*Artikel ini ditulis oleh Saudara Amirul bin Rahim yang menerima anugerah “High Distinction” daripada pihak Universiti Queensland, Australia sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik beliau. Beliau merupakan pelajar lepasan MCKK (SPM tahun 2006) dan kini di bawah pinjaman boleh ubah Petronas, tahun kedua pengajian kejuruteraan kimia di Universiti Queensland, Australia.

Lanjutan daripada kejayaan saya mendapat anugerah ‘High Distinction’ dari University of Queensland pada tahun lepas, sahabat rapat saya di Univeristy of Adelaide mencadangkan supaya saya berkongsi teknik belajar yang saya amalkan. InsyaAllah akan saya cuba rungkaikan beberapa petua dan pada masa yang sama, menekankan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar yang merencatkan pencapaian akademik mereka. Teknik yang dinukilkan ini tidak bersifat statik malah saya menggalakkan para pembaca untuk mengolah petua- petua yang diberikan mengikut kesesuaian dan kretiviti masing- masing. Semoga artikel ini dapat memberi manafaat sepenuhnya kepada anda:


1. Tidur dan rehat yang secukupnya:

Tujuan saya meletakkan tidur dan rehat sebagai dua entiti berbeza ialah kerana kedua- duanya memang merupakan dua entiti yang berbeza. Secara purata golongan sebaya dengan kita memerlukan 7-8 jam waktu tidur. Walaubagaimanapun, setiap individu mempunyai kitaran tidur yang berbeza dan amat penting untuk kita mengenali dengan rapat kitaran ini. Contohnya saya akan masuk tidur pukul 12 tengah malam dan bangun pukul 6.30 pagi (subuh tak kantoi ok). Waktu tidur ini tidak memadai bagi saya namun cukup untuk mengharungi kelas tanpa kepenatan. Oleh itu saya akan menggantikan dengan tidur petang selang 2-3 hari. Kesilapan pelajar ialah mereka gemar tidur lewat walaupun semasa minggu semester kerana beranggapan tidak ‘cool’ untuk tidur awal. Anggapan ini hanya merosakkan otak kerana menjelang pukul 1 pagi, keupayaan untuk memberikan tumpuan akan menurun sehingga 90%.

Rehat yang mencukupi diperlukan pada waktu siang. Terdapat sebab mengapa di universiti, satu kelas hanya disingkatkan selama 50 minit dan terdapat 10 minit waktu lapang sebelum kelas yang seterusnya. Hal ini kerana manusia boleh mengekalkan daya tumpuan terhadap sesuatu perkara dalam lingkungan 40- 50 minit sahaja. Selepas itu daya tumpuan ini akan menurun secara mendadak ( sebab tu berkhayal atau berborak dalam kelas). Aplikasi yang sama perlu digunakan semasa membuat ulangkaji.

2. Sarapan pagi:

Sewaktu kita tidur, kandungan glukosa dalam darah menjadi rendah kerana badan sedang berehat. Oleh itu penting untuk kita meningkatkan kembali kandungan glukosa supaya minda menjadi aktif. Sarapan merupakan hidangan yang terpenting berbanding dengan waktu makan yang lain. Walaupun otak kita hanya 3 kg secara purata, ia menggunakan 25% daripada kandungan oksigen dalam badan. Hal ini menunjukkan sel-sel neuron menggunakan lebih banyak glukosa untuk berespirasi. Para pelajar hari ini cenderung untuk mengabaikan waktu sarapan mereka kerana beranggapan leceh menyediakan sarapan ataupun bangun lambat untuk ke kelas. Hidangan yang terbaik ialah makanan yang mempunyai kandungan glukosa yang tinggi seperti madu. Saya makan satu sudu madu setiap pagi sebagai makanan untuk minda.

3. Teknik belajar:

a) Otak kita tidak berfungsi seperti sel- sel otot. Kita dapat menjadikan sel- sel otot lebih kuat dengan berlatih mengangkat berat dan memaksa sel- sel otot untuk bekerja. Berbeza dengan sel neuron, ia tidak berfungsi seperti ini. Teknik belajar yang betul diperlukan supaya otak dapat mengingat dengan lebih baik. Contoh yang baik ialah membuat peta minda dan teknik mnemonik. Teknik mnemonik merangkumi mencipta kata kunci dan mengaitkan mereka dalam satu cerita supaya senang diingati. Sebagai contoh cuba anda hafal senarai objek di bawah dalam masa 30 saat:

I. Epal

II. Ubat gigi

III. Baju

IV. Telur

V. Roti

VI. Pewangi tandas

VII. Pen

VIII. Susu

IX. Sirap

Sukar? Cuba pula hafal cerita di bawah:

Ali cuba memberus gigi di waktu pagi tapi tiada UBAT GIGI. Oleh itu dia makan EPAL untuk membersihkan giginya. Selepas into Ali memakai BAJU dan masuk ke tandas. Dia terkejut melihat PEN bertaburan atas lantai tandas dan bau tandas amat busuk( tiada PEWANGI TANDAS). Apabila Ali membuka mangkuk tandas, dia terkejut melihat air di dalamnya berwarna putih (SUSU). Dia cuba mengepam tandas itu dan cecair merah (SIRAP) mengalir keluar. Ali cepat- cepat keluar dan makan ROTI TELUR untuk melupakan peristiwa menakutkan itu.

Mungkin bukan contoh cerita yang baik tapi itu yang dapat saya fikirkan secara spontan. Teknik peta minda dan mnemonik ini diamalkan oleh Tony Buzan, juara memori dunia.

b) Selain itu, rajinkan diri untuk melihat koleksi kertas peperiksaan pada tahun- tahun lepas supaya anda dapat menilai apa yang penting dalam subjek yang dipelajari. Bukan semua perkara yang diberitahu oleh pensyarah akan diuji dalam peperiksaan. Dengan mengetahui subtopik yang penting, usaha yang berfokus boleh dibuat untuk menguasainya. Teknik ini boleh menjimatkan masa untuk belajar dan memberi lebih masa untuk pelajar mengulangkaji subjek yang lebih sukar.

4. Kuasa lahiriah/ ‘spiritual’

Doa merupakan senjata kepada mukmin. Banyakkan berdoa kepada Allah swt sepanjang masa terutamanya selepas solat. Jangan takut berdoa secara spesifik, saya sendiri berdoa agar dikurniakan keputusan ‘7 flat’ untuk setiap peperiksaan selepas solat. Begitu juga bertawakkal kepada-Nya selepas menjawab peperiksaan. Kuasa lahiriah ini penting supaya apabila kita berjaya, kita tidak akan berasa terlalu membangga diri dan jikalau kita gagal, kita tidak akan berasa terlalu kecewa dan menyebabkan kita berputus asa. Allah yang bersikap Maha Adil akan memberikan keputusan yang terbaik terhadap setiap individu, sesuai dengan perjalanan hidupnya. Seperti yang saya pelajari semasa khutbah Jumaat di sini, sekiranya seseorang individu muslim dapat beramal dengan lebih baik sekiranya dia miskin, maka Allah akan mengekalkan kemiskinannya itu.

Cukuplah sekadar sini petua yang diberikan, sekiranya ingin petua yang lebih mendalam, jangan segan- segan bertanya kepada saya. Semoga usaha saya ini diberkati oleh Alla swt dan memberi manafaat kepada anda. Selamat berjaya!