KLUANG – Bertempat di SM Sains Johor (SMSJ), organisasi Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) dengan kerjasama bekas pelajar SMSJ telah berjaya mengadakan Program Induksi BADAR SMSJ 2010 pada 8 Safar 1431H bersamaan dengan 24 Januari 2010.

Saudara Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki (bekas pelajar MCKK) serta tiga orang bekas pelajar SAS dan tiga orang lagi muslimah bekas pelajar SBP telah didatangkan khas untuk mengimarahkan lagi program ini. Manakala 37 orang pelajar yang terdiri daripada 16 muslimin dan 21 muslimah terlibat sebagai peserta.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memantapkan pengurusan organisasi dan juga memberi pencerahan tentang hala tuju BADAR SMSJ. Program yang pada awalnya dijadualkan bermula pada 22 Januari hingga 24 Januari itu telah terpaksa ditunda dan diringkaskan kepada program satu hari kerana tindihan program oleh pihak sekolah dan kemangkatan Sultan Johor.

Kendatipun begitu, semua aktiviti telah berjalan dengan lancar. Program bermula seawal pukul 6.00 pagi dengan penyampaian tazkirah subuh oleh beberapa wakil APIS di Surau Al-Ikhsan SMSJ. Seterusnya program dihangatkan lagi dengan ceramah ‘Hala Tuju BADAR SMSJ 2010’ oleh saudara Ikhwan. Pelbagai input yang bermanfaat ‘dirembeskan’ oleh beliau kepada peserta program.

Usai sahaja ceramah tersebut, aktiviti diteruskan dengan sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Kesemua peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diketuai oleh wakil-wakil APIS dan juga bekas pelajar SMSJ. Dalam perbincangan secara berkumpulan tersebut, beberapa perkara utama berkaitan dengan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai ahli BADAR telah diterapkan dan sebarang perkongsian masalah telah dibuka untuk dibincangkan.

Perbincangan berkumpulan tersebut tamat pada pukul 11.45 pagi dan majlis diteruskan dengan upacara penutupan yang dimulakan dengan ucapan oleh saudara Luqman Bukhari selaku presiden BADAR SMSJ 2010. Upacara disusuli dengan ucapan Ustaz Zakaria Bin Yatimin selaku guru penasihat BADAR SMSJ 2010 yang setusnya merasmikan penutupan program ini.

Tuntasnya, adalah tinggi pengharapan kami selaku BADAR SMSJ agar pihak APIS dapat terlibat dengan lebih banyak aktiviti seperti ini pada masa yang akan datang. Semoga dengan pengetahuan dan pengalaman yang dicurahkan dalam program ini bukan saja dapat memantapkan ‘Dakwah Islamiah’ di SMSJ malah memakmurkan seluruh alam secara amnya.

Laporan oleh : Iskandar Abu Bakar
Disunting oleh : Normen b. Halusran