Thabit Ibnu Qurra

Thabit Ibn Qurra Ibn Marwan al-Sabi’al-Harrani, musafir yang dilahirkan pada 836 M ini pada asalnya merupakan seorang penyembah bintang atau lebih dikenali sebagai Kumpulan Sabian. Kebanyakan para penyembah bintang pada ketika itu merupakan antara kelompok yang begitu teruja terhadap ilmu kaji bintang atau lebih dikenali sebagai astronomi pada era kini. Maka tidak hairanlah jika ilmuan yang berasal daripada Mesapotamia (sekarang Turki) ini memiliki ketokohan dalam disiplin ilmu ini. Sejumlah dokumen menyebutkan, ketika  usia muda, Thabit bekerja sebagai pedagang penukar mata wang. Hal ini menunjukkan bahawa Thabit berasal daripada keluarga yang berada dan berpengaruh dalam masyarakatnya.


Islamnya Kumpulan Sabian

Kumpulan Sabian pada zaman itu, telah berjaya melahirkan barisan ahli Matematik dan ahli Astronomi yang berkualiti. O’Connor dan Robertson mengatakan “Kumpulan ini memiliki hubungan yang kuat dengan Peradaban Yunani, sehingga mempengaruhi kebudayaannya,” Walaubagaimanapun, ketika Islam semakin berkembang luas, kumpulan Sabian mula mendapat sinaran hidayah Islam lalu seinci demi seinci masyarakat mereka dikuasai  Dinasti Abasiyyah.

Melalui pengIslaman mereka, maka berlakulah proses Islamisasi dalam sistem kehidupan mereka sehinggakan bahasa komunikasi mereka turut berubah angin. Mereka yang pada asalnya bertutur dalam bahasa Yunani kemudiannya beralih kemudi kepada penguasaan dan penggunaan Bahasa Arab dalam komunikasi seharian mereka.

Kisah Musafir Tsabit

Kisah musafir Thabit Ibnu Qurra bermula apabila seorang ilmuan terkemuka Baghdad, Muhammad Ibnu Musa Ibnu Syakir bertamu di Harran dan bertemu dengan Thabit Ibnu Qurra. Beliau amat kagum akan kemahiran bahasa yang dimiliki oleh Thabit. Lalu, beliau mencadangkan agar Tsabit bermusafir ke Baghdad dan mendalami ilmu dalam bidang matematik dan perubatan daripadanya dan saudaranya. Bagaikan bulan jatuh ke riba, Tsabit membulatkan tekad untuk mengatur langkah ke Baghdad. Di sana beliau menjadi murid kepada Muhammad Ibnu Musa dan akhirnya setelah menematkan pendidikannya, dia kembali ke tanah air yang tercinta untuk menumpahkan baktinya di sana. Walaubagaimanapun, kepulangan cendiakawan ini bukannya disambut meriah oleh keraajaan Mesapotamia, sebaliknya beliau diancam hukuman yang berat lantaran pemikirannya yang menimbulkan kontroversi dan kononnya dianggap berbahaya oleh pemerintah ketika itu.

Bagi mengelak daripada menjadi mangsa kezaliman pemerintah ketika itu, beliau membawa diri merantau semula ke Baghdad. Kota ilmu yang diterajui oleh Khalifah Al-Mu’tadid, Khalifah Kerajaan Abasiyyah ketika itu menerima Tsabit dengan tangan yang terbuka. Beliau diberi peluang untuk berkhidmat kepada kerajaan Abasiyyah sebagai ahli astronomi istana.

Tsabit Di Istana Khalifah

Khalifah Al-Mu’tadid bijak menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh Tsabit dengan menitahkan agar beliau menterjemahkan teks-teks berbahasa Yunani ke dalam bahasa Arab. Sebagai ahli matematik, Thabit menerjemahkan dan mengkaji semula  karya-karya besar yang sempat ditulis oleh Peradaban Yunani.

Meskipun beliau bertugas untuk menerjemahkan karya-karya besar tersebut , namun  itu bukanlah  bererti Thabit meniru dan menyadur semata-semata pengetahuan dari Yunani. Sebaliknya, berbekal kecerdasan dan kesungguhan usahanya, ilmuwan Muslim yang bijaksana ini menemui  pelbagai penemuan yang sangat penting bagi perkembangan ilmu matematik.

Tsabit sebagai Peneroka Dunia Ilmu

Thabit juga berjaya menghasilkan teori rumusan tentang hubungan antara pemerhatian (observation) dan teori, menjalin ilmu matematik dan  astronomi, serta kajian terhadap hubungan antara astronomi matematik dengan astronomi fisik.
Concerning the Motion of the Eighth Sphere juga merupakan karya agung beliau dalam bidang astronomi. Beliau juga tidak ketinggalan dalam kajian tentang matahari sehinggakan beliau berhasil melahirkan tidak kurang daripada lapan risalah hasil penulisannya ketika abad ke-9 Masihi.

Selain mengukir jasa dalam bidang astronomi, beliau juga terkenal sebagai seorang ahli Matematik yang unggul. Dalam astronomi, sejarah mencatat bahawa beliau adalah salah seorang pembaharu pertama sistem Ptolemeus.

Antara jasa beliau adalah penemuan Ilmu Keseimbangan melalui sebuah karyanya yang bertajuk Fi’l-qarastun (Buku Keseimbangan Balok). Hal ini diakui oleh O’Connor dan Robertson dalam penulisan mereka dalam Biografi Para Ilmuan: “Dalam ilmu mekanik, dia adalah seorang pengasas ilmu statik (ilmu keseimbangan),” Karya beliau ini berjaya membongkar tentang persamaan timbangan dan takal. Inilah merupakan antara karyanya yang monumental dalam bidang Mekanikal dan Fizik. Karya ini merupakan antara karya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona. Pada abad-abad seterusnya, usaha menterjemahkan karya beliau termasuklah bagi bidang matemati, astronomi dan perubatan ke dalam bahasa Eropah begitu giat dilakukan sehinggakan pengaruh pemikiran beliau berjaya menembusi masyarakat Eropah. Penulisan asal karya beliau kebanyakannya adalah dalam bahasa Arab dan sebahagian kecil daripadanya adalah dalam bahasa Siria.

