Soalan; Ustaz , apakah hukum memuat turun lagu – lagu , filem dari internet atau membeli barang – barang cetak rompak yang bukan dari sumber yang asli?

Jawapan;

Dalam soalan saudara itu ada dua perkara yang perlu penjelasan;

1. Kedudukan lagu, filem dan barang-barang itu sendiri; adalah harus di sisi Syarak atau tidak? Jika tidak harus (yakni lagu yang hendak dimuat-turun itu senikata atau liriknya bercanggah dengan Syari’at dan begitu juga dengan filem dan barangan/produk), haramlah ia didownloadkan sekalipun dari sumber yang asli/sah. Ini kerana seorang muslim dilarang Syarak mengguna, menyimpan dan memiliki barang-barang yang haram, apatahlagi menjualnya.

2. Hukum membeli barang cetak rompak; para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam ke 6 yang diadakan di negara Kuwait (1 hingga 6 Jamadil-Awwal 1409 Hijrah) telah memutuskan bahawa; “Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara mengikut Syari’at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus ia dicerobohi”. Oleh demikian, berdasarkan fatwa ini; tidak harus seseorang menjual barang/produk cetak rompak kerana ia dikira menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga tidak harus kita membeli barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barang curi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 9, hlm. 559.

Ditulis oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://ilmudanulamak.blogspot.com/ )