Dakwah itu Mujahadah.

Sesungguhnya jalan dakwah yang dilalui sebenarnya penuh dengan onak duri yang besar dan kecil di sepanjang perjalanan. Duri yang besar adalah kemungkinan para pendakwah akan menghadapi tribulasi yang besar seperti ancaman maut dan duri yang kecil ialah selemah-lemah ujian seperti hal peribadi pendakwah yang diawasi untuk dicari kelemahan yang ada bagi memusnahkan misi perjalanan dakwah tersebut.

Suasana pada hari ini amat memerlukan dakwah yang berkesan. Masyarakat Islam telah dirantai dengan belenggu jahiliah di segenap sudut. Maka, muncul golongan yang bernama dan berlabelkan Islam tetapi tidak mengamalkan Islam di merata pelusuk dunia.

Golongan mujahidin yang ingin melihat cahaya Islam terpancar ke seluruh genap dunia dilabelkan sebagai obor ekstrimis pelampau agama oleh mereka yang tidak menyenangi akan kebangkitan Islam.
Rata-rata negara Islam masih berqiblatkan golongan Yahudi dan Nasrani yang bukan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah dan inilah realitinya yang berlaku terhadap umat islam di seluruh dunia pada hari ini.

Masyarakat di negara kita juga menghadapi krisis iman dan amal dengan gejala keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa zina, perlakuan sumbang mahram, lumba haram dan banyak lagi. Umat Islam sendiri seolah-olah tidak menghiraukan betapa serius dan beratnya masalah ini. Tindakan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sungguh merugikan dan tidak kurang pula mereka yang hanya mampu menggelengkan kepala tanpa apa-apa reaksi.

Kita melihat norma-norma amalan Islam itu hanya subur di sebahagian umat Islam dan sebahagiannya hanya mengamalkan pada masa-masa keperluandan kepentingan diri sahaja. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mensia-siakan solat dan menuruti hawa nafsu maka mereka kelak akan menemui kesesatan” Maryam:59

Sudah menjadi sunnatullah bahawa para pendakwah yang menyeru kepada manusia supaya meninggalkan penyimpangan terhadap agama akan menemui mehnah, tribulasi dan cabaran. Antara cabaran besar medan dakwah pada masa kini di antaranya:

1) Fikrah dan amalan Jahiliah yang mencengkam umat islam.

Cabaran dakwah pada masa kini di dalam konteks ini ialah perbandingannya dengan wadah jahiliah. Kita merasa sedih kerana lidah mereka melafazkan keislaman tetapi di benak dan etika pemikiran mereka berbentuk jahiliah. Syeikh Sayyid Al-Qutub rahimahullah di dalam kitab karangannya menyatakan bahawa “Islam adalah wadah yang amat bertentangan dengan ideology lain”. Sebagai contoh Islam dan komunisme atau islam dan sekularisme. Pertembungan ini apabila dibincangkan sudah pastinya memperlihatkan kekuatan dan kebenaran di pihak Islam itu sendiri. Aqidah yang kita kehendaki di sini ialah Islam adalah dasar tertinggi di dalam segenap aspek kehidupan.

2) Ancaman dan halangan daripada para penentang dakwah dan golongan kafir.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Orang-orang sebelum kalian ada yang diculik dan digalikan sebuah lubang untuk dimasukkan ke dalamnya, ada di antara mereka digergaji sampai terputus dua dari kepala sehingga ke badannya, dan ada di antara mereka yang disisir besi sampai tercarik daging serta tulang lantaran membeli agamanya demi Allah bahawa ia pasti menyempurnakan agamaNya”.

Golongan Yahudi dan Nasrani pada hari ini masih tetap menyusun agenda gerakan dakwah mereka yang cukup kotor dan anti Islam. Gerakan Islam di peringkat tertinggi perlu memikirkan untuk berhadapan dengan mereka kerana mereka memiliki kuasa, pengaruh, dan kebanyakan negara Islam berasetkan kewangan tinggi dan hanya berselindung di sebalik kesatuan tempatan.

3) Percambahan teknologi yang dikuasai oleh musuh Islam dan pengeksploitasian teknologi kepada golongan pendakwah.

Kita wajar mengembangkan diri dan menggerak potensi dan manfaat yang ada pada umat Islam di sekelilingnya. Perlu kita ketahui bahawa di pejabat-pejabat musuh Islam, mereka memanfaatkan segala kesempatan yang ada di pejabat dengan memuatkan data serta maklumat-maklumat yang lengkap hasil daripada teknologi yang mereka kuasai ini.

Gerakan dakwah yang songsang dan benci akan Islam telah membuat serangan secara langsung dan halus dalam media massa pada hari ini. Teknologi seperti internet, televisyen dan sebagainya diselitkan dengan unsure penghinaan terhadap agama yang suci ini. Individu dan jamaah Islam peril menggunakan asset yang sama untuk berdakwah dengan cara hsanah dan yang terbaik.
Para pendakwah tidak usah takut dan gentar kerana nilai dakwah itu menjamin sesuatu yang tiada tolok bandingannya. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“ Mereka itulah pendokong agama Allah SWT, ingatlah hanya pendokong agama Allah itulah mereka yang berjaya”

Kita menyedari bahawa dakwah adalah sumber kekuatan umat Islam dan juga merupakan salah satu wasilah untuk menuju redha Allah SWT.

Sesiapa yang melakukan gerak kerja dakwah ini, sesungguhnya beliau merupakan salah seorang penerus daripada mata rantai-rantai perjuangan para sahabat RA seterusnya baginda Rasulullah SAW.

Waallahu Ta’ala A’lam.

Dipetik daripada buku Ad-Da’wah Al-Mua’siroh, karangan Muhd Yusry Affandi Yusuff.