win

Sambungan Bahagian 1 «

Sesungguhnya hal ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada kemajuan tamadun ummah bahkan juga merupakan peluang kepada mereka sendiri untuk terus membina potensi, bakat dan kebolehan diri melalui aplikasi di dunia realiti dengan penglibatan mereka dalam masyarakat. Seandainya, hal ini dilakukan dengan benar-benar mengikut landasan yang telah disyariatkan Islam, sudah pasti proses Islamisasi dalam sistem masyarkat, pentadbiran, pendidikan, pengurusan ekonomi dan pelbagai aspek lain dapat dilakukan secara totalis dan lebih efektif. Hal ini tidak seharusnya berlaku bagi mereka bekerjaya semata, bahkan perlu dimula dan diteruskan tatkala telah tamat bangku persekolahan lagi. Begitu banyak medium yang dapat digunakan secara kreatif dan kritis bagi merealisasikan misi ini tidak kiralah bagi mereka yang bergelar mahasiswa, berkarier mahupun yang telah bersara.

Bagi yang bergelar mahasiswa, mereka dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat, mahasiswa dan Islam melalui pelbagai medium. Antaranya:

  • Menghidupkan bi’ah solehah (suasana solehah) di asrama, kampus dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar (solat jemaah, puasa sunat dan lain-lain)
  • Mewujudkan atau melibatkan diri dalam kelompok-kelompok Usrah dan kumpulan belajar (smart circle)
  • Penglibatan dalam organisasi kepimpinan pelajar (majlis Perwakilan pelajar, persatuan kokurikulum dan lain-lain)
  • Penglibatan dan kerja-kerja amal dan kebajikan serta misi-misi kemanusiaan dengan membawa mesej Islam.

Manakala, bagi yang telah bekerjaya disarankan agar perkara-perkara berikut dapat dititikberatkan bagi merealisasikan misi ini:

  • Kuliah maghrib mingguan di surau dan masjid secara konsisten
  • Ceramah, diskusi, forum umum secaara bermusim dan berkala
  • Usrah umum atau khusus yang tidak memerlukan publisisti
  • Ceramah kelompok yang dilakukan dari rumah ke rumah
  • Penglibatan dalam persatuan-persatuan dan badan-badan kebajikan, kemasyarakatan dan Islam
  • Kem dan kursus motivasi Islam remaja dan belia
  • Mewujudkan atau mengikuti kelas-kelas bimbingan Al-Qur’an ,fardu ain (tafaquh fiddin)
  • Membangun institusi-institusi tempat kerja dengan dakwah fardiyah dan berjamaah
  • Penglibatan dalam NGO Islam dan menggerakkannya
  • Penglibatan dalam persatuan belia, rukun tetangga, JKKK dan menyuntik dakwah Islam melaluinya
  • Menghidupkan bi’ah solehah (suasana solehah) di tempat kerja.
  • Mewujudkan jaringan perhubungan dengan organisasi-organisasi Islam antarabangsa
  • Penglibatan dalam bidang politik tanah air dengan membawa seruan dan merealisasikan untuk mewujudkan sistem pemerintahan masyarakat dan pentadbiran negara berdasarkan syariat Islam.

Mungkin terdapat pelbagai lagi alternatif dan medium yang munasabah yang dapat dijadikan sebagai wadah dalam memperjuangankan Islam dalam masyarakat dewasa kini. Hakikatnya usaha-usaha ini perlu dilakukan secara berterusan dan bersungguh serta perlulah diiringi dengan strategi yang benar-benar teliti dan berkesan.

Janganlah resah dan gundah akan segala mehnah yang menanti dalam menempuh jalan ini kerana sesungguhnya jalan untuk menempa kebenaran dan kebaikan itu tidak selalunya dihiasi dengan keindahan dan kesenangan semata. Yakinlah dengan bantuan Allah bagi hamba-hamba yang sentiasa beramal untuk mengejar redha dan cinta-Nya. Firman Allah berbunyi:

Jika Allah menolong kamu maka tidak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan kepada kamu), maka siapakah yang akan dapat menolong kamu selain Allah sesudah itu.

Tuntasnya, amat besarlah keuntungan untuk ummah seandainya seluruh tenaga profesional Islam yang lahir daripada SBP digabungjalinkan untuk perjuangan Islam. Ayuh, sama-sama kita hapuskan kelesuan dan bina semula kekuatan!

*Sesungguhnya penulisan ini hanyalah pandangan peribadi penulis. mungkin dapat diislahkan lagi melalui pandangan dan kritikan dari pengunjung, insyaallah.