berdoa

Doa ialah Senjata bagi Orang yang Beriman

Doa ialah suatu ‘ibadah yang dapat menghubungkan seseorang hamba itu dengan ALLAH s.w.t. . Dia bersifat Maha Mendengar rintihan dan pengaduan hamba-hamba-Nya, Maha Memakbulkan doa yang dipanjatkan dengan penuh rasa kehambaan, serta sama sekali tidak pernah bersifat kedekut dalam memberikan kurniaan kepada mereka yang tidak pernah jemu melaksanakan ‘ibadah ini. Allah ialah Tuhan Yang Maha Kaya, kekayaan-Nya meliputi segala apa yang ada di langit dan di bumi. Maka sangat mustahillah jika ALLAH tidak mahu mengurniakan sesuatu kepada makhluq-Nya, kerana tidak sama sekali akan terjejas kekayaan-Nya.

Sebagai seorang Muslim dan Mu’min, adalah sangat wajar bagi kita untuk memahami dan menjiwai ‘ibadah doa ini, kerana doa adalah antara cara yang utama seorang makhluk hamba untuk berhubung dengan Tuhannya. Sama-sama kita tetapkan keyakinan bahawa tugasan kita sememangnya adalah berdoa, dan menjadi urusan ALLAH pula untuk menjawab dan membalas doa tersebut. ALLAH sama sekali tidak akan membiarkan doa hamba-Nya yang ikhlas tidak terjawab.

Firman-Nya dalam kitab suci Al-Quran;

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي

سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

“Dan Tuhan kamu berfirman; berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya aku akan perkenankan doa permohonan kamu, sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir, 40: 60

Kelebihan Berdoa

  1. Doa menjadi petanda bahawa seseorang itu merendah diri kepada ALLAH s.w.t..
  2. Doa ialah ‘ibadah seorang Muslim.
  3. Doa merapatkan hubungan hamba dengan ALLAH s.w.t..
  4. Doa menjadi petanda bagi kesungguhan seseorang hamba yang tidak berputus asa dengan Tuhannya.
  5. Dengan berdoa, seorang hamba itu akan mendapat kasih sayang ALLAH s.w.t.
  6. Doa mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.
  7. Doa dapat mengundang rahmat, ni’mat, pertolongan dan kejayaan daripada ALLAH s.w.t.
  8. Doa menjadi perisai diri dan dapat menolak segala kejahatan.
  9. Doa dapat membantu ahli, keluarga, sahabat handai yang masih hidup atau yang telah mati.
  10. Dengan doa, seorang hamba itu dapat menjauhkan diri daripada syaitan.
  11. Doa dapat menjadikan orang yang berdoa redha dan bersabar serta bertawakkal kepada ALLAH s.w.t.
  12. Doa menjauhkan seseorang itu daripada sifat lemah dan malas, kerana dengan berdoa seseorang itu mengharap rahmat dan rahmat ALLAH s.w.t.
  13. Doa ialah ‘ibadah yang mudah dan tidak terikat dengan masa, tempat dan keadaan tidak kira siang atau malam, daratan,udara atau lautan, miskin atau kaya, muda atau tua, dan sihat atau sakit.

Adab-adab Berdoa

  1. Ikhlas – iaitu betul-betul mengharapkan dan meminta dengan kata-kata kepada ALLAH s.w.t.
  2. Hendaklah sebaik-baik berdoa dengan doa yang ma’tsur daripada kitab al-Quran dan Sunnah.
  3. Memulakan doa dengan memuji ALLAH s.w.t. dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan sesudahnya.
  4. Orang yang berdoa hendaklah berusaha untuk mendapatkan perkenan daripada ALLAH s.w.t. dengan cara berserah diri dengan melakukan perkara-perkara berikut:
    • Khusyu’.
    • Menghindarkan diri daripada perlakuan ma’siat.
    • Mengelakkan diri daripada memutuskan silat-ur-rahim.
    • Menjaga makanan dan minuman serta pakaian daripada perkara yang haram.
    • Tidak jemu berdoa.
  5. Waktu dan tempat yang sesuai untuk berdoa ialah:
    • Akhir malam.
    • Akhir setiap solat fardhu.
    • Antara azan dan iqamah.
    • Hari ‘Arafah.
    • Malam al-Qadr (Lailatul Qadr).
    • 10 Awal Zulhijjah.
    • Hari Juma’at.
    • Waktu turun hujan.
    • Ketika bersujud.
    • Ketika berpuasa.
    • Ketika melontar jamrah, tawaf dan sa’ie.
    • Ketika berqunut.
    • Ketika menunaikan solat sunat hajat.
  6. Berdoa secara umum bukan secara khusus kepada perkara-perkara tertentu.
  7. Bersungguh-sungguh ketika berdoa.
  8. Bersifat raja’ (berharap) dengan setinggi-tingginya dan berkeyakinan teguh ALLAH mendengar doa itu dan akan memakbulkannya.
  9. Berdoa dengan menggunakan nama dan sifat-sifat ALLAH yang mulia.
  10. Berdoa dalam bentuk merayu – memohon kebaikan dan menolak kemungkaran.
  11. Mengangkat tangan hingga ke paras bahu.
  12. Jangan memohon perkara-perkara yang hampir mustahil pada adat.
  13. Jangan berdoa dengan bahasa yang susah.
  14. Memperlahan suara ketika berdoa (sederhana).
  15. Tidak melagukan doa.
  16. Menghadap qiblat.
  17. Berwuduk, bersih diri secara zahir dan batin.
  18. Ma’mum hendaklah mengaminkan doa imam.
  19. Hendaklah memahami doa yang dipohon sekiranya lafaz doa dalam bahasa ‘Arab.

Kesimpulan

Doa sememangnya satu ‘ibadah yang sangat dituntut oleh Islam ke atas kita. Doa ialah senjata orang beriman dan juga otak bagi ‘ibadah. Kita perlu berasa sangat beruntung kerana peluang untuk memohon pertolongan daripada Yang Maha Perkasa dan Maha Hebat sentiasa tersedia bagi kita,pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan, tahun dan pada bila-bila masa sahaja. Maka, adakah kita masih lagi mahu menafikan kebesaran sifat Maha Penyayang ALLAH s.w.t. kepada kita sejak dilahirkan hingga ke hari ini. Insya ALLAH, mulai saat ini, kita akan berusaha untuk lebih menghayati ‘ibadah doa ini dan terus mempertingkatkan kualiti kita selaku hamba-hamba-Nya.

Syaikh Imam Ibnu ‘Athoillah dalam kitab al-Hikamnya mencatatkan hikmah berikut dalam bab Pengertian Penerimaan Doa:

“Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab ALLAH telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Ia ketahui untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu engkau tentukan.”

Selamat menjalani ‘ibadah doa.

Rujukan penulisan artikel ini:

  1. Himpunan Doa-doa Pilihan. Dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman.
  2. Kitab Terjemahan Al-Hikam Syaikh Ibnu ‘Athoillah, Pendekatan Pengabdian Pada Khaliq. Terjemahan H. Salim Bahreisy. Penerbit; Victory Agencie, Kuala Lumpur 2001.

Hak Cipta terpelihara. Artikel ini dihasilkan melalui Program Penulisan Ilmiah (PPI) APIS 2009 dan menjadi bahan waqaf APIS.