Disusun oleh Amirul Rahim
(Bekas pelajar MCKK 2006 dan kini tahun dua sarjana muda kejuruteraan kimia di Universiti Queensland, Australia.)

Rasulullah s.a.w

Hassan Al Banna

Tun Dr Mahathir Mohammad

Mahatma Gandhi

Mereka merupakan antara tokoh-tokoh yang dikagumi oleh manusia. Tidak salah jika saya nyatakan bahawa setiap individu mempunyai tokoh-tokoh tertentu yang mereka kagumi dan setiap orang cuba untuk menjadi seperti tokoh-tokoh tersebut. Sekiranya anda merupakan salah seorang insan biasa yang cuba untuk mengubah diri kepada insan yang luar biasa dan cermerlang, mungkin artikel ini dapat membantu serba sedikit terhadap usaha anda tersebut. Nukilan ini merupakan garapan pengalaman yang  saya peroleh setakat ini.


Terdapat satu persamaan antara tokoh-tokoh yang kita kagumi dan persamaan tersebut ialah peribadi mereka. Peribadi unik mereka merupakan salah satu faktor penting yang mendorong mereka untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Contoh yang paling baik untuk diikuti ialah baginda Rasulullah s.a.w. Sebelum baginda dilantik sebagai rasul lagi, baginda telah menunjukkan peribadi yang sempurna dan cemerlang. Hal ini terbukti ketika baginda berjaya menyelesaikan pergaduhan antara puak-puak Arab sewaktu hendak meletakkan semula Hajarul-Aswad selepas pembinaan semula Kaabah. Ketika pergaduhan memuncak dan pertumpahan darah hampir berlaku, Abu Umaiyah bin Mughirah, salah seorang ketua pada waktu itu telah memberikan cadangan untuk menyelesaikan konflik tersebut. Cadangan beliau ialah orang yang pertama memasuki kawasan Masjidil-Haram akan mengadili konflik tersebut. Dengan izin Allah s.w.t, baginda Rasulullah s.a.w merupakan orang yang pertama memasukinya. Melihat kelibat baginda, semua pihak yang bertelagah telah menjerit “Al-Amin (yang dipercayai) telah datang. Kami bersenang hati untuk mengikuti keputusan baginda.” [1] Keperibadian baginda yang sempurna merupakan salah satu faktor yang menjayakan misi dakwah baginda. Tanpa peribadi tersebut maka mustahil baginda dapat menyebarkan dakwah Islamiah kepada penduduk bangsa Arab pada waktu itu.

Oleh sebab yang demikian, untuk menjadi tokoh yang berjaya, kita haruslah memiliki peribadi seperti mereka. Persoalan yang harus dijawab sekarang: Bagaimanakah kita dapat membentuk peribadi seperti tokoh-tokoh yang berjaya? Persoalan ini akan saya cuba jawab dengan menggunakan satu analogi yang saya dapati daripada seorang jurutera menerusi perbincangan beliau bersama seorang ahli geologi yang berasal dari Amerika Syarikat. Berikut merupakan kesimpulan ringkas perbincangan mereka:

Untuk membentuk peribadi yang mantap dalam diri seseorang, pengajaran boleh diambil daripada proses penghabluran garam dan berlian. Kedua-dua kejadian alam tersebut mengandungi iktibar yang dapat kita manafaatkan. Sebagai contoh mari kita lihat proses penghabluran garam. Tidak sukar untuk melakukannya, kita cuma perlu mengambil air laut lalu sejatkannya di bawah cahaya matahari. Walaupun ia senang dihasilkan, garam bukan satu bahan yang kuat. Ia boleh dipatahkan dan hilang apabila dilarutkan dalam  air. Seterusnya cuba kita lihat kepada proses penghabluran berlian. Berlian yang merupakan bahan yang paling keras dan mampu memotong apa sahaja dihasilkan dalam keadaan yang ekstrem. Berlian yang berasal daripada sebatian karbon terhasil apabila didedahkan kepada suhu dan tekanan yang melampau dalam lapisan mantel bumi serta mengambil masa beratus juta tahun.

Iktibar daripada kisah tersebut ialah membentuk peribadi seperti berlian memerlukan kita untuk menghadapi pelbagai rintangan dan masalah kerana ia dapat mematangkan pemikiran. Selain itu, usaha yang berterusan tanpa mengenal erti putus asa dan komitmen masa diperlukan untuk membentuk peribadi seperti berlian. Berbeza dengan peribadi seperti garam, ia amat mudah dihasilkan namun seperti buih-buih di lautan, peribadi seperti ini sia-sia jika kita mahu menjadi seperti tokoh yang kita kagumi.

Rujukan

  1. The Sealed Nectar: Biography of the Noble Prophet s.a.w, muka surat 80