Ditulis oleh Sdr. Fawzan, Mantan Presiden Badan Ugama Sekolah Sultan Alam Shah (BUSAS), Putrajaya tahun 2009.

Menjadi prosedur perjalanan kehidupan manusia untuk melalui beberapa fasa dalam alam kehidupan. Bermula dengan alam roh, kemudian ke alam rahim, “check in” pula ke alam syahadah, lalu ke alam barzakh, dan akhirnya ke alam akhirat. Antara lain, alam yang paling kita jelas akan kewujudannya sudah semestinya alam syahadah, yang mana ia tampak dengan mata kasar, di samping menjadi alam yang sedang kita lalui sekarang.

Alam syahadah pula terbahagi kepada beberapa kategori. Bermula dengan alam bayi yang sering kita gambarkan dengan kehidupan ala-ala siri kartun rugrats, kemudian ke alam kanak-kanak, lalu ke alam remaja, kemudian ke alam dewasa, dan akhirnya ke alam tua.

Ikhwah dan akhawat fillah sekalian, sememangnya kita merafakkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah kerana telah mengurniakan kita nikmat untuk mengecap fitrah manusia pada saat keberadaan kita di alam syahadah ini. Begitu ramai manusia yang lahir ke dunia, namun tidak dikurniakan nikmat keIslaman, sedangkan hakikatnya fitrah manusia diciptakan untuk tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Esa.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari tulang belakang anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Benar, kami bersaksi.” (Kami lakukan demikian) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, “Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini.”

(Surah Al-A’raf : 172)

Nah, begitulah fitrahnya penciptaan kita. Sekiranya kaum Cina dan India di Malaysia mempunyai kontrak sosial agar mengiktiraf hak keistimewaan kaum bumiputera demi menjadi warganegara Malaya, maka hakikatnya manusia mempunyai kontrak yang jauh lebih major dengan Rabbul ‘Alamin. Kontrak yang telah manusia meterai malahan lebih penting lagi baginya, kerana ia merupakan perjanjian yang bakal mendatangkan sama ada keuntungan atau kerugian untuk dirinya, namun tidak mendatangkan apa-apa kesan pun terhadap Allah.

Umar ibn Abdul Aziz sendiri pernah berkata bahawa manusia diciptakan untuk selamanya. Ha, selamanya? Mengapa, anda tidak percaya?

Manusia diciptakan bermula dengan penentuan qadarnya di luh mahfuz. Sangkaan kita bahawa kehidupan kita akan berakhir di saatnya sistem tubuh berhenti berfungsi, namun sebenarnya perjalanan kehidupan manusia ini tidak ubah bagaikan transit dari satu stesen ke satu stesen yang lain, ataupun bagaikan melalui satu pintu ke satu pintu yang seterusnya. Mengapa? Kerana setelah berakhirnya kehidupan di alam ini, maka ‘check in’ lah kita ke alam barzakh, dan begitulah lagi seterusnya. Perhentian kita yang terakhir cumalah salah satu daripada syurga ataupun neraka, yang mana kita akan kekal di situ selama-lamanya. Nah, bukankah manusia itu dicipta untuk selama-lamanya?

Untungnya kehidupan saya kerana saya telah berpeluang untuk melalui sebuah ‘alam tambahan’ ketika di alam syahadah ini. Di saat orang lain melalui alam remaja mereka, saya telah berpeluang untuk hidup di Sekolah ‘Alam Shah’, apatah lagi berpeluang untuk singgah di ‘Alamanda’ setiap kali outing. Heheh.. Meski mungkin tidak terlalu banyak, namun saya bersyukur kerana Alam Shah telah memberikan saya peluang untuk mengenali sedikit-sebanyak ragam manusia, di samping cuba untuk menjadi superhero yang mengubah dunia.

Superhero? Oh tidak, saya bukan bermaksud tentang superhero yang diilhamkan oleh Barat dan sering difantasikan oleh kita (kahkahkah!) seperti spiderman, superman, cicakman, apatah lagi postman. Namun saya sedang bercakap tentang jawatan superhero yang lebih berat daripada tanggungjawab mereka. Ya ikhwah fillah, itulah dia ‘superhero ummah’. Terpulanglah kepada anda untuk menggelarnya ‘ummah man’ ataupun ‘aiman’ sekalipun, namun hakikatnya kita selaku para da’ie merupakan superhero kepada ummah. Kita merupakan superhero yang berbekalkan tujuan yang paling mulia, yakni untuk membebaskan manusia daripada penghambaan terhadap manusia kepada nikmat perhambaan kepada Al-Ilah yang Maha Esa.

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu golongan yang menyeru kepada kebaikan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali Imran : 104)

Bagaikan dari satu pintu ke satu pintu yang lain, keluarnya saya dari ‘alam shah’, bermaksud masuklah saya ke suatu alam yang kami sering gelar sebagai ‘alam luar’. (Huhu, itulah akibatnya apabila 5 tahun kehidupan remaja dihabiskan kebanyakannya di kawasan asrama.) Dan, hakikatnya cabaran-cabaran ataupun ‘supervillains’ di alam yang baharu bagi kami ini ternyata lebih kuat lagi. Sekiranya sewaktu saya berjuang di medan dakwah sekolah dahulu sering dipenuhi dengan tangisan dalam mengadu kepada yang Maha Berkuasa, maka menjadi satu pertanyaan bagi saya, “Apakah saya mampu untuk menghadapi cabaran di alam yang baru ini?”

Saya berasa amat bersyukur kerana Allah telah mepersaudarakan saya dengan para pejuangnya. Ya, itulah nikmat yang amat saya hargai, yakni nikmat mempunyai para teman yang begitu istimewa. Para teman yang insya-Allah akan membawa saya bersama mereka mengemudi bahtera dakwah di muka bumi Allah ini.

Bantulah saya wahai ikhwah fillah. Mujahid kecil ini ternyata hanyalah amatur yang sedhaif semut di saat melangkah ke alam baharu ini. Seharusnya kita saling membantu, kerana takaful itulah yang bakal menjadi salah satu sumber kekuatan kita. Usahlah terlalu memandang berat terhadap perbezaan yang kita miliki, namun pandanglah terhadap persamaan target perjuangan kita. Dakwah itu juga ibadah, maka seperti juga dalam urusan ibadah, salahkah untuk kita saling menolong dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada dalam perkara yang diperselisihkan?

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua orang saudaramu (yang berkelahi), dan bertakwalah kepada Allah agar kamu dikurniakan rahmat.”

(Surah Al-Hujurat : 1o)

“Mengapakah para mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri..” (Surah An-Nur : 12)

Salam maal hijrah kepada semua. Semoga tahun baru ini membuka lembaran baru dalam perjuangan kita demi membina keagungan syiar agama tercinta. Bagi saya pula, inilah hijrah saya, hijrah daripada superhero ummah di ‘alam shah’ kepada superhero ummah di alam yang baharu ini!

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Sekadar perkongsian oleh sang mujahid amatur.

Dipetik dari (http://tarbiyyatulummah.blogspot.com/2009/12/hijrah-sang-superhero.html)