eidul fitri

Hari Raya ‘Aidil Fitri merupakan hari kemenangan yang dianugerahkan ALLAH s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya beriman. Lebaran ini perlu diraikan dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan bersesuaian dengan panduan daripada syari’at Islam.

Dalam catatan ini, akan dikemukakan beberapa hadits sahih Baginda Nabi Muhammad s.a.w. riwayat AL-Imam Al-Bukhari yang dipetik daripada kitab Mukhtasar Sahih Al-Bukhari, susunan Al-Imam Zainuddin Ahmad bin Abdul Lateef Az-Zubaidi.


Makan pada Hari Raya ‘Aidil Fitri Sebelum Keluar (untuk solat sunat hari raya)

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak terus (pergi menunaikan solat) pada Hari Raya ‘Aidil Fitri melainkan Baginda makan beberapa biji tamar. Anas juga meriwayatkan: Baginda Nabi s.a.w. memakan tamar dalam bilangan yang ganjil.

Tiada Azan untuk Solat Hari Raya

Daripada Ibn ‘Abbas dan Jabir bin Abdullah r.a., mereka berkata: “Tiada azan bagi solat ‘Aidil Fitri dan ‘Aidil Adha.”

Khutbah Hari Raya Selepas Solat

Diriwayatkan Ibn ‘Abbas r.a. : Aku menunaikan solat ‘Aidil Fitri bersama-sama Rasulullah s.a.w. Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Usman dan semua mereka menunaikan solat sebelum khutbah.

Jalan Pergi dan Pulang Sebelum dan Selepas Solat ‘Aidil Fitri yang berbeza

Jabir bin ‘Abdullah r.a. meriwayatkan: “Pada hari ‘Aidil Fitri, Nabi s.a.w. pulang daripada menunaikan solat ‘Aidil Fitri melalui jalan yang berbeza dengan jalan semasa pergi.