Ciri-ciri orang yang bertaqwa dan betul-betul mencintai Allah makin pupus. Ini gara-gara gaya hidup yang sudah berubah. Berubah agar dapat menyesuaikan diri dengan zaman dan seisinya.

Kebanyakan kita lebih mementingkan kehendak dan keperluan fizikal semata-mata. Belajar, bekerja, berbuat baik malah memberikan senyuman pun kerana kepentingan peribadi. Manusia makin lupa bahawa kita masih ada satu sisi yang perlu disuap. Bukan perut dan minda sahaja yang perlukan makanan. Malah spiritualyang lebih utama perlu disuap. Solat pula hanya pergerakan fizikal, hatinya mengembara entah ke mana. Apabila berpuasa, hanya perut yang berpuasa. Alhasil, ibadah hanya waktu ritual.

Waktu untuk melihat manusia sibuk pada Allah pada waktu malam merayu sebuah keampunan daripada Allah seolah-olah sudah luput. Manusia menghabiskan waktu malam-malamnya untuk berhibur, tidur, dan bermimpi indah. Bukan lagi tidur awal, bangun qiamullail dan berjemaah Subuh semata-mata memenangi hati Allah. Yang tinggal hanyalah keriuhan kedai makan pada waktu malam, mula tidur di saat mukmin sepatutnya bangun bertahajjud, dan membiarkan waktu subuh berlalu sebegitu sahaja. Berapa ramai orang yang sudah lama tidak melihat matahari terbit atau menikmati saat itu? Kitakah itu?

Sungguh, hati kita kering dengan cinta. Cinta kepada Nya. Apakah apabila makin dekat dengan kiamat, makin jauh manusia daripada Allah? Nauzubillah. Moga Allah kurniakan kita cinta kepada-Nya.

Muhasabah,
Majalah Solusi, Isu ke 23, m/s 70