bigfargani

Sesungguhnya dunia Islam tidak pernah kering daripada catatan-catatan perjalanan umatnya yang gemilang. Zaman kegemilangan Islam pada era pemerintahan Al-Makmun antaranya, telah berjaya melahirkan begitu ramai ilmuan yang ulung. Al-Farghani juga tidak terkecuali. Beliau merupakan salah seorang ahli astronomi yang terkenal ketika berkhidmat sepanjang era al-Mamun. Beliau ialah anak kelahiran Farghana , Transoxiana dan nama penuh beliau ialah Abul-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farghani. Pemerintahan Al-Makmun ketika itu yang begitu menggalakkan budaya ilmu memberi ruang yang cukup besar kepada Al-Farghani untuk berjaya dalam bidang ilmu yang diceburinya. Beliau ketika itu telah ditawarkan oleh Kahlifah AL-Makmun untuk bernaung di bawah Akademi Al-Makmun yeng merupakan sebuah organisasi yang bekerja keras dalam melakukan penyelidikan-penyelidikan bagi tujuan perkembangan pelbagai cabang bidang ilmu penegtahuan.


Kejayaan Al-Farghani dalam bidang astronomi dapat dibuktikan melalui beberapa penghasilan karyanya dalam bidang tersebut. Antaranya ialah Kitab fi al-Harakat al-Samawiya wa Jawami Ilm al-Nujum atau terjemahannya ialah The Elements of Astronomy yang memperihalkan gerakan celestial  dan kajian bintang. Terjemahan buku ini telah dibuat oleh John Seville pada 1135 yang kemudian  oleh Regiomontanus pada 1460-an.

Selain itu, Gerard Cremona juga turut menterjemah karya tersebut sekitar tahun sebelum 1175. Karya selanjutnya disusun oleh Dante dan kemudiannya dimasukkan dalam karyanya, La Vita Nuova. Seorang ilmuwan Yahudi, Jacob Anatoli mengeluarkan karya terjemahan Hebrew dan juga menyediakan versi ketiga bahasa Latin yang diterbitkan pada tahun 1590. Manakala, Jacob Golius menerbitkan teks baru Latin bersama-sama karya asli Arab pada tahun 1669.

Buku ini kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa latin dalam abad ke 12 dan berjaya memberi impak yang besar kepada perkembangan astronomi di Eropah sebelum masa Regiomontanus. Al-Farghani juga dikatakan menerima teori-teori Ptolemy bahkan telah melakukan pengembangan dan penyuburan bagi teori tersebut sehinggakan membentuk teorinya yang tersendiri.

Penentuan diameter bumi oleh Al-Farghani juga merupakan antara kejayaan besar beliau pada ketika itu. Beliau telah menentukan bahawa ukuran diameter bumi mencapai 11,700 km.

The Elements of Astronomy juga diakui sebagai sebuah karya yang sangat berpengaruh. Seorang ilmuwan yang bernama Abd al-Aziz al-Qabisi (meninggal dunia tahun 967 Masihi) memberikan komentar atas karya Al-Farghani tersebut dan komentar Abd al-Aziz ini tersimpan di Istanbul, Aya Sofia.

Al-Farghani juga turut terkenal dengan sejarah pembinaan Great Nilometer di al-Fustat (Cairo lama). Menurut Ibnu Tughri Birdi, beliau telah menyelia projek tersebut dan projek tersebut siap sepenuhnya pada tahun 861 Masehi iaitu selepas Khlaifah  al-Mutawakkil yang mengarahkan pembinaan itu meninggal dunia. Menurut Ibn Abi Usaybi’a, projek pembinaan terusan yang dikenali sebagai Al-Ja’fary itu pada asalnya telah dilakukan oleh dua anak lelaki Ibn Shakir iaitu Muhammad dan Ahmad. Projek ini dijalankan setelah mendapat titah daripada Khalifah Al-Mutawakkil dan terusan tersebut dibina melalui kota baru iaitu Al-Ja’fariyya iaitu sebuah kota yang Al-Mutawakkil bina berdekatan Samarra di Tigris.

Walaubagaimanapun, berlaku sedikit kesilapan ketika proses pembinaan dijalankan. Muhammad dan Ahmad akhirnya bersetuju untuk meminta agar Al-Farghani menyelia dan membetulkan kembali kesilapan yang berlaku. Beliau kemudian memulakan kerja dengan mengorek lebih dalam terusan berkenaan. Dengan itu, air yang cukup akan melalui terusan `baru’ itu kecuali pada ketika paras Sungai Tigris meningkat naik. Dengan kejayaannya membetulkan kesalahan tersebut, pembinaan terusan tersebut dapat diteruskan. Namun demikian, kebijaksanaan beliau tidak disenangi dan menimbulkan kemarahan Khalifah. Walaupun begitu, kemarahan khalifah kembali reda apabila idea pemikiran dan perhitungan Al-Farghani mendapat sokongan oleh seorang pakar teknik lainnya yang berpengaruh pula, iaitu Sind Ibn Ali. Walaupun Sind merupakan seorang profesional namun, beliau dikatakan mencemburui kejayaan Al-Farghani dan kerana peminggiran beliau semasa rundingan pembaikan projek tersebut dilakukan. Khalifah Al-Mutawakkil bagaimanapun mati dibunuh sebelum sempat projek tersebut selesai pembinaannya.

Dalam bidang teknik, Al-Farghani juga telah berjaya menghasilkan karya dalam bentuk buku iaitu Kitab al-Fusul, Ikhtiyar al-Majisti, dan Kitab ‘Amal al-Rukhamat.