Selalu dengar tentang kawan-kawan, saudara-mara seagama kita dekat Gaza? Jarang? Kerap? Kadang-kadang? Humm. Ada yang risau, ada yang sedih, ada juga yang tak tersentuh langsung. Kenapa? Mungkin kamu boleh jawab, saya hanya ingin menimbulkan soalan ini, supaya kita semua tahu macam mana keadaan ayah, ibu, adik, akak, abang, atuk, nenek berbangsa Palestin yang sekarang dibedil, ditembak macam sasaran dalam latihan menembak pula.
Jadi, ingin saya kongsi beberapa potongan keratan surat khabar yang berkisar keadaan, bantuan, usaha dan juga peristiwa yang berkaitan dengan Gaza.
Pertama: Hospital Al-Quds dibedil
17 Januari 2009 – Kereta kebal rejim Zionis membedil sebuah hospital di bandar Gaza menggunakan peluru meriam mengandungi fosforus putih, menyebabkan hospital itu terbakar.
Presiden Perhimpunan Agung, PBB, Miguel d’Escoto Brockmann membidas keganasan rejim Yahudi berkata, Gaza kini terbakar dan telah dijadikan neraka dunia.
Pergerakan Hamas mencadangkan gencatan senjata selama setahun dengan Israel jika tentera rejim Zionis itu berundur dari Genting Gaza.
Komen penulis: Nampaknya Israel makin ‘gila’, hospital-hospital pula menjadi sasaran mereka dalam kempen ketenteraan secara besar-besaran ini. Seperti sebelum-sebelum ini, rumah, premis-premis perniagaan, aah! Semua bangunan hendak dibedil mereka. Semakin lama, semakin banyak kerosakan, semakin banyak kematian, semakin banyak kehancuran yang berlaku. Selain itu, Gaza kini dipanggil ‘Neraka Dunia’, memang benar! Dan semakin lama, panggilan ini semakin benar dan ingin direalisasikan Rejim Zionis dalam usaha ‘gila’ mereka menghapuskan Hamas dari bumi Palestin.
Kedua: Boikot: Perlu praktikal
KUALA LUMPUR 17 Jan. – Rakyat Malaysia diminta lebih praktikal dalam memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan negara bankrap pada masa depan.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, meskipun tindakan itu bertujuan memprotes situasi yang berlaku di Genting Gaza namun ia boleh mendatangkan musibah kepada negara sekiranya kuasa besar itu membuat perkara yang sama kepada Malaysia.
Beliau yang melahirkan kebimbangan dengan situasi semasa berkata, sebagai rakan dagangan terbesar di Malaysia, AS mampu melakukan apa sahaja untuk membalas tindakan memboikot barangannya.
‘‘Dalam hal ini, Malaysia sebenarnya boleh diibarat seperti mentimun dengan durian, tergolek rosak, digolek binasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Komen penulis: Kita perlu lebih praktikal? Secara dasarnya saya tidak begitu setuju 100% dengan apa yang disampaikan dalam keratan akhbar ini. Jauh dalam hati saya, ingin saya kata yang mereka salah. Ya! Kerana, saya sedar apa yang saya katakan di sini. Sepertimana yang kita tahu, memang banyak syarikat dari negara ‘Uncle Sam’ yang menjalankan operasi perniagaan mereka di sini, tak ketinggalan juga di negara-negara Islam yang lain. Jika kita berjaya dalam usaha boikot kita, kita insyaAllah bakal menberi impak besar dalam menjatuhkan perniagaan mereka di sini. Dan jika mereka tiada? Ya, kita mampu membuka peluang kepada entiti perniagaan yang baru… baru dan juga bakal dibangunkan dari tangan orang Islam kita sendiri. Saya sedar yang saya bukan pelajar jurusan ekonomi, tetapi apa yang saya sampaikan ini ada rasionalnya. Kita seharusnya bijak mengambil peluang, jangan pula takut dengan ‘ugutan-ugutan’ mereka. Ini peluang bagi kita untuk membenarkan orang Islam membuka empayar perniagaan, secara tidak langsung bakal membantu perkembangan Islam dalam dunia yang selama ini memandang hina dan rendah akan keupayaan kita. Jangan pula kita anggap usaha kita ini menjadi punya kejatuhan ekonomi, tetapi mengangganpnya sebagai usaha jangka panjang dalam membantu Islam untuk berada pada tahap yang sepatutnya pada mata masyarakat dunia, insyaAllah.
Ketiga: Gaza: Sidang kemuncak Liga Arab jadi perhatian
BANDARAYA KUWAIT 17 Jan. – Tanpa sebarang penyelesaian terhadap serangan Israel ke atas Gaza, dunia Arab kini bergantung pada sidang kemuncak Liga Arab Isnin ini bagi bertindak tegas menghentikan kezaliman rejim Zionis itu.
Menteri-menteri Luar Arab telah mengadakan mesyuarat di sini semalam untuk meluluskan draf resolusi mendesak Israel menghentikan serangan mereka ke atas Gaza, yang sehingga ini telah mengorbankan lebih 1,000 rakyat Palestin.
Mesyuarat tersebut juga meluluskan cadangan meminta negara-negara Arab memberi jaminan bantuan kewangan bagi pembinaan semula wilayah Gaza yang dianggarkan AS$2 bilion (RM7.12 bilion) dan bantuan tambahan AS$500 juta (RM1.78 bilion) kepada pihak berkuasa Palestin. – Bernama
Komen penulis: Lambat? Cepat? Soalan berkaitan kecekapan dan kepantasan pemimpin-pemimpin arab ini tak mahu saya jawab. Anda mungkin lebih arif dari saya berkaitan isu ini, jadi anda yang tentukan sendiri jawapannya. Sudah lebih 1,000 orang yang terkorban, dan baru hari ini Liga Arab mengadakan sidang kemuncak mereka. Humm, bantuan kewangan pembinaan semula Gaza? Mungkin bukan langkah yang dapat membantu mengurangkan bilangan insan yang terkorban di sana, tetapi langkah ini sekurang-kurangnya mampu membantu anak-anak Palestin hidup dengan lebih terjaga selepas berakhirnya perang tersebut, dengan kata lain, bantuan untuk ‘masa hadapan’ yang masih penuh dengan pertanyaan. Ada sebahagian dari diri saya ini yang ingin mempersoalkan tindakan mereka, apa yang mereka lakukan sekarang ini baik, tetapi tidak cukup bagus. Mungkin mereka terlupa, terlupa akan bantuan ‘sekarang’, apa yang mereka fikirkan adalah bantuan ‘masa depan’. Masa depan yang masih samar-samar, ada kemungkinan bantuan 2 billion tersebut tak dapat disalurkan akibat tiada orang yang mampu untuk merasainya lagi. Faham? Masa depan bukan perkara yang kita mampu jangka, mungkin kisah Gaza akan berakhir dengan ketiadaan warga Gaza di sana, habis dibunuh kejam oleh Zionis. Tindakan ‘sekarang’ perlu diambil, jangan dibiarkan angka 2,000 kematian pula yang terpanpang pada dada akhbar. Jangan biarkan ‘masa depan’ yang hitam menjadi parut kegagalan kita dalam membantu mereka ‘sekarang’. Jadi fikir-fikirkan.
Sampaikan bantuan dan kasih anda terhadap Palestin dengan melawati laman ini
Tinggalkan Balasan