Latar Belakang

Pastinya, nama Al-Khawarizmi sudah begitu sinonim dan gah setanding dengan barisan Ilmuan dan cendekiawan dunia. Muhammad Ibn Musa Al-khawarizmi atau dikenali juga sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff, merupakan seorang intelektual Islam yang lahir pada tahun 770 Masehi, di sebuah kota bernama Khawarizmi. Walaubagaimanapun, terdapat juga sumber yang mengatakan beliau telah dilahirkan di Bukhara. Khawarizmi adalah sebuah kota kecil sederhana di pinggiran Sungai Oxus, tepatnya di bahagian selatan sungai yang berperanan membelah tanah air Uzbekistan.

Ketika itu, Uzbekistan adalah sebuah negara gergasi muslim sebelum tentara Rusia mengambil alih dan menggempur daerah itu pada tahun 1873. Ratusan tahun lebih tampuk pemerintahan Uzbekistan berada dalam kekuasaan dan keagungan Islam. Hal ini terbukti dengan keharmonian dan kemakmuran kehidupan masyarakat yang dominannya adalah muslim.

Bersempena dengan nama tanah bertuah inilah yang membawa kepada pemilikan gelaran Al-Khawarizmi terhadap beliau. Beliau juga turut dikenali di dunia Barat sebagai Al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi, al-Karismi, al-Goritmi, al-Gorismi dan cacamerba lagi ejaan dan sebutannya yang pada hakikatnya merujuk kepada beliau. Ketika berusia masih setahun jagung, beliau telah bersama-sama dengan bonda dan ayahandanya berhijrah dari Uzbekistan menuju Baghdad, Iraq. Iraq yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Khalifah Al Ma’mun, tanpa diduga rupanya telah menerima sinaran dian yang telah berjaya melakukan pencerahan pemikiran dalam dunia Ilmu Islam.

Sumbangan dan Peranan

Setelah penghijrahan Al-Khawarizmi ke Baghdad, beliau telah berjaya membuka lembaran baru kepada beberapa disiplin ilmu. Antaranya, beliaulah yang menjadi pengasas rumus Algoritma serta teori Algebra dalam disiplin ilmu matematik.

Kejayaan beliau menerangkan penggunaan angka`kosong’, nombor asas dalam bahasa Arab serta mengasaskan sistem perpuluhan dan pecahan turut mendapat pengiktirafan. Salah satu sumber catatan sejarah turut merekodkan bahawa beliau juga pernah menyumbang bakti kepada kerajaan Baghdad yang ketika itu berada di bawah kepimpinan Khalifah Al-Makmun. Ketika itu beliau telah diamanahkan untuk berkhidmat di Bayt al-Hikmah dalam sebuah lembaga penyelidikan iaitu tempat berlangsungnya pengajian ilmu matematik dan astronomi. Al-Khawarizmi juga telah diberi mandat untuk mengendalikan perpustakaan khalifah.

Beliau juga pernah mencatat sejarah dengan memperkenalkan angka-angka India serta cara-cara pengiraan India kepada dunia Arab. Sistem ini pada mulanya diperkenalkan dalam bahasa Arab dan kemudiannya disusuli pengenalannya kepada dunia Eropah melalui karya beliau yang diterjemah ke bahasa Eropah. Beliau juga telah berjaya menyempurnakan salah satu cabang ilmu Matematik iaitu Geometri. Geometri merupakan bidang ilmu yang mengkaji tentang magnitud dan sifat-sifat ruang. Isi kandungan yang diperbincangkan dalam cabang ini ialah asal usul geometri dan rujukan utamanya ialah Kitab al-Ustugusat [The Elements] hasil karya Euklid : geometri dari segi bahasa berasal daripada perkataan yunani iaitu ‘geo’ yang bermaksud bumi dan ‘metri’ pengukuran. Berdasarkan catatan lembaran sejarah, Geometri telah pun wujud sejak zaman firaun [2000 Sebelum Masihi]. Kemudian Thales Miletus memperkenalkan geometri Mesir kepada Yunani sebagai satu ilmu sains dalam kurun abad ke 6 Sebelum Masihi dan kemudiannya kaedah ilmu ini telah disempurnakan oleh Al-Khawarizmi pada abad ke 9 Masihi.

