Pertubuhan Alumni Pelajar Islam SBP mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam khususnya yang berada di Malaysia.

Sempena lebaran ini, marilah kita bersama meraikannya dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi atas kesempatan kita menyempurnakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan dan keamanan yang kita nikmati sehinggakan kita dapat menjalani Ramadan dan menyambut Syawal dengan penuh nikmat.

Oleh yang demikian, marilah kita mengeratkan lagi ukhwah dan kesatuan persaudaraan sesama Islam sebagai tanda syukur atas rahmat yang dilimpahi. Sesungguhnya, perpecahan merupakan bencana yang merosakkan kekuatan kita sendiri. Amalan kunjung-mengunjung sangat membantu kita mengeratkan silaturrahim dan inilah masanya untuk sanak saudara yang berpeluang untuk sama-sama berkumpul. Kita mulakan kesatuan umat yang lebih besar dengan terlebih dahulu mengeratkan pertalian ukhwah dengan darah daging kita. Kita juga dinasihati untuk memandu dengan berhemah semasa perjalanan pulang ke kampung halaman.

Selain itu, marilah kita bersama-sama berusaha mengelakkan pembaziran yang banyak terjadi  semasa menyambut Syawal oleh segelintir masyarakat. Amalan berjimat cermat dan bersederhana juga merupakan salah satu cara kita menzahirkan rasa syukur kepada Allah. Kita harus bijak mengawal perbelanjaan supaya tiada pembaziran berlaku. Pembaziran yang kita lakukan sebenarnya sebuah kerugian kerana kita boleh menggunakan perbelanjaan tersebut untuk keperluan diri lain yang tentunya amat penting mahupun digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan ummah.

Di saat kita seronok menyambut kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan, ada kalangan umat Islam di dalam mahupun luar negara yang kurang berkemampuan untuk menyambutnya dengan rasa gembira. Jadi, wajarlah kita sama-sama menginsafi nikmat kurniaan Allah dengan penuh kesyukuran. Semoga kita semua dipermudahkan menjalani lebaran ini dan sama-sama bermuhasabah diri.