Sumber: MStar Online

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meletakkan standard yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan sijil Halal dan ia terpakai kepada semua pemohon tanpa diskriminasi.

Sambil mempersoalkan rasional pihak tertentu yang mempertikai prosedur kelulusan pengeluaran sijil Halal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berkata ini kerana pihaknya tidak mahu pengguna berasa ragu-ragu berhubung pengeluaran sijil halal.

“Kita mahu supaya pengguna dapat rasa kepuasan yang dia tidak perlu mempersoalkan sama ada sijil yang didapati di restoran palsu atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri di sini hari ini.

“Saya juga tidak mahu orang timbulkan persoalan bagaimana syarikat yang mengeluarkan sijil, adakah mudah sehingga prosedur dan peraturan yang sewajarnya tidak diikuti,” katanya ketika mengulas laporan yang mendakwa prosedur pemberian sijil Halal yang dikatakan sukar.

Sebelum ini, beberapa pengusaha kopitiam dilaporkan memberi alasan tidak memohon sijil Halal Jakim kerana syarat-syarat yang ditetapkan jabatan itu terlalu ketat dan tidak masuk akal.

“Agak janggal sedikit kalau disebut sijil kita ni adalah sijil yang mengenakan peraturan yang terlalu ketat yang tak mungkin dapat dipenuhi, sedangkan ada yang dapat penuhi dan mereka juga mendapat sijil,” kata Jamil Khir.

Sementara itu, Jamil Khir berkata kumpulan 40 pegawai hal-ehwal Islam yang baru berkhidmat di Jakim akan mengambil kursus Diploma Pengurusan Islam (DPI)Jun ini.

Kursus enam bulan anjuran Jakim itu adalah bagi memperkasa program bina insan jabatan itu yang akan dikendalikan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, katanya.

Modul yang dilaksanakan dalam program diploma itu akan menggantikan kursus induksi serta peperiksaan yang berkaitan yang diperlukan untuk pengesahan jawatan, katanya. – BERNAMA