Sumber: Berita Harian Online

Oleh Syuhada Choo Abdullah

[email protected]

2010/03/15

Pelajar SBT dikecualikan ambil subjek sama di IPT

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang mengikuti kursus setara dengan silibus subjek peringkat ijazah sarjana muda, akan dibenar memindahkan jam kredit mata pelajaran berkenaan apabila memasuki universiti, sekali gus berpeluang menamatkan pengajian lebih awal.

Konsep pemindahan jam kredit itu pada prinsipnya dipersetujui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi selepas menelitinya dalam makmal bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata melalui kaedah itu, pelajar dikecualikan mengambil subjek sama di universiti kelak, sebaliknya hanya perlu mengikuti subjek yang belum dipelajari dalam bidang pengajian yang dimasuki.

“Seseorang pelajar lazimnya mengumpul sehingga 18 jam kredit dalam satu semester. Jika pelajar itu memperoleh empat jam kredit melalui kursus di SBT, maka dia hanya tinggal 14 jam kredit untuk dikumpul dalam semester pertama di universiti.

“Ini bermakna dia boleh mengambil lebih awal beberapa subjek dalam semester kedua bagi mengumpul empat jam kredit lagi jika tidak bertembung dengan jadual kuliahnya pada semester pertama.

“Melalui proses ini, pelajar berpeluang menamatkan pengajian lebih awal daripada biasa. Universiti menggunakan sistem semester berasaskan jumlah jam kredit, iaitu minimum 120 jam kredit untuk keseluruhan pengajian (kecuali bagi bidang tertentu) dan bukan semata-mata berdasarkan tempoh tahun pengajian,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan, murid Tahun Satu di SBT tahun ini akan menjadi kumpulan perintis dalam pelaksanaan konsep itu apabila mereka memasuki pada peringkat menengah atas.

Setakat ini, 20 SBT dipilih dan Kementerian Pelajaran menyasarkan 30 lagi tahun depan serta 50 pada 2012. SBT antara lain diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, termasuk fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif.

Radin Umar berkata, kursus yang diikuti pelajar di SBT itu akan mengandungi sukatan lebih tinggi dan membabitkan ilmu tambahan, berbanding silibus mata pelajaran pada peringkat menengah atas.

“Pemilihan jenis kursus adalah berdasarkan kecenderungan bidang pengajian mereka di universiti. Contohnya, pelajar aliran perakaunan SBT boleh mengambil kursus setara dengan subjek semester satu peringkat ijazah.

“Kementerian Pengajian Tinggi akan membantu memadankan jenis kursus yang diambil pelajar sesebuah SBT dengan universiti yang sesuai serta menentukan kesetaraan silibus yang akan diajar nanti supaya memenuhi syarat Senat Universiti.

“Namun, pelaksanaannya akan dikendalikan sendiri oleh SBT dengan universiti hanya menjadi rakan kerjasama kerana SBT mempunyai autonomi akademik,” katanya.

Beliau berkata, pelajar terbabit bagaimanapun tidak terikat untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang menjadi rakan kerjasama sekolah mereka, sebaliknya bebas ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta selagi ia memenuhi syarat gred penguasaan setara yang ditetapkan Senat universiti.