Dengki adalah antara penyakit hati yang berbahaya, menyebabkan ketenteraman jiwa sukar dicapai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh menghilangkan penyakit dengki.


Dengki adalah antara sifat mazmumah. Dengki ialah sikap tidak senang dengan kenikmatan yang diperoleh orang lain dan berusaha untuk menghilangkan kenikmatan itu daripada orang lain tersebut, baik dengan maksud agar kenikmatan itu berpindah ke tangan sendiri atau tidak.

Dengan definisi dengki yang demikian, maka kita tahu bahawa dengki termasuk dalam penyakit hati dan termasuk sifat yang tercela dalam pandangan agama.

Allah berfirman, terjemahannya:

“Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan ni’mat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya?”

Surah An-Nisaa’: 54

Manusia kalau telah terhinggap penyakit dengki seperti ini, maka timbul dalam hatinya niat jahat untuk menghilangkan keni’matan yang telah diperoleh orang lain, dan dengan berbagai-bagai tipu daya ia membuat bermacam gangguan demi untuk menghilangkan kurnia yang diperoleh oleh mereka itu.

Dalam hal ini Allah Ta’ala berfirman, terjemahannya:

“Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

Surah Al-Falaq: 5

Orang yang sedang dimusuhi oleh orang yang berhati dengki perlu berhati-hati dan berwaspada, kerana biasanya dengan diam-diam akan menghancurkan dan membuat fitnah dengan berbagai-bagai macam tipu daya. Dan si pendengki itu sendiri sebenarnya berasa terseksa batin seakan-akan ia tidak merasa ni’mat sama sekali sehingga dalam batinnya terasa berperang melawan musuh yang tidak kelihatan, dan orang yang seperti ini jiwanya selalu berasa kurang terhadap apa sahaja dimilikinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. , terjemahannya:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Takutlah kamu terhadap dengki, sesungguhnya dengki itu memakan kebaikan sebagaimana api makan kayu bakar atau Baginda bersabda, rumput.

Hadits Riwayat Abu Daud

Dalam hadits lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, terjemahannya:

Daripada Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Janganlah kamu saling membenci, jangan saling mendengki, jangan saling memutuskan. Jadilah kamu (Wahai) hamba Allah bersaudara, tidak halal bagi seorang Muslim membiarkan saudaranya atas tiga hari.”

Hadits Riwayat Muttafaqun ‘Alaih

Rujukan: Kitab Tujuan Hidup Para Sufi, tulisan Syeikh Muhammad Al-Ghazali