Mustahil manusia dapat hidup keseorangan. Manusia memerlukan teman untuk berbicara dan keluarga untuk berkongsi kesenangan dan kesusahan. Apabila kita membeli rumah, kita tidak dapat lari daripada hidup berjiran. Tanpa jiran, pastilah hidup menjadi bosan. Apabila kita pergi ke sekolah, kita belajar dalam satu kelas bersama pelajar- pelajar lain. Teman, keluarga, jiran dan pelajar, mereka merupakan kumpulan manusia yang membentuk masyarakat di sekeliling kita.

Apabila masyarakat tinggal bersama dalam sesuatu kawasan, maka dalam kalangan ahli masyarakat akan terbentuklah satu persamaan samada dari segi identiti atau pun sikap. Sebagai contoh, para pelajar sekolah yang membentuk masyarakat sekolah memakai pakaian seragam yang sama. Persamaan ini penting agar perasaan kepunyaan wujud dalam kalangan ahli masyarakat dan seterusnya menyebabkan mereka selesa tinggal dalam satu- satu masyarakat.

Persamaan ini tidak hanya tertakluk secara fizikal sahaja seperti memakai pakaian yang sama malahan lebih daripada itu. Begitu hebat pengaruh masyarakat sehingga ahli masyarakat boleh dibentuk agar mendukung ideologi yang sama. Sebagai contoh seperti yang dipaparkan dalam novel dan juga filem ‘Mao Last Dancer’, keseluruhan masyarakat Cina yang dipaparkan ketika itu memegang ideologi komunis.

Pengaruh masyarakat atau dalam kata lain spersepsi masyarakat, mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Oleh sebab majoriti masyarakat membenci perbuatan jenayah seperti merompak dan menagih dadah, kita akan terdidik secara tidak langsung untuk turut sama membenci perbuatan tersebut. Bayangkan sesebuah masyarakat yang menyokong perbuatan merompak maka tidak amanlah kehidupan ahli masyarakat tersebut. Atas sebab ini pengaruh masyarakat menjadi penting dalam kehidupan seharian kita.

Walaubagaimanapun, oleh sebab pengaruh masyarakat dibentuk oleh manusia, persepsi masyarakat mempunyai pelbagai kelemahan yang boleh merencat kemajuan masyarakat itu sendiri. Contoh klasik adalah dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Untuk menguasai sesuatu bahasa, kita harus cuba untuk berbicara menggunakan bahasa tersebut. Hal ini penting untuk membentuk keyakinan seseorang untuk berbicara dalam bahasa yang ingin dikuasainya dan seterusnya meningkatkan taraf kefasihan. Namun malangnya, terdapat segelintir msyarakat yang berasakan seseorang itu ‘poyo’ apabila bertutur dalam bahasa Inggeris dan cuba bertindak menyisihkan orang tersebut. Apabila kuasa stigma masyarakat digunakan dalam hal- hal yang tidak sepatutnya, sukarlah untuk kita melakukan sesuatu perubahan walaupun ia menjurus kepada kebaikan.

Motivasi:

Sekiranya para pembaca berada dalam kelompok yang sedang melakukan perubahan kepada kebaikan dan berada dalam situasi disisihkan oleh masyarakat, nasihat saya janganlah susah hati. Stigma masyarakat bukanlah sesuatu yang dapat kita elakkan atau diubah semalaman sahaja. Paling penting anda yakin perubahan yang anda lakukan merupakan usaha murni ke arah kebaikan. Jika terlalu diturutkan kehendak masyarakat, maka kita akan menjadi seperti kisah seorang anak kecil bersama bapanya yang tua yang mengembara bersama seekor unta. Apabila anaknya menaiki unta tersebut dan ayahnya berjalan kaki, seorang penduduk mengatakan anak itu bersikap zalim kerana membiarkan ayahnya yang tua berjalan kaki. Untuk memuaskan hati penduduk tersebut, anak dan bapa bertukar kedudukan mereka. Apabila seorang penduduk lain menemui mereka, ia berkata bahawa bapanya bersikap zalim kerana membiarkan anaknya yang kecil berjalan kaki. Pendek kata, cuba mematuhi stigma masyarakat secara total adalah seperti mencurahkan garam ke laut. Gunakan kebijaksanaan kita dalam mengimbangi keperluan untuk memenuhi stigma masyarakat dan tuntutan untuk berubah.

Artikel ditulis oleh Mohamad Amirul bin Rahim