Fenomena pembunuhan dan pembuangan bayi adalah satu bencana yang perlu kita hadapi dengan serius. Langkah berkesan dan realitisik perlu diambil dengan segera pada segenap peringkat. Daripada setinggi-tinggi kuasa pemerintahan dan perundangan hinggalah ke serendah-rendah tahap rakyat biasa perlu ada tindakan yang sewajarnya.

Lembaran akhbar harian sejak beberapa hari ni memaparkan berita-berita menyedihkan mengenai pembunuhan bayi yang baru lahir. Krisis keruntuhan akhlak mesti segera diatasi, mengelakkan lebih banyak bencana daripada manusia sendiri. Sejarah kembali berulang. Peristiwa menyayat hati ini tidak ubah seperti pembunuhan hidup-hidup bayi perempuan ketika zaman jahiliah.

Adakah manusia mengulangi kesilapan buat kesekian kalinya?


Adakah kita tergolong dalam kelompok yang rugi ataupun lebih teruk, celaka, seperti yang disebut dalam hadis,

“Barangsiapa yang hari ini lebih bagus dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari semalam, maka dia dari kalangan yang celaka”

Apabila seseorang hilang pertimbangan dalam dirinya, hilang sikap perikemanusiaan. Manusia yang tidak berperikemanusiaan sebenarnya hamba yang tidak mensyukuri nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya. Penyelesaian dan pembenterasan sesuatu masalah haruslah difokuskan kepada punca berlakunya masalah tersebut. Termasuk juga dalam kes pembuangan bayi ini.

Secara umumnya, masalah ini berpunca daripada pergaulan bebas yang berleluasa dan perbuatan terkutuk zina yang semakin parah dan membarah. Kita harus sedar bahawa zina itu memberi kesan yang amat buruk dalam kehidupan manusia. Oleh itu, perkara utama yang mesti dilakukan untuk mengelakkan lebih banyak pembunuhan insan tak berdosa ialah dengan menjauhi zina sejajar dengan perintah Allah dalam Al-Quran seperti dalam Surah Al-Israk ayat 32. Memang banyak usaha dilakukan bagi menyedarkan masyarakat terutamanya remaja agar tidak terjebak dalam gejala pergaulan bebas yang ekstrim. Namun, semuanya terletak pada individu itu sendiri selain ibu bapa yang mempunyai peranan yang amat penting dalam hal ini.

Marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki masalah ini dengan menjauhi penzinaan dan sentiasa berusaha menjadi golongan yang beruntung kerana usaha ini terletak pada diri kita sendiri seperti yang saya sebutkan tadi. Semoga kita menjadi manusia yang berperikemanusiaan.

Ditulis oleh Saudara Fairosza,

Mantan Presiden Persatuan Pelajar Islam Sekolah Menengah Sains Johor, 2007

http://www.fairosza.net/