Bidang Falsafah juga merupakan antara bidang yang menjaya mendapat perhatian Tsabit. Salah satu risalahnya berkaitan bidang ini yang masih wujud adalah karya yang lahir hasil daripada dialog beliau bersama  Abu Musa Isa ibnu Usayyid—muridnya yang beragam Kristian. Melalui diskusi ini, Thabit dengan cemerlangnya telah berjaya merungkai pelbagai persoalan dan permasalahan yang telah diajukan kepada beliau. Sehingga kini risalah tersebut masih jadi bahan diskusi dan perdebatan oleh pelbagai pihak yang berkecimpung dalam bidang falsafah ini.

Walaupun idea-idea dan pemikiran Tsabit banyak dipengaruhi oleh pemikiran Plato dan Aristoteles, namun Thabit tetap  mengkritik beberepa idea ilmuwan Yunani tersebut. Beliau sendiri telah membetulkan teori Plato, khususnya teori berkaitan pergerakan (motion). Hal itu dapat dilihat pada idea-ideanya yang merujuk kepada penggunaan pendapat tentang pergerakan dalam argumen-argumen geometrikalnya.

Pengasas Teori Bilangan Bersahabat

Thabit Ibnu Qurra juga telah meninggalkan warisan ilmu yang cukup penting bagi peradaban manusia moden. Teori bilangan bersahabat (amicable number) merupakan suatu penemuan ajaib yang telah berjaya dilakukan oleh beliau ketika zamannya. Teori ini memperkenalkan pasangan bilangan yang mempunyai sifat unik; dua bilangan yang masing-masingnya adalah jumlah dari pembahagi sejati bagi bilangan yang lainnya.

Thabit berhasil menciptakan rumus bilangan bersahabat seperti berikut:
p = 3 x 2n – 1 – 1
q = 3 x 2n – 1
r = 9 x 22n – 1 – 1

Penjelasannya: n > 1 adalah sebuah bilangan bulat. p, qr, dan r adalah bilangan prima. Sedangkan, 2npq dan 2nr adalah sepasang bilangan bersahabat. Rumus ini menghasilkan pasangan bersahabat (220; 284), sama seperti pasangan (17296, 18416) dan pasangan (9363584; 9437056). Pasangan (6232; 6368) juga bersahabat, namun tak dihasilkan dari rumus di atas.

Teori bilangan bersahabat yang dikembangkan Thabit juga telah menarik perhatian ahli matematik pada zaman selepasnya. Abu Mansur Tahir Al-Baghdadi (980 M-1037 M) merupakan antara ahli matematik yang telah mengembangkan lagi teori bilangan ini.Tidak ketinggalan, Al Madshritti (wafat 1007 M) dan Al-Farisi (1260 M-1320M) juga tertarik untuk memanjangkan lagi kajian terhadap teori ini. Teori ini juga berjaya mencuri perhatian daripada ilmuwan yang diagungkan oleh peradaban Barat, Rene Descartes (1596 M- 1650 M) untuk melebarkan lagi teori. Namun demikian, pihak barat menjadi telah menyelewengkan sejarah dengan mengiktiraf bahawa teori bilangan bersahabat ini diasaskan oleh Descartes. Selain itu, C Rudolphus juga antara individu yang turut mengembangkan lagi teori ini.

Antara pengembangan teori yang telah dilakukan adalah pengembangan daripada bilangan pasangan yang asal yang diasaskan oleh Tsabit hanyalah tiga pasangan, telah dikembangkan menjadi lebih daripada 59 pasangan. Pengembangan ini berjaya dilakukan oleh Eular. Akibatnya, dunia telah ditipu oleh catatan sejarah matematik yang telah mengaburi dunia terhadap jasa Thabit Ibnu Qurra sebagai penemu pertama bilangan bersahabat. Peradaban Barat begitu licik memanupulasikan fakta sejarah. Hal itu terbukti pada catatan sejarah yang menyatakan pasangan (9363584; 9437056) ditemukan oleh Descartes. Hakikatnya, pasangan bilangan bersahabat itu pertama kali ditemukan oleh Muhammad Baqir Yazdi di Iran.  

Menurut JJ O’Connor dan EF Robertson, Tsabit juga telah mengasaskan dasar-dasar matematik moden melalui penemuan perhitungan integral, geometri analitik, dalil trigonometri lingkaran, serta konsep angka-angka riil, pengambangan teori tradisional geometri kepada geometrik algebra,  trigonometri sfera , integral kalkulus dan teori nombor asal (real number).

Antara sumbangan lain Tsabit kepada peradaban tamadun manusia  ialah penghasilan risalah tentang ilmu logik, psikologi, etika, klasifikasi ilmu, tatabahasa Syriac, politik, agama, serta kebudayaan Sabian. Tsabit akhirnya mengakhiri usianya pada 18 Februari 901M di Baghdad. Namun demikian usaha beliau tidak terhenti dengan pemergian beliau, sebaliknya beliau telah meninggalkan pewaris ilmunya apabila puteranya, Sinan Ibnu Tsabit dan cucunya Ibrahim Ibnu Sinan Ibnu Tsabit telah menyambung rantai-rantai usahanya dalam pengembangan dunia ilmu Matematik dan telah muncul sebagai Tokoh Besar dalam bidang ini.