teamwork_teamwork_A

Amalan secara berjama’ah ( berorganisasi ) adalah dituntut dalam Islam. Kerja secara berorganisasi banyak memberikan kebaikan dan keuntungan, keberkesanan dan penjimatan tenaga dalam sesuatu usaha. Dalam usaha da’wah dan pergerakan Islam, amalan kerja berorganisasi adalah sangat-sangat dituntut, memandangkan tugasan da’wah dan pergerakan Islam bukanlah suatu perkara remeh.

Bagi memastikan usaha yang dilaksanakan secara berorganisasi bakal berjalan dengan baik dan efisien, berikut ialah amalan negatif yang perlu dijauhi:

  1. Beranggapan bahawa peranan dan tugas untuk memajukan organisasi hanya terletak sepenuhnya pada puncak pimpinan semata-mata.
  2. Beranggapan bahawa mesyuarat atau muktamar tahunan ialah medan bagi mengkritik sehabis-habisan kepimpinan organisasi.
  3. Lambat dalam bertindak terhadap sebarang arahan kerana anggapan bahawa arahan tersebut tidak penting, ataupun sikap suka bertangguh dalam kerja.
  4. Menghadiri mesyuarat yang diadakan dengan ‘kepala kosong’. Tidak bersedia, membawa idea, cadangan dan pendapat. Perkara ini berlaku antaranya akibat sikap malas berfikir.
  5. Menggunakan masa dengan begitu panjang (tanpa keperluan, tidak eifisien) untuk mesyuarat, perjumpaan AJK dan sebagainya.
  6. Peranan ketua diambil alih oleh setiausaha. Setiausaha memberikan arahan dan sebagainya. Ketua pula sekadar menjadi ‘pak turut’.
  7. Tugas setiausaha hanya sebagai penulis minit mesyuarat dan surat jemputan.
  8. Tidak menghargai masa, lewat tiba di perjumpaan atau mesyuarat yang diadakan.
  9. Tugasan bendahari tidak dilaksanakan dengan sepatutnya. Peranan utama utama hanya sebagai pembentang penyata kewangan.
  10. AJK tidak mempunyai tanggungjawab / portfolio secara jelas dan khusus. Peranan utama kebanyakannya adalah untuk memenuhkan korum mesyuarat.
  11. Keputusan mesyuarat tidak dikaji dan dilaksanakan seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat. Keputusan mesyuarat hanya difailkan tanpa ada pelaksanaan dan tindakan susulan bagi pelaksanaan keputusan mesyuarat tersebut. Tindakan susulan (post-mortem) adalah sangat mustahak bagi menentukan matlamat program adalah tercapai atau sebaliknya.
  12. Beban pelaksanaan keputusan mesyuarat hanya tergalas pada bahu setiausaha sahaja.
  13. Tidak mempunyai rekod keputusan mesyuarat dan rekod kegiatan. Perkara ini menjadi punca kepada masalah yang sama dan berterusan pada setiap kali diadakan mesyuarat, perbincangan atau muktamar.
  14. Berlaku pengambilalihan tugas oleh orang yang tidak bersedia, tidak mampu dalam keadaan yang tidak sepatutnya.
  15. Beranggapan bahawa pimpinan adalah semata-mata pimpinan pada peringkat atas semata-mata, tidak merangkumi pimpinan peringkat bawah.
  16. Sikap tidak patuh dan menghormati pimpinan dalam kalangan sendiri.
  17. Beranggapan bahawa jawatan yang disandang ialah alat bagi bermegah-megahan, bukan atas konsep amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
  18. Tidak mengutamakan kepentingan organisasi, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan individu.
  19. Tidak menunjukkan minat, kesungguhan dan perasaan (mood) yang baik semasa perjumpaan sesama ahli organisasi.
  20. Tidak menghargai dan menghormati pandangan dan sumbangan ahli organisasi.
  21. Tiada kemesraan, kasih sayang dan ukhuwwah dalam organisasi.
  22. Tidak jelas dan faham hala tuju perjuangan organisasi.
  23. Hanya suka bersenang-senang dengan nafsu, tidak mahu berhadapan dengan kesusahan.
  24. Ketiadaan penyatuan hati, fikrah dan amal.

Adalah menjadi satu keperluan yang utama bagi kita untuk menghindari amalan-amalan negatif ini bagi memastikan usaha secara berorganisasi yang dilaksanakan bakal beroleh keberkatan dan memberikan kebaikan yang banyak. Sama ada kita sedar atau tidak, sebesar mana sekalipun kecacatan yang dilakukan dalam organisasi, jika perkara tersebut dibiarkan, luka dan kecacatan tersebut akan menjadi lebih buruk dan akhirnya melemahkan usaha yang diperjuangkan secara berjama’ah.

Semoga kita menjadi lebih peka dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amanah amal jama’ie ini, semoga Islam kembali gemilang dengan izin ALLAH s.w.t.

Bibliografi:

  1. Membina Organisasi – Satu Panduan, Mohd Shuhaimi Embong, Mac 2007.

Hak Cipta terpelihara. Artikel ini dihasilkan melalui Program Penulisan Ilmiah (PPI) APIS 2009 dan menjadi bahan waqaf APIS.