Antara pemandangan di Melbourne.

Di Melbourne, jika anda menjejakkan kaki di seputar Meadow Heights, Coolaroo atau Broadmeadows, anda akan mendapati warna kulit penduduk di sini sedikit kuning dan rambut mereka majoritinya hitam. Para pemuda kelihatan tegap, meskipun tidak terlalu tinggi. Lelaki sekitar 30-40-an pula kelihatan seperti jaguh gusti, sering berkemeja kotak-kotak, yang disintingkan lengan. Jika berjalan jauh sedikit ke arah kawasan luar bandar seperti menghala ke Epping atau Craigeiburn, anda akan dapati, mereka ini memiliki ladang-ladang gandum yang besar. Boleh dikatakan, Bahasa Inggeris mereka agak fasih dan mereka begitu mesra apabila dibawa bicara.


Misalnya, sewaktu kami menziarahi seorang Turki di kawasan Meadow Heights, beliau sanggup berhenti dari membaiki kenderaan kepunyaannya, mempersilakan kami duduk, masuk ke rumah dan keluar semula dengan 4 gelas teh. Teh itu pula didatangkan di dalam gelas yang unik, setinggi jari tengah, dan diletakkan sudu besi di dalamnnya. Kami berbual agak lama dan apabila air teh sudah sampai ke dasar gelas, Pak Sungkar, sahabat dari Indonesia meletakkan sudu besi itu melintangi mulut gelas tadi. Ahmad, sahabat Turki yang kami ziarahi, begitu teruja melihat apa yang dilakukan oleh Pak Sungkar.

“Oh, kamu mengetahui budaya kami!”

Di masjid yang dibina oleh orang Turki, saya dapati permaidani dan kebersihan dalaman masjid sungguh terjaga. Biasanya, orang Turki yang datang ke masjid memakai sarung kaki dan jarang sekali berkaki ayam. Di dalam masjid pula, jarang-jarang sekali saya melihat orang Turki berbual-bual kosong. Mereka hanya duduk di saf, berzikir atau membaca Al-Quran, atau selebihnya diam. Saya dapati, mereka seboleh-bolehnya mahu menjaga iklim kerohanian yang begitu sukar diperoleh di luar – di hiruk-pikuk pekan dan jalan raya.

Kebanyakan orang Turki yang datang ke masjid ada mereka yang berusia, takpun kanak-kanak yang masih belum baligh. Yang tua itu, ada yang sudah bertongkat. Mereka ini, apabila datang ke masjid, kelihatan begitu segak sekali mengenakan kot labuh berwarna kelabu, hijau atau biru pudar. Serban hijau yang berkopiah tajam juga menjadi kebiasaan pakaian menutup kepala bagi mereka.

Mereka inilah tetamu tetap Allah, sungguhpun terketar-ketar melangkah ke masjid. Ada seorang Turki ini, sudah melampaui usia 60-an, namun tetap datang 5 kali sehari ke masjid. Begitu juga dengan seorang tua yang kudung tangannya, yang setia dengan tongkatnya. Apabila beliau masuk ke dalam masjid, beliau akan membalikkan tongkatnya, supaya tapak tongkat yang digunakan untuk berjalan di luar, tidak akan mengotori permaidani masjid. Beliau akan menyorong kerusi dan akan diam di suatu sudut, menanti azan dan iqamah, lalu melakukan solat secara duduk.

Saya dan teman-teman saya dari Hydrebadi selalu mengusik seorang tua yang datang dengan tongkat setinggi kepalanya. Giginya telah hilang dan janggut putihnya menyelimuti hampir seluruh muka. Beliau masih berjalan tegak sungguhpun sudah berkaki tiga. Berserban putih dan memakai kot labuh biru pudar dan stokin tidak pernah tanggal dari kaki.

“Syeikh Saad, nasihatkan kami segera,” ujar teman saya yang memang gemar bergurau.

“Dunia fani, Akhirat adi…”

Saya gagal mengingat apa yang dicakapkannya dalam Bahasa Turki itu. Tetapi, apa yang saya mengerti, dia berpesan kepada kami, bahawa dunia ini sementara dan akhirat itu kekal. Berusahalah supaya waktu mati nanti, mampu mengucapkan Kalimah Toyyibbah.

Laa illah ha illAllah, Muhammad Rasulullah.

Moga kita semua kembali dalam husnul khatimah – melangkah dengan baik untuk menemui Allah.

Artikel ini ditulis oleh Saudara Muhammad Syukri bin Rosli,

http://janjilaxamana.blogspot.com/

Beliau merupakan lepasan pelajar SMS Tuanku Syed Putra SPM ’05,

Graduan dari Universiti Adelaide, Australia dalam jurusan Petroleum Geosains dan bergiat aktif dalam bidang penulisan dan kesusteraan.