Alhamdulillah, bulan November 2008 menyaksikan saya serta 13 orang lagi rakan batch menjejakkan kaki ke New Zealand. Perjalanan memakan masa selama 9 jam dari Malaysia berhenti di Auckland. Kemudian, ke Wellington, untuk tempoh masa 1 jam penerbangan.

Tiba di Wellington Akhir Musim Bunga

Tiba di Wellington, cuaca yang menyambut kami ketika itu adalah agak sejuk. Agak sejuk bagi kami yang berasal dari sebuah negara yang beriklim Khatulistiswa. Tetapi, lama kelamaan kami mula menyesuaikan diri dengan suhu begini.

Secara puratanya, suhu paling tinggi yang pernah dicapai sepanjang berada di sini adalah lebih kurang 24℃, ketika musim panas, dan lebih 1℃, ketika musim sejuk. Suhu berlainan berdasarkan kawasan.

North Island suhunya agak tinggi daripada South Island. Di kawasan South Island, suhunya mampu mencecah negatif, pada waktu sejuk. Walaubagaimanapun, Wellington terletak di North Island.

Wellington Bandar Pentadbiran

Disini terdapatnya bangunan Parlimen, yang dikenali sebagai Bee Hive. Bandar yang dikelilingi oleh pejabat-pejabat pentadbiran yang tinggi. Ke sana sini, akan kelihatan ramai orang yang berkot dan berkemeja serta bertag nama, terutamanya pada hari bekerja.

Pengangkutan awam mudah untuk diperolehi memandangkan pengangkutan awam adalah antara pengangkutan utama di bandar Wellington. Selebihnya, ramai yang gemar berjalan kaki.

Patutlah orang-orangnya sihat! Daripada yang berumur lanjut, sampailah yang si kecil, kebanyakannya akan berjalan kaki untuk ke mana-mana.

Victoria University Of Wellington

Dikenali juga sebagai Vic Uni, yang mempunyai 4 buah kampus. Kelburn campus (utama), Pipitea Campus, Te Aro Campus, dan Karori Campus. Kampus-kampus ini berbeza berdasarkan jurusan yang diambil. Kampus-kampus ini juga jauh dari satu kampus ke satu kampus yang lain. Namun, jangan risau, jika anda pelajar jurusan Sains, kampus anda hanya di Kelburn Campus.

Manakala bagi pelajar jurusan perakaunan, Pipitea Campus adalah tempat tujuan anda.

Te Aro Campus pula untuk yang menceburi jurusan seni bina, dan Karori Campus untuk mereka yang berjurusan pendidikan. Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar Malaysia akan berlegar di Kelburn Campus untuk tahun pertama, kemudian, berpecah pada tahun-tahun yang berikutnya.

Komuniti Islam di sini terdiri daripada mereka yang berasal dari Jordan, Somalia, Palestine, Malaysia, dan beberapa lagi negara lain. Mengenali mereka yang berbeza mazhab menjadikan kita lebih terbuka. Namun, dalam usaha kita membuka minda, jangan lupa untuk sentiasa sumber, terutama pada fakta-fakta yang terasa amat pelik bunyinya.

Tentang New Zealand

Sebelum datang ke sini, ayah pernah berkata, “Nanti kena lah kawan orang Maori. Rupa diorang tu lebih kurang macam orang Melayu je.” Ketika itu saya seperti endah tak endah, sebab saya mengira ianya sebagai gurauan daripada ayah. Tambahan pula, ilmu saya tentang New Zealand ketika itu sangat rendah. Yang saya tahu, New Zealand lagi sejuk daripada Malaysia, itu sahaja. All Blacks, Hakka, adalah term yang pernah saya dengar, tapi, saya tak pernah perasan bahawa ia berkait rapat dengan New Zealand.

Apabila benar-benar berada di sini, saya mula mengenali. Berjalan dengan rakan-rakan di bandar, bertemu dengan beberapa orang yang luarannya seperti orang Melayu, cuma saiz badan mereka sedikit besar. Mulanya, saya menyangka mereka adalah orang Melayu, rupanya tidak. Itu lah orang Maori.

Pada tahun pertama saya mengambil subjek Introduction to Biotechnology. Subjek ini memerlukan saya untuk membuat sedikit pembacaan dan kajian tentang Maori dan Pakeha (Orang-orang Eropah yang berhijrah ke New Zealand).

Perjanjian Waitangi (Treaty of Waitangi), kononnya hari kebebasan Maori daripada penjajah, hanyalah omongan semata. Orang-orang British menganggap ia sebagai kemerdekaan kepada New Zealand, sedangkan orang-orang Maori (native) menganggap ia sebagai penjajahan rasmi ke atas New Zealand. Perjanjian yang di buat dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Maori, telah diterjemahkan secara tidak jujur. Sehingga kini isu tentang Perjanjian Waitangi ini diperdebatkan.

Jika di Malaysia, Hari Kemerdekaan, 31 Ogos, di sambut dengan gilang gemilang, tetapi disini, sangat berbeza. Pernah terjadi krisis hebat semasa Waitangi Day sehinggakan Perdana Menteri ketika itu, Helen Clark tidak menyertai sambutan tersebut. Krisis dan protes yang dilakukan oleh oleh sebahagian orang Maori bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka kepada Perjanjian Waitangi ini.

Apa yang dirasakan oleh orang Maori mungkin tidak sama dengan apa yang dirasakan oleh penduduk Malaysia. Untungnya dahulu, pemimpin-pemimpin kita sudah tahu berbahasa Inggeris, langsung memudahkan perjanjian tanpa perlu diubah bahasa. Maka, merdekalah Malaysia secara fizikalnya.

Saya terfikir, Islam dahulu pernah menguasai 2/3 dunia. Kejatuhan zaman Khilafah, sekaligus penyingkiran Khalifah membuatkan orang Islam menjadi semakin lemah. Orang Maori sehingga kini mempertahankan tanah air mereka, walaupun isu ini sudah beratus tahun berlalu.

Mereka masih punya semangat. Semangat turun temurun untuk mempertahankan dan memperjuangkan hak mereka di atas tanah air mereka. Bagaimana pula kita? Kita, sebagai orang Islam, yang pernah tahu bahawa dahulunya Islam pernah menguasai dunia.

Apakah yang telah ‘aku’ buat untuk mengembalikan kegemilangan Islam semula?

Terima kasih subjek Introduction to Biotechnology kerana telah membuat diri ini berfikir dan back to basic.

Penulis ialah Nur Syamimi Mohd Napis, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri dan kini menuntut di Victoria University of Wellington, New Zealand sejak tahun 2008 hingga sekarang. Blog beliau: http://miminapis.wordpress.com/

*Kepada mana-mana pembaca yang ingin berkongsi pengalaman masing-masing untuk dimanfaatkan oleh umat Islam yang lain, anda adalah dialu-alukan dan boleh menghantarnya kepada kami.