Selain itu, beliau juga telah menyumbangkan peranan yang begitu besar dalam bidang astronomi atau ilmu falaq [pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang] serta bidang geografi. Al-Khawarizmi telah menyumbangkan karya-karya besar yang tak terbatas dalam kedua-dua bidang tersebut. Dalam bidang geografi, beliau bukan sahaja telah membuat kajian semula terhadap pandangan Ptolemy terhadap bidang geografi bahkan, beliau turut membetulkan falsafah-falsafah pemikiran Yunani terhadap bidang ini. Hasil kajian dan penemuan beliau termasuklah sistem jam, sistem jam matahari dan astrolab. Ketika zaman itu, dicatatkan bahawa terdapat tujuh puluh orang yang ahli geografi bekerja di bawah koordinasi Al Khawarizmi dan kumpulan ini kemudian telah berjaya melahirkan peta bumi yang dikenali sebagai glob untuk pertama kalinya. Karya ini diperkenalkan pada tahun 830 Masihi. Tidak cukup dengan itu, beliau juga berjaya menghasilkan pelbagai Ensiklopedia dalam berbagai bidang ilmu.

Sumbangsihnya dalam bentuk hasil karya adalah antaranya:

  1. Al-Jabr wa’l Muqabalah
    Beliau telah mencipta penggunaan Sin dan Tangen dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi
    (Karya ini telah diterjemahkan oleh Gerhard of Gremano dan Robert of Chaster ke dalam bahasa Eropah pada abad ke-12. Sebelum munculnya karya yang berjudul Hisab al-Jibra wa al Muqabalah yang ditulis oleh al-Khawarizmi pada tahun 820M)
  2. Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah
    Beliau telah mengajukan contoh-contoh persoalan matematika dan mengemukakan 800 buah masalah yang sebahagian besar merupakan persoalan yang dikemukakan oleh Neo. Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh al-Khawarizmi.
  3. Sistem Nombor
    Beliau telah memperkenalkan konsep sifat dan penting dalam sistem Nombor pada zaman sekarang. Karyanya yang satu ini memuat Cos, Sin dan Tan dalam penyelesaian persamaan trigonometri , teori segitiga sama kaki dan pengiraan luas segitiga, segi empat dan lingkaran dalam geometri.
  4. Al-Jam’a Wal Tafreeq bil Hisab Al-Jabr al-Hindi (Judul asli buku ini dalam Bahasa Arab telah hilang ditelan zaman. Walaubagaimanapun, buku tersebut masih wujud dalam edisi terjemahan dalam Bahasa Latin).
  5. Kitab Surat-al-Ard dan peta dunia
  6. Istikhraj Tarikh Al-Yahud dan dua buah buku berkaitan Astrolab
  7. Al-Tarikh dan Al-Rukhmat (Penulisan berkaitan sistem jam matahari dan kedua-dua karya ini telah hilang tanpa kesan)

Karya-karya agung beliau ini telah diangkat menjadi teks-teks rujukan utama di kebanyakan universiti-iniversiti di Eropah sehinggalah pertengahan abad ke enam belas. Setelah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, karya beliau kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa-bahasa yang digunakan di Eropa dan terakhir diterjemahkan dalam bahasa Cina.

Peribadi al-Khawarizmi

Sesungguhnya kecemerlangan dan kehebatan peribadi serta jasa beliau kepada dunia tidak dapat disangkal lagi. Hal ini dapat dilihat melalui pengiktirafan yang beliau terima daripada para ilmuan Islam bahkan turut menerima sanjungan golongan intelektual barat. Antaranya, G.Sarton menyifatkan segala pencapaian beliau sebagai “ pencapaian-pencapaian yang tertinggi telah diperoleh oleh orang-orang Timur….” . Tokoh lain, Wiedmann berkata: ” Al-Khawarizmi mempunyai keperibadian yang teguh dan seorang yang mengabdikan hidupnya untuk dunia sains”. Beliau bukan sahaja membawa wajah gambaran sifat-sifat muslim yang taat kepada agama malahan telah berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kehebatan umat Islam dalam penguasaan ilmu duniawi yang seimbang dengan kepentingan ukhrawi.

Tokoh berjasa ini akhirnya wafat sekitar tahun 840 Masihi. Terdapat sumber yang mengatakan al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad ke-9M atau pada tahun 194H/780M dan meninggal tahun 266H/850M di Baghdad. Pemergian beliau telah meninggalkan warisan khazanah ilmu yang cukup berharga dan yang turut menjadi tiang seri pembangunan tamadun manusia. Tuntasnya, beliaulah antara insan yang bertanggungjawab menjadi pemangkin dan perintis kepada pencerahan ilmiah bagi lapangan Ilmu Islam yang diguna pakai hingga saat ini.

*Penulis merupakan bekas pelajar Sekolah Seri Puteri, bekas Presiden badan dakwah Sekolah Seri Puteri, mantan pimpinan APIS dan kini meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Blog beliau: http://tintaqubnani.blogspot.com/

Artikel ini pernah tersiar pada 14 Jun 2009