Susunan Hazwani Hasnan

(Bekas pelajar SEMESTI, 2006 dan kini dalam pengajian peringkat ijazah dalam bidang TESL di Universiti Otago, New Zealand)

Salah satu cara untuk mendekatkan diri kita kepada Allah selain menyucikan jiwa kita daripada kotoran dosa dan najis mazmumah ialah dengan banyak bertaubat kepada-Nya. Antara jalan taubat yang utama dan terbaik ialah dengan banyak beristighfar kepada Allah Taala. Maha Suci Allah yang telah mempermudah jalan taubat untuk hamba-hamba Nya dalam kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W.

Adalah menjadi nikmat lagi rahmat yang amat besar apabila Allah memimpin dan membimbing kita untuk beristiqamah (consistent) beristighfar siang dan malam, pagi dan petang kepada-Nya. Maka kerana itu, kita wajib dan patut sekali bersyukur kepada Allah Yang Esa atas anugerah yang tidak ternilai itu.


Sebenarnya Allah mahu mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya. Untuk itu Allah juga mahu dan rindu untuk mendengar rintihan taubat dan istighfar hamba-hamba-Nya yang beriman.

Sabda Nabi S.A.W:

“Rabb (Tuhan) kita turun setiap malam ke langit dunia, ketika berbaki sepertiga malam terakhir.”

Maka Allah Taala pun berfirman:

“Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan aku ijabahkan (kabulkan), barang siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Ku-berikan dan barang siapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Ku-ampuni dosa-dosanya”

(Riwayat Imam enam kecuali Imam An-Nasa’i)

Berdasarkan hadits ini, waktu sepertiga malam menjadi waktu yang sangat dekat seseorang hamba kepada Allah. Maka waktu itu elok dan afdhal sekali bagi ia untuk berisitghfar kepada Nya.

Firman Allah bermaksud:

“(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya), orang-orang yang benar (perkataan dan keimanan di hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (ke jalan Allah), dan orang-orang yang berisitghfar (memohon ampun kepada Nya) pada waktu sahur.”

(Al-Imran: 17)

Oleh sebab Allah itu Maha Penerima taubat, maka Rasulullah s.a.w. menyeru kita  agar terus-menerus memohon ampun kepada-Nya tanpa rasa jemu dan mengambil sikap bermalas-malas. Baginda memberi jaminan bahawa dengan izin dan rahmat Allah, kehebatan istighfar itu bukan sekadar menjadi pelenyap dosa, malah ia lebih daripada itu kerana Allah itu Maha Kaya.

Dengan isitqamah beristighfar, seseorang itu akan mendapat keuntunganyang banyak lagi berlipat ganda. Pun begitu, sebagai hamba, kita seharusnya memfokus dan menyucikan terlebih dahulu nawaitu hati kita, bahawa yang kita mahu, yang kita dambakan dari istighfar kita hanyalah rahmat dan keredhaan Allah semata-mata. Segala-gala pemberian dan anugerah Allah selain keredhaan-Nya, maka susuli dengan syukur seadanya. Alhamdulillah.

Sabda Nabi S.A.W:

“Barangsiapa selalu beristighfar kepada Allah, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar bagi setiap kesempitan, dan kegembiraan daripada segala kesusahan, serta Allah memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”

(Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad).

SubhanAllah.

Rujukan: Majalah Anis, (p.44), Ogos 2002.

Kredit gambar: http://alhammasiyy.files.wordpress.com/2008/02/sujud.jpg