attabari

Kemasyhuran Zakariya al-Razi sememangnya tidak dapat disanggah lagi dalam dunia perubatan Islam. Sehinggakan kemasyhuran beliau telah menenggelamkan satu lagi nama yang juga tidak kurang hebatnya dalam bidang perubatan. Beliau ialah Ali guru kepada Al-Razi. Rata-rata masyarakat dunia lebih mengenali al-Razi daripada gurunya sendiri, Ali.

Nama keluarga bagi Ali Bin Rabban ialah Abu Al-Hassan. Nama penuh beliau ialah Abu al-Hassan Ali Bin Sahl Rabban al-Tabari. Dilahirkan pada 838 Masihi. Dalam catatan sejarah, bapa Sahl berasal daripada bangsa Yahudi. Kebangsawanan dan kemuliaan yang diwarisinya menyebabkan beliau sangat dipandang tinggi dan dihormati dalam masyarakatnya. Hal ini menyebabkan masyarakat menggelarnya Rabban yang bermaksud ketua kami.


Sahl merupakan seorang pakar Perubatan di samping beliau juga memiliki kemahiran dalam seni Kaligrafi. Beliau juga  memiliki kemahiran dan kepakaran dalam beberapa disiplin ilmu yang lain. Antaranya adalah dalam bidang Astronomi, Falsafah, Matematik dan juga Kesusasteraan. Beliau telah mendapat pendidikan dalam bidang Sains Perubatan dan seni Kaligrafi daripada bapanya sendiri yang merupakan seorang yang terkenal dengan kepakaran dalam kedua-dua bidang tersebut. Selain itu, kebolehan beliau dalam penguasaan bahasa asing juga tidak dapat disangkal lagi. Beliau berkebolehan dalam berbahasa Syria dan juga Bahasa Greek.

Walaupun Ali berasal daripada keturunan keluarga berbangsa Yahudi, beliau telah ditakdirkan memeluk agama Islam yang suci dan dengan keIslaman beliau, beliau amat masyhur sebagai seorang cendiakawan Islam yang hebat. Keluarga bertuah ini berasal dan menetap di Marv, antara bandar yang terkenal di Tabristan.

Ensklopedia Firdous Al-Hikmat merupakan antara ensklopedia perubatan yang pertama yang telah berjaya mendedahkan seribu satu rahsia dalam bidang perubatan. Walaubagaimanapun, ensklopedia yang mengandungi tujuh bahagian ini hanya  berjaya diterbitkan untuk tatapan masyarakat umum pada abad ke 20 ini. Sebelum penerbitan karya ini, hanya lima manuskrip sahaja yang yang ditemui di beberapa perpustakaan seluruh dunia. Dr. Mohammed Zubair Siddiqui telah membuat perbandingan dan pembaikan manuskrip-maniskrip ini. Dalam bahagian kata pengantar (pengenalan) penerbitan buku ini, beliau telah memuatkan sejumlah maklumat yang berguna berkaitan dengan buku tersebut dan juga penulisnya. Bagi memenuhi tuntutan semasa, nota-nota penerangan telah telah ditulis bagi menepati dan memudahkan lagi proses penerbitan bagi piawaian penerbitan moden.

Penghasilan catatan perubatan yang unik ini akhirnya telah mendapat perhatian pihak Inggeris dan juga Jerman. Kedua-dua pihak ini berkerja keras bagi penerbitan dan penyusunan semula ensklopedia ini.

  1. Bahagian Pertama. Pengajian Perubatan. Bahagian ini mencatatkan ideologi-ideologi Sains Perubatan masa kini. Pada zaman tersebut, prinsip ini menjadi asas dalam bidang Sains Perubatan.
  2. Bahagian Kedua : Penjelasan tentang organ- organ dalam tubuh manusia, kaedah penjagaan kesihatan dan gambaran menyeluruh bagi penyakit-penyakit otot yang tertentu dalam sistem tubuh badan manusia.
  3. Bahagian Ketiga. Penerangan tentang kaedah dan kadar pemakanan yang perlu diambil bagi keadaan normal tubuh badan dan juga ketika dalam keadaan tidak normal (berpenyakit).
  4. Bahagian Keempat: Mengandungi catatan tentang semua penyakit yang berkaitan bahagian kepala sehinggalah ke kaki. Bahagian ini merupakan bahagian yang paling spesifik dalam buku ini dan bahagian ini mengandungi 12 tajuk:
    • Faktor umum berkaitan kemunculan penyakit-penyakit.
    • Penyakit berkaitan kepala dan otak.
    • Penyakit berkaitan mata, hidung, telinga, mulut dan gigi.
    • Penyakit otot (kelumpuhan dan kekejangan otot)
    • Penyakit pada bahagian dada, paru-paru dan leher.
    • Penyakit-penyakit pada bahagian perut .
    • Penyakit-penyakit hati
    • Penyakit-penyakit berkaitan limpa dan pundi hempedu.
    • Penyakit-penyakit Usus.
    • Kepelbagaian jenis serangan demam
    • Kepelbagaian jenis penyakit~Penerangan asas tentang organ dalam sistem tubuh badan manusia.
    • Pemeriksaan kadar denyutan dan juga air kencing. Bahagian ini merupakan bahagian yang terbesar dalam buku ini yang memakan hampir setengah daripada kandungan buku tersebut.
    1. Bahagian Kelima: Penerangan tentang bau, rasa dan warna.
    2. Bahagian Keenam: Dadah dan Racun.
    3. Bahagian Ketujuh: Mengandungi topik yang pelbagai. Bahagian ini juga mengandungi penerangan asas tentang perubatan India.

    Walaupun beliau telah pun menulis buku Firdous al-Hikmat dalam Bahasa Arab, namun begitu beliau juga bekerja keras menyediakan terjemahan karya tersebut dalam Bahasa Syria. Di samping karya tersebut, beliau juga berjaya menghasilkan 2 lagi karya yang terulung iaitu Deen Wa Daulat dan juga Hafidh al-Sehhat. Karya ini terdiri dalam bentuk helaian-helaian manuskrip yang disimpan dalam koleksi perpustakaan di Universiti Oxford. Selain memiliki kepakaran dalam bidang Sains Perubatan, beliau juga telah diiktiraf sebagai seorang Ahli Falsafah, Pakar Matematik dan juga Ahli Astronomi. Beliau akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir beliau sekitar tahun 870 Masihi.