan pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya, menjadi pemangkin semangat Saniah dalam merealisasikan aspirasi semua kelompok masyarakat tidak kira pemimpin mahu pun rakyat melahirkan generasi muda yang memiliki sifat kepimpinan dan kebijaksanaan agar mampu menjadi pemimpin di masa hadapan dan ummah. Ia sekali gus boleh dijadikan idola kanak-kanak hari ini.

Menyedari ini merupakan program realiti pertama atau anak sulung Jakim, tidak dapat tidak cabaran yang terpaksa diharungi diakui cukup hebat. Namun beliau agak terkejut apabila sejurus program ini mula bersiaran, pihaknya mendapat pelbagai maklum balas positif daripada para penonton.

“Cetusan idea menerbitkan program sebegini sebenarnya telah bermula sejak tahun 2007. Saya menjelajah seluruh Malaysia dan sepanjang tempoh itulah pelbagai masalah dan cabaran seperti, kekangan masa, kurang mendapat kerjasama pihak tertentu kerana ia satu program baru.

“Pernah dalam satu sesi uji bakat, tidak ada seorangpun pengunjung yang berminat mencuba malah mereka sekadar berlalu pergi, walaupun telah diterangkan perihal program realiti tersebut. Sebab itulah kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk bermula malah ada sesetengah lokasi itu, kita terpaksa pergi dua tiga kali untuk mencari peserta berkelayakan.

“Alhamdulillah setelah diuar-uarkan menerusi radio, surat ke sekolah-sekolah, jabatan agama serta meminta pihak masjid menyebarkannya, barulah ada beberapa orang bagi mencukupkan 20 orang,” kata Saniah yang berpuas hati dapat melaksanakan program ini walaupun menghadapi pelbagai kekangan.

“Apabila berakhirnya program ini anak-anak yang dilahirkan dari program ini, saya harap tidak tamat setakat di sini sahaja.

“Ini kerana mereka ini kemudiannya akan mewarisi kepimpinan sedia ada serta menjadi manusia berguna.

“Di pihak ibu bapa pula, semoga dapat mengambil iktibar kebaikan program ini yang mampu membimbing anak-anak mereka mengetahui hala tuju yang perlu,” katanya yang berharap program itu diteruskan ke musim-musim berikutnya.