Untuk memiliki ilmu, sebaik-baiknya kita mendapatkan bimbingan seorang guru dan bersyukurlah kepada Allah jika memiliki guru yang boleh mengajar dan membimbing pada jalan Allah. Untuk pendakian menuju Allah, sebaik-baiknya juga kita memiliki teman dan tiadalah teman yang paling baik melainkan memiliki seorang guru yang telah melalui jalan ini dengan istiqamah. Dengannya kita memperolehi semangat, nasihat, bimbingan dan amat halus pandangannya dalam tipu daya nafsu dan syaitan.

Seorang guru yang bersifat muallim berbeza dengan guru yang bersifat mu’allim. Seorang mu’allim hanya memberi ilmu tanpa memberi pendidikan, sedangkan seorang murabbi bagaikan seorang sahabat dan ayah yang sentiasa memastikan anaknya berada di atas landasan yang benar. Dipimpinnya dengan ilmu, ketegasan, lemah lembut dan kasih sayang dan sebagainya. ia menjadi contoh kepada muridnya dari segi ibadah, takwa, tawakal, zuhud, redha, sabar, akhlak mulia, mujahadah, perjuangan dan sebagainya.

Dalam (hal) martabat, ada yang dipanggil Syaikh Mursyid iaitu mereka yang mencapai maqa ‘arif biLlah dan dapat membimbing  rohani muridnya, bukan sekadar (untuk) mempunyai sifat-sifat yang terpuji tetapi dapat membawa ruh mereka kembali kepada Tuhan dengan pengenalan yang hakiki. Ini adalah setinggi-tinggi ilmu di dalam ini.

Ibnu Khaldun telah memberi penjelasan mengenai hukum mendapatkan pimpinan syaikh mursyid itu. Ia dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Bagi orang yang melakukan mujahadah at-taqwa, pimpinan syeikh mursyid itu tidak diwajibkan dan tidak diperlukan kerana ilmu dan amalan di peringkat tersebut memang menjadi perkara yang mudah diketahui dan amat jelas. Oleh itu, orang yang melakukan mujahadah di peringkat ini memadai dengan membaca kitab-kitab atau tunjuk ajar dari seseorang guru agama biasa. Bagaimanapun, orang tersebut disunatkan mendapat pimpinan syaikh mursyid supaya mujahadah dan natijahnya akan menjadi lebih sempurna.

2. Bagi orang yang mujahadah al-istiqamah pula walaupun tidak diwajibkan mendapat pimpinan syeikh mursyid tetapi ia sangat diperlukan. Ini kerana dengan adanya syeikh mursyid maka orang yang bermujahadah itu lebih mudah dapat menentukan perkara-perkara lebih utama dan lebih baik. Tegasnya, hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid itu di peringkat mujahadah ini adalah sunat muakkad atau sunat yang sangat dikehendaki.

3. Bagi orang yang melakukan mujahadah al-kasyf (makrifat secara pembukaan hijab di mana murid akan menempuh beberapa maqam dan hal seperti asyik, rindu, cinta, fana, baqa dan sebagainya) pula adalah diwajibkan untuk mendapatkan pimpinan syeikh mursyid. Ini kerana tanpa pimpinan syeikh mursyid itu mujahadah tingkat ini tidak dapat dilakukan apatah lagi untuk mencapai segala tujuan atau matlamatnya.

Disusun oleh Al-Faqir ilaLlah Hj. Ibrahim b. Hj. Mohamad, kitab Pendakian Salik Menuju Allah.