Hari Raya?

Beberapa hari lagi Ramadhan yang hanya setahun sekali ini akan melabuhkan tirainya. Namun, adakah peluang kita sepanjang tempoh emas (selama sebulan ini) telah kita gunakan dengan sebaik?

Kebiasaannya, tazkirah mahupun ceramah tak kira sama ada di masjid-masjid ataupun di surau-surau, seringkali mengingatkan bahawa ramadhan ialah sebuah madrasah yang amat penting bagi mendidik jiwa nurani sebagai seorang hamba Allah dan sering juga dikhabarkan, bagaimana para sahabat amat gembira akan kehadiran Ramadhan serta merasa berat hati untuk meninggalkan peluang keemasan tersebut.

Adakah masyarakat pada hari ini, benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan dan seterusnya menyambut Syawal dengan penuh kesyukuran? Ataupun peringatan-peringatan yang diberikan, hanyalah suatu kegiatan tipikal ataupun seperti saya sebut sebelum ini iaitu, sebagai pengisian bulan ramadhan?

Persoalan ini bukanlah sengaja dilemparkan begitu sahaja, tetapi untuk sama-sama kita fikirkan apakah status kita sebagai umat Islam. Hal ini kerana, situasi yang berlaku terutamanya dalam masyarakat Islam di Malaysia tidak menggambarkan perkara yang sepatutnya berlaku. Sepatutnya, semakin tiba kita di penghujung Ramadhan dan mulany menghampiri  Syawal, semakin rancak amalan kita bagi merebut ganjaran berlipat kali ganda. Walau bagaimanapun, kondusi ini seakan-akan sudah sebati dengan jiwa kita, yang mana semakin dekatnya kita dengan hari-hari terakhir Ramadhan, semakin rancak pula kegiatan membeli-belah; langsir baru, permaidani tukar, set sofa, set cawan, pinggan mangkuk segala.

Lebih menyedihkan, jemaah Terawih juga semakin berkurangan hari demi hari. Tak mengapa,  sekadar bersangka baik, mungkin sebilangan mereka telahpun pulang ke kampung halaman masing-masing. Tapi, saya agak sedih tika melihat sebilangan remaja seusia yang tidak menggunakan peluang pada malam-malam Ramadhan ini sebaiknya dan tanpa segan silu, berpeleseran di jalanan.

*Peringatan ini juga buat diri sendiri yang lemah ini.

Jika benar sepertima mana yang diperkatakan, mari sama-sama kita buktikan. Jangan sekadar manis dibibir. Perkara yang penting, penghujung Ramadhan bukan hanya untuk ditangisi, tapi untuk  kita renung dan lihat amalan kita, berdoa agar semua amalan tersebut diterima.

Sebelum penulisan ini dinoktahkan, ada satu lagi persoalan untuk  kita semua fikirkan.

Adakah pemergian Ramadhan ini kita nanti atau kita tangisi?