Gambar sekadar hiasan.
Alhamdulillah kerana saya diberi kesempatan masa untuk menulis artikel ketiga mengenai tips- tips belajar. Terima kasih atas sokongan pembaca terhadap dua artikel terdahulu dan sokongan anda memberi perangsang kepada saya untuk menghasilkan lebih banyak artikel. Sekalung penghargaan ditujukan kepada Abang Hakim yang sudi menyiarkan artikel saya di laman web Pembina Selangor.
Secara jujurnya, saya tidak tahu bagaimana hendak memulakan artikel saya kerana terdapat pelbagai idea yang telah saya catat untuk dibentangkan. Namun, mengambil ilham daripada kisah dakwah 13 tahun Rasulullah s.a.w di Mekah di mana dakwah di sana bertumpu kepada aspek pembinaan akidah yang kukuh dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu. Seiring dengan itu, saya berasa idea yang paling utama untuk dibentangkan terlebih dahulu ialah prasyarat yang diperlukan oleh para pembaca sebelum mengamalkan tips- tips studi yang telah diberikan sebelum ini. Idea ini juga datang secara kebetulan selepas seorang kawan saya menyatakan penyesalannya kerana mengabaikan pelajaran ketika di sekolah menengah. Dia seorang yang dikategorikan sebagai pelajar cerdik di sekolah rendah namun ketika di sekolah menengah, dia mula mengabaikan pelajaran. Sekarang dia menghadapi masalah untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kerana keputusan SPM yang tidak memuaskan. Saya berdoa agar para pembaca dan diri saya sendiri agar dijauhkan dengan dugaan sebegini. Nasihat saya kepadanya, tidak kira bagaimana keadaannya sekarang, masih tidak lambat untuk berubah, yang penting dia sudah insaf dan walaupun perjalanannya mungkin lebih sukar berbanding orang lain, insyaAllah dia akan berjaya jika dia mula berusaha dari sekarang.
Tajuk artikel kali ini saya oleh daripada buku ‘Apa ertinya saya menganut agama Islam’ oleh ustaz Fathi Yakan. Tajuk ini saya pilih kerana ia berkisar dengan salah satu pra- syarat penting yang diperlukan dalam pembelajaran kita. Prasyarat yang dimaksudkan ialah sebab kita belajar atau dalam erti kata lain motivasi yang mendorong kita untuk belajar. Manusia boleh didorong dengan motivasi. Sebagaimana kita mencari makan apabila lapar, kita boleh mendorong diri supaya belajar untuk berjaya. Saya tidak boleh memberikan motivasi supaya para pembaca belajar kerana motivasi berbeza bagi setiap individu. Namun ingin saya kongsikan dua motivasi saya kepada para pembaca. Semoga ia dapat memberikan manafaat kepada anda.
Saya belajar kerana…..
…saya ingin menjadi seorang manusia yang bersyukur atas nikmat yang saya peroleh selama ini. Pengalaman saya tinggal selama 5 hari di sebuah rumah anak yatim (nama dirahsiakan untuk menjaga nama baik) amat menginsafkan saya bahawa kita selalu ‘take things for granted.’ Buat pengetahuan pembaca, tempat inimerupakan tempat tinggal bagi anak- anak yatim dan juga kanak- kanak yang menghidapi penyakit HIV/AIDS yang telah dibuang oleh ibu bapa mereka sendiri. Amat malang bagi kanak- kanak ini kerana bukan salah mereka untuk lahir sebagai penghidap HIV/AIDS. Mereka mewarisinya daripada ibu dan bapa mereka dan lebih teruk lagi, kehadiran mereka tidak dialu- alukan. Lantaran itu, mereka dibuang oleh ibu bapa mereka sendiri. Kedengaran teruk? Begitulah realiti kehidupan ketika ini.
Selain itu, terdapat seorang kanak- kanak perempuan yang berusia 9 tahun tinggal di rumah tersebut kerana kematian ibunya dan ayahnya pula cuba menjualnya di Thailand. Untuk maklumat pembaca, ibu kanak- kanak ini telah membunuh diri dan kanak- kanak ini menyaksikan sendiri bagaimana ibunya menggantung diri sendiri di pangsapuri kediaman mereka.
Selama saya di sana, pelbagai program akademik dianjurkan bersama- sama rakan saya untuk kanak- kanak yang tidak bernasib baik ini. Mereka menunjukkan minat untuk belajar walaupun keadaan mereka yang serba kekurangan. Satu persoalan saya ingin lontarkan kepada pembaca, cuba bayangkan anda berada dalam situasi kanak- kanak tersebut. Cuba bayangkan pula kesenangan yang anda nikmati selama ini yang tidak pernah dirasai oleh penghuni rumah anak yatim ini. Pernahkan anda bersyukur?
Atas kesedaran ini saya tidak jemu belajar sehingga kini. Memang saya akui kadang kala merasa letih dan ingin sahaja mengabaikan pelajaran saya dan menikmati keseronokan sepanjang hari. Namun, apabila memikirkan mengenai keadaan anak- anak yatim ini, boleh dikatakan saya tidak bersyukur sekiranya saya tidak mahu belajar setelah dikurniakan pelbagai nikmat oleh Allh s.w.t.
Bersambung……
p/s: dalam artikel yang berikutnya, saya akan berkongsi satu motivasi lain dengan para pembaca. Sementara itu, saya menyeru para pembaca agar mencari motivasi masing- masing kerana ia penting sebelum saya menulis tips studi yang berikutnya. Sekiranya para pembaca mempunyai idea yang bagus untuk saya bentangkan, saya alu- alukan supaya ‘pm’ saya di facebook.
*Artikel ditulis oleh Mohammad Amirul bin Rahim, MCKK 2006 dan kini pelajar kejuteraan kimia tahun kedua di Uni. Queensland, Australia.
Tinggalkan Balasan