Berkeras tindakan tidak mencabuli undang-undang antarabangsa.
BAITULMAQDIS: Israel kelmarin mengakui anggota tenteranya menggunakan fosforus putih dalam serangan ke atas Gaza Januari lalu tapi berkeras perbuatannya itu tidak mencabuli undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan setebal 163 muka surat yang dikeluarkan menjelang siasatan jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijangka siap bulan depan, Israel mempertahankan serangan 22 hari itu “sebagai tindakan perlu dan sepadan” bagi membalas bedilan roket oleh Hamas terhadapnya.
Kira-kira 1,400 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, dan 13 rakyat Israel terbunuh dalam serangan itu yang berlaku di antara 27 Disember 2008 hingga 18 Januari lalu. Israel sudah berkali-kali menepis tuduhan jenayah perang oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Kementerian Luar itu, Israel berkata peperangan berkenaan adalah tindakan balasnya kepada 12,000 bedilan roket oleh militan Hamas di Gaza selama lapan tahun, selain pengeboman bunuh diri yang membunuh 1,100 orang di Israel.
Ia menegaskan Israel memenuhi tuntutan undang-undang antarabangsa dalam serangan 22 hari itu, dan menambah ia sedang menjalankan siasatan menyeluruh ke atas 100 aduan mengenai salah laku anggotanya, yang ditimbulkan oleh PBB dan kumpulan hak asasi manusia.
Kira-kira 13 fail jenayah dibuka, kebanyakannya membabitkan dakwaan bahawa askar Israel menggunakan orang awam sebagai penghadang manusia atau sengaja merosakkan harta benda, tambah laporan berkenaan.
Sebelum ini Israel berkata siasatan dalaman oleh pasukan keselamatannya tidak menemui sebarang bukti mengenai salah laku serius oleh anggotanya dalam pertempuran di Gaza.
Israel juga buat pertama kalinya mengakui dalam laporan berkenaan bahawa tenteranya menggunakan “senjata mengandungi fosforus putih” di Gaza, tapi menolak ia mencabuli undang-undang antarabangsa, dengan menyatakan ia tidak melepaskan tembakan seumpama di kawasan ramai penduduk.
Sebelum ini Israel berkata ia sedang menyiasat dakwaan bahawa ia melepaskan tembakan fosforus, yang menyebabkan kesan terbakar serius, tanpa mengesahkan atau menafikan ia melakukannya.
Israel tidak memberi kerjasama kepada siasatan PBB yang diketuai bekas ketua pendakwa jenayah perang PBB, Richard Goldstone dan menuduh pertubuhan berkenaan bertindak berat sebelah menentang negara Yahudi itu.
Selain itu, satu lagi laporan menyebut 30 veteran Israel berkata mereka berusaha mengurangkan mangsa kecederaan di kalangan mereka, berbanding mengelakkan kematian orang awam di Gaza.
“Ada usaha untuk terus menghidupkan isu ini, oleh itu kami akan menyediakan penjelasan sepenuhnya kenapa kami melakukannya, apa yang kami lakukan dan bagaimana,” kata pegawai kementerian Israel. – AP
Berita dipetik daripada: http://www.bharian.com.my/
Tinggalkan Balasan