Salamullah ‘alaikum diucapkan kepada semua sahabat dan sahabiah yang dikasihi sekalian,
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH s.w.t., selawat dan salam diucapkan buat Nabi s.a.w tercinta, ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Pada kesempatan ini, pihak APIS ingin menyuarakan satu gagasan bicara yang mempunyai nilai cita-cita yang besar. Semoga gagasan bicara ini bakal difikirkan bersama, lantas kita merancang strategi dan melaksanakannya.
Pihak APIS sangat berbesar hati untuk mengajak anda semua untuk kita bersama-sama berusaha untuk meningkatkan usaha da’wah dan tarbiyyah. Dalam membicarakan hal ini, soal kuantiti bukanlah suatu perkara paling besar dan tidak patut dijadikan penghalang kepada tindakan yang dirancangkan. Kita lihat sahaja ‘ibrah yang telah diajarkan kisah sang burung dengan Nabi Ibrahim khalilullah a.s., bagaimana baginda berasa sangat hairan dengan tindakan burung yang berulang alik membawa air menggunakan paruhnya untuk memadamkan api yang begitu besar bertujuan untuk membakar baginda. Kemudian baginda bertanya tentang perkara tersebut kepada burung tersebut, untuk apakah dilaksanakannya kerana logik akal pasti menyatakan bahawa titisan-titisan air yang begitu sedikit dibawa oleh burung tidak mampu memadamkan nyalaan api yang begitu ganas dan marak menyala. Begitu menginsafkan kita, jawapan burung menyatakan bahawa ia telah berikhtiar apa yang ia mampu untuk menyelamatkan baginda daripada dimakan api tersebut.
Bagi golongan yang mampu berfikir menggunakan ‘aqal, pengajaran daripada kisah tersebut adalah sangat jelas bagi kita untuk melaksanakan kewajipan, tugas dan bahagian kita dengan terbaik, munasabah dengan kemampuan yang dimiliki. Ditegaskan bahawa soal kuantiti dan hasil bukanlah perkara perdana yang perlu dijadikan titik tumpuan semata-mata. Kita wajar jelas bahawa natijah dan hasil adalah urusan ALLAH s.w.t., manakala dari segi ikhtiar, ini adalah tugasan kita. Ayuh kita serahkan keputusan untuk ditentukan ALLAH.
Pada peringkat APIS, berikut adalah cadangan yang dikemukakan.
1. Pada peringkat diri kita sendiri, perlu dibetulkan niat dan perlu berlaku proses islah. Kita sendiri wajar menitikberatkan elemen da’wah dan tarbiyyah.
2. Menghubungkan ukhuwwah Islamiah bersama para guru dan ustaz ustazah di bekas sekolah menengah kita. Hal ini adalah diperlukan, kerana mereka ialah golongan yang sangat berguna bagi kita untuk melaksanakan usaha peningkatan da’wah dan tarbiyyah di bekas sekolah menengah kita.
3. Menjalinkan ukhuwwah dengan para pelajar yang masih belajar di sekolah menengah kita.
4. Selalu berhubung dengan mereka dengan pelbagai cara seperti panggilan telefon, pesanan ringkas (SMS), emel dan lain-lain. Kita wajar menunjukkan keprihatinan dalam mengambil tahu perkembangan yang berlaku.
5. Memanfaatkan masa cuti mereka dengan pertemuan yang bermanfaat. Hal ini dapat dimanfaatkan lagi dengan penglibatan dalam program-program yang lebih berkesan untuk meningkatkan ilmu, kefahaman dan kemahiran mereka.
6.Tetapkan kumpulan sasaran bagi pelajar bekas sekolah menengah kita. Perlu bagi kita untuk menyedari realiti. Oleh sebab hal demikian, adalah sangat efektif jika kita mampu melaksanakan proses pengukuhan tarbiyyah dan kaderisasi tersebut dalam keadaan berfokus kepada saiz pelajar tertentu. Ini adalah penting untuk memastikan keberkesanan dan kualiti.
7. Sentiasa mengamalkan budaya ‘ilmu, yang bermaksud segala tindakan adalah berasaskan imu dan jelas menunjukkan penggunaan ‘ilmu.
Jelas, dalam cadangan yang dikemukakan ini lebih menjurus kepada usaha peningkatan da’wah dan tarbiyyah di bekas sekolah menengah kita, sebagai sumbangan kita kepada ummah melalui wahana alumni sebegini.
Insya ALLAH, sehingga ini sahaja perkongsian fikrah yang ingin disampaikan. Sebarang idea dan pandangan yang dapat membantu meningkatkan kualiti usaha ini adalah sangat dihargai.
Tinggalkan Balasan