Mereka perintis AlHijrah

(Utusan Malaysia)

Wartawan AlHijrah

TUJUH wartawan penyiaran yang bakal menerajui meja berita TV AlHijrah.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
[email protected]
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

DALAM menyampaikan mesej kepada umum, penyiaran merupakan jalur yang cukup berkesan dalam memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi mesej ucapan malah, berbentuk gambar.

Stesen penyiaran yang baru bertapak, TV AlHijrah akan menjadi medium baru buat seluruh rakyat Malaysia.

Usaha stesen TV berkenaan ialah menyampaikan mesej yang mengangkat nilai Islam secara universal dan kontemporari terus kepada penonton setia mereka.

Menganggap kehadiran mereka sebagai meneruskan legasi penyiaran negara, langkah utama AlHijrah yang memulakan siarannya secara tidak rasmi pada 1 November lalu itu bukan hanya tertumpu kepada cabang penyiaran berita malah dokumentari, filem, drama dan program hiburan.

Di sebalik kekuatan sesebuah stesen penyiaran, intipati sesebuah program tentu sahaja antara perkara utama yang menjadi perhatian penonton.

Berita antara aset utama sesebuah stesen penyiaran yang sering dibandingkan oleh penonton dengan sesebuah stesen penyiaran yang lain.

Justeru, dalam memastikan kandungannya tepat dan padat ia sebenarnya banyak bergantung kepada bahan yang diperolehi daripada tenaga kerjanya.

Nur Amalina Faisal (Amna), Syafinaz Yunus (Finaz), Ardi Herman Mohd. Mardzi (Ardi), Syafiq Zulkifli (Syafiq), Divesh Kumar Danial (Danial), Nur Nazirah Naziruddin (Nazira) dan Nur Zaimah Ali (Zaimah) merupakan nama-nama yang menjadi perintis penyiaran berita di AlHijrah.

Mereka inilah yang bakal menggalas tanggungjawab memastikan intipati berita di AlHijrah antara yang terbaik di negara ini.

Bagi Nur Amalina atau Amna yang berasal daripada Bagai Serai, Perak, 23, dia memilih AlHijrah sebagai platform untuk meneruskan minat dalam bidang penyiaran.

Dia merupakan bekas guru dan tutor bahasa Arab yang mencabar diri mempertaruhkan minat dan kebolehan bahasa sebagai wartawan penyiaran.

Bekas graduan bahasa dan kesusasteraan Arab dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan itu sebetulnya menganggap kerjaya di bidang penyiaran saling tidak tumpah dengan kerjaya guru yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Bezanya, guru mengalirkan maklumat di dalam kelas yang hanya sampai kepada kelompok kecil iaitu pelajar manakala di bidang penyiaran, bilangan penerimanya berkali ganda.

Masih menerapkan nilai pendidikan dalam dunia penyiaran, Amna menyifatkan TV memainkan peranan yang hampir sama dengan sekolah.

“Apa yang saya perhatikan, pelajar terutamanya golongan remaja banyak terkesan dengan apa yang disiarkan dalam televisyen dan ini berkait rapat dengan apa yang telah mereka pelajari ketika menonton sesebuah rancangan.

“Sebab itulah bagi saya AlHijrah menjadi pilihan kerana mesej dan konsep Islam yang ditonjolkan dan saya anggap ia cukup sesuai dengan jiwa saya,” kata Amna yang berpengalaman sebagai guru sejak berusia 18 tahun.

Menarik minat golongan bukan Islam menonton stesen yang menerapkan nilai Islam seperti AlHijrah tentu sahaja bukan cabaran yang kecil.

Mempelbagaikan pemilihan tenaga kerjanya, Danial, 31, pemuda berketurunan India yang memeluk Islam pada tahun 1997 yang juga merupakan juara program Cari Menantu musim pertama di TV9 antara tarikan yang diketengahkan oleh AlHijrah sebagai stesen TV Islam yang universal.

Sebagai salah seorang wartawan penyiaran di AlHijrah jelas Danial, ini merupakan peluang baginya memberitahu kepada penonton yang berbilang bangsa bahawa Islam bukan hanya untuk orang Islam tetapi bersifat menyeluruh.

“Pada masa yang sama, kelembutan Islam itu harus ditunjukkan supaya penonton bukan Islam tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam.

“Ia secara tidak langsung kita berkongsi Islam itu dengan semua orang,” kata Danial.

Sementara itu, pengacara dan penyampai berita berpengalaman, Nizal Mohammad, yang dijemput berkongsi pengalaman dengan perintis wartawan penyiaran AlHijrah itu.

Nizal melihat, kesemua wartawan muda itu memiliki karisma dan sangat positif terhadap karier yang baru dibina itu biarpun rata-rata daripada mereka tiada pengalaman dalam bidang penyiaran.

Hanya tiga daripada mereka iaitu Finaz sebelum ini berpengalaman sebagai wartawan penyiaran di ntv7 dan pembaca berita di TV9, Nazirah pula berpengalaman sebagai pembaca berita sukan di Bernama TV dan bekas penyampai di radio Putra FM.

Seorang lagi ialah Zaimah yang sebelum ini sempat menimba pengalaman sebagai wartawan pelatih di Astro Awani selama empat bulan.

“Bercakap mengenai prestasi yang ditunjukkan, hanya tiga hari masa yang diperlukan oleh mereka untuk menunjukkan kebolehan di bidang penyiaran.

“Di samping keyakinan diri dan lontaran suara yang bagus, saya juga tekankan kepada mereka tentang penampilan diri yang sentiasa perlu diambil kira setiap masa kerana mereka merupakan orang yang menjadi perhatian umum,” kata Nizal.